PETALING JAYA: Semua aset-aset dihasilkan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd (Deftech) dijamin memenuhi piawaian penyelenggaraan alat ganti dan komponen seperti ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, jaminan tersebut ditetapkan selepas semua syarikat pembekal yang bekerjasama dengan Deftech menandatangani perjanjian kolaborasi antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, jaminan tersebut secara tidak langsung meningkatkan potensi syarikat tempatan dalam industri terutama membabitkan sektor pertahanan.
“Persoalan sering timbul adalah bagaimana kita mahu memastikan setiap alatan atau kenderaan mampu bertahan untuk tempoh 15 tahun akan datang. Itu yang penting sebenarnya.
.
“Maka kerana itu kita bersama rakan strategik memastikan setiap pembekalan alat ganti dan komponen memenuhi bekalan dan piawaian mengikut spesifikasi,” kata beliau dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan beberapa agenis dan syarikat dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini semalam.
Sebanyak enam MoU ditandatangani membabitkan pelbagai agensi termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Sirim Berhad.
Dalam pada itu, Mohd. Fazley berkata, dengan wujudnya kerjasama bersama Sirim, syarikat itu dapat menyediakan komponen ketenteraan berkualiti untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kami juga berharap dapat merangsang pengetahuan teknologi dan membina komponen menggunakan tenaga tempatan bagi mengorak langkah ke arah perbelanjaan pertahanan lebih rendah dan memupuk industri pertahanan lebih berdikari,” ujarnya. – UTUSAN










