Ahli Parlimen UMNO, BN wajib hadir Parlimen 11 April - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen UMNO, BN wajib hadir Parlimen 11 April

DAP
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kesemua Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) wajib menghadiri sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan diadakan pada 11 April ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembentangan RUU tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen atau dua pertiga bagi membolehkan ia diluluskan dan menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pembentangan RUU itu juga menjadi salah satu usul semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini dan sewajarnya diberikan perhatian oleh semua Ahli Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, BN terdiri daripada 38 Ahli Parlimen UMNO, dua daripada MCA manakala masing-masing seorang daripada MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Secara peribadi, saya telah mengesyorkan Akta Anti Lompat Parti dilakukan ketika BN dan UMNO menjadi pembangkang pada Disember 2018 apabila berlakunya perbuatan tersebut oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO ‘melompat’ ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tindakan tersebut menyebabkan UMNO ‘kehilangan’ 15 Ahli Parlimen yang menyertai Bersatu, seorang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Tengku Razaleigh Hamzah yang memilih berada dalam blok bebas,” katanya ketika ditemui di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sesi pembentangan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Katanya, Perdana Menteri juga bersetuju melanjutkan sidang khas itu sekiranya tempoh masa satu hari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, pindaan perlembagaan tersebut perlu diluluskan pada bulan ini juga memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir untuk diadakan.

“Bagi mengelak kejadian yang sama berulang pada 2018 apabila berlaku adegan ‘lompat parti’, ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu bersama-sama menyokong RUU itu. Saya sendiri bersama tiga lagi pemimpin UMNO, Datuk Seri Azlina Mohd. Said, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Datuk Seri Abd. Rahman Dahlan selain Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lim Ban Hong dan Setiausaha Agung MIC, R.T Rajasekaran menyertai dua sesi libat urus berkaitan perkara tersebut.

“Seseorang Ahli Parlimen akan dikira melompat parti apabila dia mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh pengundi berdasarkan kepada kertas undi semasa pilihan raya diadakan. Begitu juga dengan calon bebas jika mereka menang tetapi menyertai parti lain, kerana mandat yang diberikan oleh pengundi berdasarkan kepada kertas undi sebelum ini,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×