SOSMA: Ahli BBC sudah diingatkan berkali-kali

SOSMA: Ahli BBC sudah diingatkan berkali-kali

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PUNCA kegagalan melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat minggu lalu masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Entah bagaimana tempias itu terpalit kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC), DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN apabila beliau turut dipersalahkan kerana gagal mengumpulkan ahli Parlimen untuk meluluskan usul tersebut.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, NUR ASLINDA MOHD NASIR bersama Tajuddin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam kelmarin.

UTUSAN: Kerana SOSMA, ada pihak mengatakan Datuk gagal melaksanakan tanggungjawab selaku Pengerusi BBC dengan baik.
TAJUDDIN : Ada menyatakan saya sebagai pengerusi kelab penyokong kerajaan gagal mengumpulkan ahli Parlimen untuk dibawa masuk ke dalam dewan, seolah-olah saya tak buat kerja, kononnya saya makan gaji buta. Jadi saya perlu jelaskan.

Kami dari BBC telah berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri pada 21 Mac lalu dalam satu sesi dialog di Hotel Marriot. Di majlis tersebut, saya sebagai pengerusi BBC menjemput semua dan ramai yang datang pada majlis itu. Dari segi tanggungjawab, saya telah lunaskan, mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri. Bukan pertemuan sahaja, tapi ada majlis soal jawab untuk mendapatkan penjelasan tentang akta tersebut untuk melanjutkan SOSMA yang akan tamat Julai ini.

Saya ingatkan berkali-kali dalam group WhatsApp BBC kerajaan Malaysia, semua ahli BBC ada dalam itu. Kita maklumkan apa-apa perkara termasuklah SOSMA dan pembentangan pada 23 Mac lalu pun kita beritahu berkali-kali. Dua hingga tiga jam lagi nak masuk pengundian, dari pagi lagi kita dah ingatkan. Kita tunaikan tanggungjawab kita. Mungkin ada yang tak tahu apa kerja yang saya buat, jadi ada yang buat kesimpulan, BBC tidak bertanggungjawab, tidak adillah.

Mengapa ada tiga undi yang tidak dikira?
Sebenarnya kita cukup undi. Ada tiga orang lagi yang undi dia tidak dikira sedangkan mereka ada di dalam dewan. Kenapa tiga undi tidak masuk dikira? Salah siapa? Kalau Speaker yang buat keputusan itu, ini agak ganjil. Di masa lalu sebelum undi diumumkan orang masuk lewat sedikitpun, undi itu diambil kira. Walaupun pengiraan masih berlaku, orang lewat masuk dewan pun undi diambil kira. Kali ini tidak. Kalau semua diambil kira, kita menang. Bukan 84 tetapi jadi 87 dan mungkin lebih daripada itu.

PEMBANGKANG TIDAK IKHLAS?

Benarkah dakwaan pembangkang bahawa tiada perbincangan sebelum pembentangan?
Pada hari itu, mereka nak memberi pandangan sahaja iaitu mereka ada perkara yang tak setuju dalam akta SOSMA terutama sekali tempoh tahanan selama 28 hari.

Dalam hal ini, mereka bebaslah bersuara, beri pandangan untuk tidak bersetuju. Tetapi, jangan sampai tidak meluluskan usul itu. Boleh maklumkan pada dewan, sila buat perbincangan. Tangguhkan sahajalah, tidak adalah sampai kepada tahap untuk mengundi.

Jadi, dalam kalangan pembangkang ini, mereka cuba nak menunjukkan kehebatannya itu. Terbuktilah apabila mereka menang, buat macam tunjuk perasaan di luar itu, ramai-ramai bersorak-sorak. Jadi maknanya, ada sikitlah unsur-unsur yang tak ikhlas, setuju tapi tidak bersetuju.

Masih ada sokongan lagi terhadap Perdana Menteri?
Ada yang kata kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah jatuh, tunggu apa lagi? Pilihan raya lah. Saya nak jelaskan, kerajaan tidak jatuh kerana ia tidak melibatkan perkara seperti Belanjawan. Kalau Belanjawan tak lulus itu memang kerajaan terpaksa letak jawatan dan pilihan raya baharu kena buat. Dan ada yang menyebut MoU (memorandum persefahaman) antara kerajaan dengan pembangkang, MoU dah tandatangan, pembangkang tidak akan mengganggu gugat kerajaan khususnya Perdana Menteri.

Sebenarnya MoU yang ditandatangani itu pertama sekalinya menjanjikan mereka akan menyokong dan tidak akan menimbulkan masalah terhadap Perdana Menteri dalam perkara-perkara penting seperti Bajet. Tetapi usul yang seperti ini tidak boleh dikatakan pembangkang menarik sokongan daripada Perdana Menteri kerana kerjasama melalui MoU akan terus dilakukan sehingga bulan Julai. Itu pendirian yang telah diambil oleh pihak pembangkang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga berjanji perkara ini akan dibawa balik bagi dibentangkan semula dalam Parlimen untuk diluluskan. Saya rasa Menteri Dalam Negeri akan fikirkanlah untuk mendapat persetujuannya. Jadi, janganlah jadikan alasan nak pilihan raya cepat sebab SOSMA sudah gagal. Cari sebab lain lebih kuat untuk mengadakan pilihan raya. Bagi saya, cepat atau lambat ke tidak jadi hal. Soalnya kita bersedia ke tidak sebab persediaan itu penting untuk menghadapi pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×