TEMERLOH: Biarpun mengetahui pendapatannya tidak seberapa, namun golongan penoreh getah tetap menggagahkan diri keluar menoreh demi menyara kehidupan diri bersama keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penoreh yang 20 tahun menjalankan kerja itu, Azmi Nordin, 41, berkata, mahu tidak mahu, dia tetap perlu ‘menghadap’ pokok getah kerana itulah sumber rezekinya dan keluarga.
“Saya mula menoreh sejak 1998, berhenti seketika pada 2000, namun selepas itu kembali menoreh sehinggalah kini.
“Ini sumber rezeki saya bagi menyara anak-anak dan isteri, walaupun pendapatannya tidak seberapa perlu juga menoreh,” katanya di sini semalam.
Azmi berkata, cuaca panas ketika ini menyebabkan susu berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatannya.
“Saya biasa kutip susu seminggu sekali, kebiasaan dapat enam bakul membabitkan 400 kilogram susu.
“Tapi ekoran cuaca panas ketika ini, hari ini kutip dapat empat bakul sahaja, jumlah susu hanya 220 kilogram. Harga jualan hari ini RM3.30 sekilogram,” katanya.
Harga getah
Beliau berkata, harga getah antara RM3.20 ke RM3.40 sekilogram pada ketika ini masih belum dapat menstabilkan pendapatan penoreh ekoran keadaan ekonomi semasa dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan.
Seorang lagi penoreh, Rompin Simpoi, 30, pula berkata, kehidupan mereka ketika ini makin tertekan ekoran harga barangan yang semakin melonjak naik.
“Pendapatan kami setara itu saja, tapi harga barang terus melonjak naik. Pekebun sawit kini gembira mendapat ‘durian runtuh’ ekoran harga sawit mahal melebihi RM1,200 satu metrik tan.
“Bantulah kami, naikkan harga getah sekurang-kurangnya RM5 sekilogram, barulah ia dapat menampung keperluan cukup mendesak ketika ini,” katanya.
Bagi Zafran Ahamd, 48, pula, jika harga getah terus kekal di tahap lama dan harga barangan berterusan meningkat, kehidupan mereka boleh diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
“Perlu ada keseimbangan antara harga getah dan kelapa sawit, jurang antara dua komoditi ini ketika ini terlalu jauh.
“Kehidupan penoreh getah ketika ini semakin tertekan, tapi apakan daya ini sumber rezeki kami, mahu tidak mahu tetap perlu menoreh. Bantulah kami sekurang-kurangnya naikkan harga getah supaya kami tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan,” katanya.- UTUSAN










