PENGUMUMAN pengunduran Lim Kit Siang dari arena politik, baru-baru ini mengundang reaksi pelbagai dalam masyarakat Cina.
Secara umumnya, akhbar Cina memberi pengiktirafan amat positif kepada tokoh politik veteran itu yang terbukti mencurahkan segala keringat dan tenaga untuk memperjuangkan kesejahteraan politik demokratik negara. Beliau disimpulkan sebagai seorang tokoh politik tersohor dan dikagumi atas jasa-jasa memperkasakan kem politik pembangkang tanah air.
Kit Siang terpilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka pada 1969. Sejak itu, beliau memperlihatkan ketokohan dan kebolehan sebagai ahli politik berkaliber. Beliau lantang menyuarakan pelbagai isu di Parlimen dan giat mencabar parti memerintah. Kit Siang pernah menyandang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen untuk beberapa penggal dan merupakan pemimpin pembangkang paling lama berkhidmat.
Kepada lawan politiknya dari Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN), Kit Siang seorang ahli pembangkang yang amat tegas dan disegani. Dalam banyak isu besar, beliau tidak mudah menyerah, terus mendedahkan dan menikam lawan politik yang membuat kesilapan sampai ke lubang cacing. Ramai ahli politik kem memerintah mungkin tidak begitu suka caranya, namun semangat perjuangan berterusannya demi keadilan sosial itu perlu dihormati dan diiktiraf.
Dalam hati masyarakat Cina, Kit Siang memang terkenal sebagai wira yang berani menyuarakan kepentingan politik bukan Melayu. Beliau melawan dasar-dasar afirmatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN. Kegagalan parti komponen BN mempertahankan kepentingan komuniti minoriti sering bertukar menjadi undi untuk menyokong DAP dalam pilihan raya. Walaupun didapati suka berhijrah kawasan bertanding, beliau tetap menang di lima negeri dengan undian majoriti.
Kemuncak politik Kit Siang muncul pada 2018. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika Pakatan Harapan (PH) menumpaskan BN. DAP pimpinannya adalah penjana kuasa yang terkemuka dalam satu gagasan politik bersama PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bagaimanapun, gagasan politik PH hanya bertahan selama 22 bulan.
Mengimbau kembali penglibatan politik Kit Siang, beliau cerdik kerana memilih tidak menyertai Kabinet kerajaan PH walaupun DAP diperuntukkan enam jawatan menteri ketika itu.
Apabila seseorang ahli politik terlibat secara aktif dalam sesuatu pemerintahan, amat sukar tidak menerima sebarang kritikan ataupun tohmahan umum kerana apa-apa yang dilakukan ataupun ditugaskan kepadanya sentiasa boleh memenuhi hasrat semua pengundi. Dalam kondisi ini, beliau bijak kerana memilih berkecuali agar tidak melakukan apa-apa kesilapan.
Secara kesimpulan, Kit Siang dianggap sebagai ahli politik yang tekun, berani dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan politiknya. Namun, pada akhir-akhir riwayat politiknya, beliau memujuk pengundi Cina menyokong lawan politik lamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan malangnya tindakan itu tidak membawa hasil seperti diharapkan susulan kejatuhan kerajaan PH. Keputusan DAP bergabung dengan Dr. Mahathir sering kontroversi dan tidak dapat dielakkan, ia mengikis legasi politik Kit Siang.
AUTOKRATIK
Selain itu, tidak semua masyarakat Cina memberi pujian yang sama kepadanya. Beliau seorang ahli politik yang tidak kurang autokratik sehingga membentuk budaya kepimpinan yang lebih cenderung mengagung-agungkan dominasi Lim. Suara-suara berbeza dalam parti tidak mudah hidup dan sering dipinggirkan. Kit Siang juga dikritik mengatur secara terancang jawatan-jawatan penting dalam DAP untuk anaknya, Lim Guan Eng demi meneruskan kesinambungan dinasti politik keluarga Lim dalam DAP.
Dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baru lepas, Kit Siang menarik diri pada saat akhir dan mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15, kononnya ingin memberi peluang kepada barisan muda tetapi menerima tawaran dilantik sebagai mentor DAP.
Tindakan itu dilihat amat janggal. Ramai tertanya-tanya, sama ada Kit Siang benar-benar ikhlas mahu mengundurkan diri ataupun hanya bermain wayang kulit? Adakah beliau masih ketagih atau tamak kuasa yang telah dikecapi selama 56 tahun dalam politik?
Dalam pemilihan parti, anaknya, Guan Eng dilantik sebagai Pengerusi Nasional DAP selepas 18 tahun memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung. Anak perempuannya, Lim Hui Ying turut menduduki senarai CEC Pusat.
Di bawah senario kepemimpinan sebegini, dapatkah barisan pemimpin DAP baharu maju ke depan tanpa bayang-bayang politik Kit Siang dan keluarganya? Tidak hairanlah barisan baharu DAP lekas dituduh sebagai boneka Guan Eng selepas pemilihan CEC.
Dalam pada itu, seorang pemimpin akar umbi membangkitkan kewajaran Guan Eng memegang jawatan Pengerusi DAP memandangkan beliau berhadapan kes rasuah di mahkamah.
Sesungguhnya, politik Malaysia telah banyak berubah. Politik tidak lagi dalam persekitaran sosial zaman Kit Siang dan rakan-rakan sezamannya. DAP tidak seharusnya masih terkhayal bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan undi tidak belah bagi daripada pengundi Cina menggunakan pendekatan politik permusuhan. Masyarakat umum ingin melihat usaha DAP menggerakkan suatu reformasi dan hala tuju baharu ke arah meningkatkan persefahaman bangsa serta melonjakkan kesejahteraan untuk semua warga berbilang kaum.
Di samping itu, DAP perlu membuktikan bahawa parti itu bukan berfokus pada sokongan orang Cina semata-mata.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.











