BAGAN SERAI: Desakan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Bagan Serai supaya kerusi Parlimen Bagan Serai ditandingi calon daripada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diberikan perhatian.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, enam alasan yang dikemukakan masing-masing tiga daripada Pemuda dan Dewan Muslimat Pas merupakan alasan yang kukuh bagi memastikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.
“Pas merupakan satu daripada parti dalam gabungan PN dan sudah tentu Pas ingin memastikan kerusi itu dimenangi pada PRU-15. Kita bimbang sekiranya PN meletakkan calon yang bukan daripada Pas, yang tidak mempunyai akar umbi, kemungkinan akan memberi kesan kepada menang menjadi kalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jeti nelayan darat dan pelepasan ikan kelisa emas di Santuari Tasik Bukit Merah di Kampung Tepi Kolam di sini hari ini.
Menurut Razman, Pas peringkat negeri bersetuju dan memberi sokongan terhadap tuntutan yang dikemukakan ahli dan kepimpinan peringkat akar umbi Pas Bagan Serai.
Beliau berkata, faktor-faktor yang dikemukakan oleh Pemuda dan Dewan Muslimat Pas kawasan itu boleh mendorong kepada kemenangan.
“Perkara itu pasti diambil kira oleh pucuk pimpinan PN dan Pas Pusat tentang suara akar umbi bagi memastikan kerusi ini dimenangi oleh PN,” katanya.
Menurut Razman, Kerian merupakan kubu kuat Pas seperti juga Kelantan dan Terengganu malah Pas memenangi kerusi Parlimen di sini buat julung kalinya dalam PRU tahun 1955.
“Walau bagaimanapun terpulang kepada keputusan Pas Pusat dalam membuat keputusan tentang usul yang dikemukakan oleh Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Bagan Serai ini,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda dan Muslimat Pas Bagan Serai mengeluarkan dua memorandum pada 21 dan 22 Mac lalu menggesa pimpinan Pas untuk menuntut kerusi Parlimen Bagan Serai ditandingi calon Pas bagi mewakili PN pada PRU-15.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali menang Parlimen Bagan Serai dalam PRU-14 namun Noor Azmi kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN











