BARU-BARU ini, tular dalam media sosial kononnya menteri dan timbalannya tidak hadir untuk menjawab soalan yang dibangkitkan mengenai kewangan serta pendirian negara terhadap peperangan antara Rusia dan Ukraine. Laporan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab badan eksekutif dan ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara. Bahkan isu ini dijadikan bualan di kedai kopi serta menjadi bahan sindiran rakyat jelata.
Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen merupakan kuasa perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen mencakupi beberapa komponan penting iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Negara serta Dewan Rakyat. Pada ketika ini, jumlah ahli Dewan Rakyat adalah 222 orang yang dipilih oleh rakyat. Ahli Dewan Negara pula adalah tidak melebihi 70 orang pada satu-satu masa yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan sebahagiannya, 40 ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) Akta 1980, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara menerima gaji dan elaun tidak kurang daripada RM20,000 sebulan termasuk elaun keraian, istimewa, pengangkutan dan lain-lain. Malah elaun mesyuarat RM400 sehari juga dibayar kepada ahli Parlimen.
Dewan Negara yang umumnya dikenali sebagai Senat adalah badan legislatif tertinggi yang lebih berkuasa di beberapa negara maju terutama di Amerika Syarikat, United Kingdom dan India. Secara amnya, fungsi Dewan Rakyat adalah untuk membahas hal berkepentingan tentang rakyat dan menyedia serta meluluskan rang undang-undang.
Dewan Negara pula berfungsi untuk membahas, menyemak dan meluluskan atau menangguh rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat. Peranan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah sama penting iaitu mewakili kepentingan rakyat dalam membuat undang-undang dalam negara. Secara umumnya, fungsi utama Dewan Perundangan Negara adalah bersifat legislatif iaitu membahaskan perkara-perkara berkaitan dengan dasar kerajaan, belanjawan dan rang undang.
Persoalannya, apakah sebahagian besar ahli-ahli yang dilantik sebagai ahli Dewan Negara menjalankan peranan yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen seperti termaktub dalam perlembagaan? Apakah Dewan Negara merupakan tempat berhimpunnya pakar-pakar dari pelbagai bidang bagi membantu kerajaan dalam mencetuskan idea-dea bernas dalam usaha mengurus dan membangunkan negara?
Akhir-akhir ini, rakyat bukan sahaja menyaksikan kejadian ketidakhadiran ahli dari badan eksekutif malah penularan kelakuan yang kurang sihat dalam Parlimen semasa sidang perbahasan. Memandangkan ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri untuk menjawab soalan dalam Dewan Negara, maka Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengingatkan ahli-ahli dewan supaya menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah serta menunaikan sumpah dilafazkan.
Menurut beliau, ahli Dewan Negara harus menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjuarai apa juga bidang yang terpalit dengan tugasan. Malah beliau mengingatkan ahli Dewan Negara bahawa tugas dan khidmat mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat.
PERSEPSI BURUK
Dengan adanya pengalaman setengah abad dalam bidang pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan serta pakar dalam bidang Perlembagaan Persekutuan, maka Rais mengorak langkah mempelopori transformasi institusi legislatif dalam negara secara amnya dan Dewan Negara secara khususnya. Transformasi yang sedang dilaksanakannya dijangka menghakis tanggapan lama kononnya peranan Dewan Negara adalah sebagai sebuah badan legislatif yang kononnya memainkan peranan rubber stamp.
Dengan lulusnya usul Transformasi Parlimen dalam usaha memantap peranan, fungsi dan kuasa Parlimen selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, pelbagai jawatankuasa ditubuhkan dalam Dewan Negara bagi menggalas dan memartabatkan Parlimen. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Tadbir Urus, Intergriti dan Anti Rasuah ditubuhkan dalam Dewan Negara.
Transformasi yang dicetuskan ini akan mengubah imej dan persepsi buruk rakyat terhadap Dewan Negara dan bakal menobatkan Dewan Negara sebagai badan perundangan yang bebas, berkuasa dan berwibawa. Selain itu, usaha transformasi atau mengubah Peraturan dan Akta Parlimen yang lapuk juga digantikan dengan akta lebih progresif, selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa.
Perhatian khusus diberikan kepada usaha mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, selari dengan Perkara 62 dan 63 perlembagaan dalam memastikan Palimen bebas daripada cengkaman mana-mana pihak. Perkara 62 menegaskan, Majlis Parlimen mengawal selia tatacaranya sendiri. Perkara 63 pula menyentuh hal-hal keistimewaan Parlimen.
Memandangkan ahli Parlimen adalah pemimpin masyarakat yang harus menjadi teladan kepada masyarakat terutamanya tunas-tunas bakal pemimpin negara, Kod Etika Ahli Parlimen digubal untuk memastikan Parlimen tidak dicemari dengan tutur kata, perlakuan serta sikap tidak berbudi yang semakin menular dalam kalangan sesetengah ahli Parlimen.
Transformasi institusi legislatif yang sedang dilaksanakan ini dijangka meletakkan Parlimen setanding dengan institusi parlimen dunia malah akan membantu menghakis tanggapan negatif terhadapnya. Rakyat menyanjung tinggi, malah memahatkan sekalung tahniah kepada Rais atas daya usaha dinamik dan berani beliau dalam mempelopori transformasi untuk mengangkat darjat dan wibawa Parlimen ke tahap lebih tinggi malah sebagai sebuah institusi legislatif yang bukan sahaja dihormati, malah bebas daripada cengkaman kuasa luar.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.











