Mahu kerja sesuai, gaji setimpal

Mahu kerja sesuai, gaji setimpal

GOLONGAN muda mahukan jaminan kerjaya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOLONGAN muda adalah kelompok pewaris masa hadapan yang diletakkan harapan tinggi untuk memacu kelestarian kecemerlangan negara dalam pelbagai bidang. Justeru, keperluan dan kehendak anak muda khususnya dari aspek ekonomi perlu sentiasa diperhalusi dan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif yang cekap serta proaktif bagi meyakinkan bahawa masa depan mereka cerah dan terjamin.

Pada hari ini, keperluan ekonomi golongan muda boleh dikatakan mengatasi semua keperluan lain termasuklah politik. Hal ini kerana persoalan ekonomi membabitkan soal hidup atau mati, iaitu survival kehidupan diri dan keluarga pada ketika ini dan juga masa hadapan. Tuntasnya, jika kedudukan ekonomi terjamin, mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, cabarannya sekarang ialah kita perlu memahami apa sebenarnya yang dimahukan oleh golongan muda bagi meneruskan kelangsungan hidup. Dalam konteks ini, antara keperluan hakiki untuk meningkatkan ekonomi mereka ialah peluang kerjaya mengikut kelayakan dengan gaji setimpal serta mampu meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan kos sara hidup yang terkawal.

Hakikatnya, golongan muda mahukan jaminan kerjaya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Baik lepasan sekolah mahupun universiti, mahukan peluang kerja yang bersesuaian dengan gaji setimpal untuk menampung keperluan mereka.

Kita sedar, krisis ekonomi dan kesihatan yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada sektor pekerjaan apabila ramai yang diberhentikan dan hilang pekerjaan dalam sekelip mata. Akibatnya, bilangan penganggur dalam kalangan pekerja sedia ada meningkat dan ditambah pula dengan penambahan pencari kerja baharu dalam kalangan lepasan sekolah dan universiti yang mula mengintai peluang untuk masuk ke alam pekerjaan.

Ironinya, sudah mula berlaku persaingan antara pekerja lama dan berpengalaman yang hilang pekerjaan dengan golongan muda yang baru menjejak kaki ke alam pekerjaan tanpa sebarang pengalaman. Sudah tentu dalam konteks ini golongan muda akan menerima kesan besar kerana majikan lebih mengutamakan pekerja yang ada pengalaman.

Oleh itu, keperluan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang mentah termasuk graduan baharu yang tiada pengalaman di lapangan menjadi semakin mendesak dan termasuk sebagai keperluan utama kelompok ini.

Kita akui pelbagai skim latihan dan insentif yang telah kerajaan perkenalkan melalui pakej rangsangan ekonomi bagi meningkatkan jumlah pekerjaan serta membuka ruang kepada golongan muda untuk mendapatkan latihan kemahiran banyak membantu, namun ia masih belum mencukupi. Hal ini kerana pencari kerja baharu seperti lepasan sekolah dan graduan terus bertambah menyebabkan berlaku situasi penawaran guna tenaga yang lebih tinggi berbanding permintaan di pasaran buruh.

KUOTA KHAS
Oleh itu, perlu ada inisiatif tambahan yang lebih khusus dan berfokus untuk membantu golongan muda selain mengikuti latihan kemahiran agar dapat segera menjejak kaki ke alam pekerjaan yang sebenar melalui peluang pekerjaan yang diperuntukkan hanya kepada pekerja baharu. Misalnya, perlu ada kuota khas untuk melantik golongan graduan baharu dalam setiap proses pengambilan pekerja dan untuk itu, majikan boleh disediakan insentif khas sebagai galakan.

Dalam pada itu, isu gaji setimpal juga perlu diberi perhatian serius kerana ia juga sangat berkait rapat dengan peningkatan kos sara hidup. Padanan kerja yang tidak sesuai dengan kelayakan serta kadar gaji rendah menyebabkan golongan muda semakin tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama yang mencari nafkah di bandar besar seperti Lembah Klang.

Justeru, penetapan kadar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei ini tidak wajar dipolemikkan sebaliknya perlu dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Jujurnya, kita tidak boleh menunggu semua majikan bersedia ataupun bersetuju untuk melaksanakannya. Ini termasuklah kita tidak boleh tunggu ekonomi pulih sepenuhnya untuk menguatkuasakan gaji minimum kerana kita tidak pasti bila itu semua akan berlaku.

Bayangkan dengan gaji yang rendah, apa yang mampu dibuat oleh seorang anak muda yang bekerja di Lembah Klang? Bagaimana golongan ini boleh menampung perbelanjaan bulanan yang wajib seperti kos makan dan minum, sewa rumah atau bilik, pengangkutan termasuk kos tambang atau minyak dan tol di samping ramai yang perlu membayar balik hutang pinjaman pendidikan dan keperluan untuk mengirim duit kepada ibu bapa di kampung. Situasi menjadi lebih mendesak apabila anak muda ini sudah berkeluarga. Ini situasi kisah benar yang cukup menyedihkan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita pada ketika ini.

Jadi, kita perlu memastikan nasib golongan ini terbela dengan membantu mereka menerima gaji bulanan yang setimpal dan cukup untuk menampung segala perbelanjaan wajib tersebut demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Di samping itu kita juga perlu ada mekanisme yang lebih berkesan untuk mengawal kos sara hidup terutama membabitkan kenaikan harga barangan keperluan harian. Ini juga banyak menjejaskan tahap kemampuan perbelanjaan dan pendapatan boleh guna golongan muda. Peningkatan kos sara hidup secara mendadak menyebabkan golongan ini terpaksa mengikat perut kerana sentiasa berhadapan dengan masalah kekurangan wang.

Justeru, kita berharap kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak lagi program dan inisiatif untuk memperkasakan ekonomi golongan muda. Ikhtiar yang dilaksanakan boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sokongan anak muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa. Tuntasnya, kita perlu memahami dan memenuhi keperluan dan tuntutan ekonomi anak muda pada hari ini demi kelangsungan dan kemajuan negara pada masa akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah Pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×