PETALING JAYA: Rondaan keselamatan membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) kini bukan hanya melibatkan aspek ketenteraan, sebaliknya melangkaui kementerian serta agensi lain.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penglibatan pelbagai agensi ketiga-tiga negara sekali gus mampu memperluaskan aspek pengawasan dan perisikan di kawasan operasi.
Selain itu, menurut beliau, ketiga-tiga negara juga telah bersetuju menempatkan Pegawai Perhubungan Peronda (TMP LO) di pusat pemerintahan tetap di setiap negara untuk membolehkan pertukaran maklumat dilakukan dengan lebih berkesan terutama membabitkan pemantauan dan pelaksanaan pengawasan maritim serta udara.
Berita berkaitan:
“Operasi dan kehadiran agensi dari ketiga-tiga negara dalam aspek kawalan keselamatan di sektor maritim juga akan dipertingkatkan di kawasan Laut Sulu dan Sulawesi .
“Malah, tiga-tiga negara juga bersetuju untuk mengadakan operasi bukan sahaja di maritim dan ruang, tetapi di kawasan daratan dengan diterajui oleh Panglima Angkatan Tentera negara kita,” katanya dalam sidang akhbar sejurus mempengurusikan mesyuarat TCA di peringkat menteri dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini semalam.
Turut hadir, Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto.
Peringkat menteri
Sementara itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat TCA peringkat menteri akan diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai komitmen dalam ketiga-tiga negara.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kerjasama rentas negara ini penting untuk diteruskan demi melindungi kepentingan masing-masing.
“Kerjasama trilateral antara kita sangat penting dan strategik. Kita mahu melihat ia (TCA) ditingkatkan dan mengalu-alukan keputusan yang dicapai hari ini. Contohnya, Indonesia sudah banyak kali berdepan dengan rakyatnya diculik dan dilarikan ke Filipina. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kerajaan, rakyat dan tentera Filipina kerana membantu kami menyelamatkan tebusan termasuk mengorbankan tentera mereka bagi membantu rakyat kami.
“Ini menunjukkan pelaksanaan sebenar sebagai bukti usaha menerusi kerjasama trilateral ini. Ia amat penting dan saya fikir ia akan meningkatkan kestabilan keamanan di rantau kita. Justeru, kami komited melindungi ruang dan kestabilan rantau ini berdasarkan jalinan persahabatan rapat antara negara jiran,” ujarnya.- UTUSAN











