TULISAN Zulkifli Jalil, Pedulikan Si Pesimis Bahasa Melayu dalam Minda Pengarang, Utusan Malaysia, kelmarin mewakili sikap golongan optimis dan positif dalam menanggapi cita-cita Perdana Menteri untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat dunia. Golongan dedalu (parasit bagi yang sudah tidak lazim dengan kata Melayunya) yang ke arah membunuh pokok tamadun negara memang sentiasa ada dalam masyarakat. Kita abai sahaja si pesimis dan bergerak terus.
Masing-masing ada hak asasi untuk mengeluarkan pandangan. Biarkanlah dedalu itu dan kita terus berusaha memenuhi cita-cita untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Abaikan sahaja sindiran nakal atau dangkal, jangan sampai menjadi kudis. Rancang dengan rapi dan laksanakan dengan sungguh-sungguh langkah mengisi cita-cita itu.
Masyarakat berhak diberi maklumat tentang sejarah bahasa Melayu yang pernah ratusan tahun menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman Kesultanan Melayu.
Bukti nyata surat dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan di alam Melayu dengan kerajaan asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris tersimpan di pelbagai pusat persuratan di seluruh dunia.
Di Universiti Leiden, Belanda; Perpustakaan British di London dan Perpustakaan Negara Malaysia, masih terpelihara surat dan perjanjian itu yang ditulis dalam Jawi. Adanya buku Undang-undang Laut Melaka turut membuktikan bahasa Melayu digunakan sebagai peraturan perdagangan dan kehidupan di kota Melaka yang kosmopolitan. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mencatat Melaka dengan penghuninya sekitar 80 kumpulan bangsa dan etnik dari pelbagai tempat termasuk Arab, India, China dan Parsi.
Dalam sejarah moden negara ini, bahasa Melayu bertulisan Jawi digunakan antara orang berlainan bangsa. Tersimpan surat Penguasa Polis Selangor pada 1880 yang diutus kepada Kapitan Yap Ah Loy dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Sistem Kangcu yang diperkenalkan oleh Temenggung Daeng Ibrahim Johor pada abad ke-19 untuk pengusaha ladang gambir dan lada hitam dalam kalangan orang Cina menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi dalam surat watikahnya. Ertinya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa.
Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Fancois Valentijn dalam kajian mereka merakam taraf keantarabangsaan bahasa Melayu pada abad ke-16. Bahasa Melayu disebut sebagai bahasa yang masyhur di sebelah Timur hingga Filipina dan Turki, malahan setara dengan peranan bahasa Latin dan bahasa Perancis di benua Eropah.
Orang dari luar alam Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu dianggap tidak terpelajar.
Orang yang menilai sejarah sebagai kisah dahulu kala dan hanya untuk nostalgia tidak terpukau oleh fakta itu walaupun tanpa dahulu tidak mungkin ada kini.
Di seluruh dunia, ada lebih 100 institusi ilmiah yang memberikan perhatian kepada bahasa dan tamadun Melayu, baik dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun kegiatan. Fakta itu berdasarkan dokumen Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang bergerak aktif sejak 2000. Dalam beberapa tulisan termasuk buku Pemartabatan Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun ada saya senaraikan sebahagiannya.
CHINA
Pengalaman peribadi saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing sebanyak dua kali (2008-2011 dan 2016-2018) memberikan keyakinan yang tinggi tentang bahasa Melayu di pentas dunia. Sejak 1961, bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Pengajian Asing Beijing yang kemudian menjadi Universiti Pengajian Asing Beijing, tempat saya diutus oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada 2008, ada empat universiti yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu selama empat tahun. Maklumat mutakhir 2022 menunjukkan ada 15 institusi pengajian tinggi (IPT) di China yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu. Sebuah kolej pengajian asing di Hainan membuka program diploma bahasa Melayu selama tiga tahun.
Selain universiti, badan penyiaran Bahagian Bahasa Melayu Radio China Antarabangsa (kini Kumpulan Media China) turut memainkan peranan penting dalam pengembangan bahasa Melayu. Siaran radio, portal, terbitan dan program kembara anjuran badan itu turut menyemarakkan bahasa Melayu. Kedutaan Besar Malaysia di Beijing melalui Jabatan Pendidikan Malaysia aktif mengadakan kelas bahasa Melayu hujung minggu untuk anak-anak warganegara Malaysia di kota itu, Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou melaksanakan program sama.
Dalam perancangan antara DBP dengan pihak penerbit di negara itu, tersenarai 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Melayu yang akan diterjemahkan dan diterbitkan di sana dan 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Mandarin yang diterjemahkan dan diterbitkan di Malaysia.
Di Korea Selatan, dalam tinjauan saya pada 2004, terdapat dua universiti menawarkan program ijazah bahasa Melayu, iaitu Universiti Pengajian Asing Hankuk di Seoul dan Universiti Pengajian Asing Busan di Busan. Universiti Woosong menawarkan kursus bahasa Melayu.
Di Eropah, antara universiti yang terkenal dengan bidang pengajian Melayu termasuklah Universiti Leiden, Universiti Goethe Frankfurt dan Universiti Hamburg di Jerman dan Universiti London.
Rancangan Diplomasi Kebudayaan yang dilancarkan oleh Kementerian Luar Negara turut memasukkan rancangan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Permulaan yang baik dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun lalu dengan berucap dalam bahasa Melayu di forum perubahan iklim PBB di Glasgow.
Hasrat Perdana Menteri untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu di pentas dunia nescaya tidak mudah, tetapi tentu tidak mustahil. Hanya yang berjiwa besar akan mencapai kejayaan. Yang berjiwa kecil dan lemah serta berminda terjajah tidak dapat membantu negara melangkah ke hadapan. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










