Sekolah politik untuk Undi18

Sekolah politik untuk Undi18

PENDIDIKAN politik dapat membantu belia membuat perbandingan wajar lagi waras apabila didekati parti politik dalam usaha meraih sokongan mereka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARANAN untuk mengadakan sekolah politik atau pendidikan berkenaannya disambut masyarakat dengan perasaan berbelah bahagi. Ini kerana ia dilihat sebagai tidak sesuai untuk pihak sekolah terlibat dalam perkara ini atas pelbagai sebab.

Antaranya, dianggap kesalahan untuk memasukkan politik dalam sistem pendidikan negara selain guru tiada latihan untuk mengajarnya. Sementara yang menyokong berhujah ada keperluan mendesak untuk mendidik belia berusia 18 tahun tentang politik berikutan pendaftaran automatik (Undi18) yang menjadikan mereka kelompok pengundi dominan. Ini penting agar pilihan mereka di peti undi akan menjadi lebih jitu.

Sebenarnya ia sangat perlu kerana rata-rata belia kita tiada pengetahuan baik tentang politik sebagai sains, yakni bidang tersusun dengan prinsip dan kaedahnya kecuali kewujudan beberapa parti politik tertentu. Oleh itu, sangat mustahak untuk mereka ini diajar mulai tingkatan empat bagi pertama-tamanya mengetahui politik sebagai ehwal kerajaan dari pelbagai sisi, antaranya urus tadbir, dasar dan seumpamanya untuk tujuan pemerintahan.

Ia juga mustahak diketahui kerana politik adalah sebahagian daripada masyarakat dan asas pula sifatnya. Oleh itu, pengetahuan mengenainya akan membantu golongan belia menyedari bahawa penglibatan mereka dalam politik tanah air melalui cara mengundi itu boleh membawa perubahan kepada negara ke arah yang lebih baik.

Atas dasar inilah, pendidikan politik amat diperlukan agar belia kita tidak memahaminya sebagai semata-mata kegiatan yang dilakukan oleh ahli politik dan parti politik.

Politik yang cakupannya jauh lebih luas daripada itu seharusnya diketahui belia malah oleh rakyat lain agar mereka boleh diperkasa sebagai pemilih bijak.

Dengan pengetahuan sedemikian, politik yang hanya memperkasa ahli politik perlu ditolak. Sebaliknya politik yang akan memastikan sistem dan institusi kita dapat diperkasa adalah tumpuannya.

Begitu juga dengan politik yang berusaha mencari penyelesaian jangka panjang untuk kebaikan negara dan bukan yang hanya cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar. Menganjurkan logik dan sikap terbuka adalah ciri penting lain untuk politik yang mahu diajarkan itu agar belia dapat berwaspada terhadap niat untuk memperdaya serta pemikiran tidak rasional.

CAUVINIS

Perkara penting lain untuk pendidikan politik ini ialah pendekatan yang mempercayai perpaduan sebagai kekuatan dan bukan sebaliknya, iaitu pecah dan perintah. Dalam pada itu, ia perlu ikut mengandungi keyakinan bahawa kasih sayang dan hormat-menghormati sesama insan tanpa mengira etnisiti dan agama adalah cara yang benar dan bukannya yang sengaja mewujudkan kebencian antara insan atas perbezaan itu.

Inilah yang sebenarnya patut disampaikan dalam pendidikan politik yang disarankan itu agar belia dapat membuat keputusan bernas setelah mengetahui sifat politik yang murni daripada sumber penuh wibawa keneutralan, yakni sistem pendidikan negara. Ini penting agar belia kita dapat membuat perbandingan wajar lagi waras apabila ikut didekati parti politik dalam usaha meraih sokongan mereka.

Sehubungan saranan ini, ada parti politik yang sudah mula giat menubuhkan gerakan untuk menyekolahkan belia dengan pengetahuan politik yang sudah tentu tidak akan selalu bersifat politik murni, dengan pendekatan cauvinis selain kesetiaan membabi buta. Ini bukan sahaja tidak baik bagi proses pembentukan jati diri belia untuk memupuk kebersamaan bagi perpaduan negara yang erat lagi utuh, ia juga tidak baik untuk ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Dengan kurikulum dan sukatan pelajaran yang begitu padat, pendidikan politik ini tidak mungkin boleh wujud sebagai satu mata pelajaran. Dengan ini, ia boleh mengambil bentuk merentas kurikulum melalui beberapa mata pelajaran terpilih.

Jika ini masih tidak dapat dilakukan, ia hendaklah terus diusahakan juga melalui sistem pendidikan yang mampu mentarbiahkan seluruh belia kita kerana mereka rata-ratanya masih berada di sekolah, sama ada secara kokurikulum atau di luar kurikulum. Secara kokurikulum, ia boleh berupa kegiatan yang melengkapi apa-apa yang sempat disampaikan dalam bentuk merentas kurikulum itu. Secara di luar kurikulum pula, ia juga berupa kegiatan sekolah tetapi yang tidak ada kaitan dengan apa-apa yang diajar secara formal dalam mana-mana mata pelajaran.

Natijahnya ialah belia 18 tahun ini wajib didedahkan dengan pengetahuan politik sebagai antara prasarana penting untuk misi Undi18. Jika tidak, pemilihan mereka di peti undi rata-ratanya akan banyak dipengaruhi sentimen tertentu yang didiayahkan parti politik yang tidak selalunya menganjurkan politik yang murni sifatnya.

Sebetulnya pendidikan politik ini adalah antara prasarana utama lagi behena untuk menjayakan misi Undi18 dalam membantu memantapkan sistem demokrasi negara. Ia amat penting kerana mahu tidak mahu, politik mengawal kehidupan kita dari segenap segi. Ini terbukti pada setiap kali bercakap tentang negara ini, kita sebenarnya ikut terlibat dalam landskap politik tanah air.

Dengan ini, elok sekalilah sekiranya ia diketahui melalui sifatnya yang murni dengan mengajarkannya kepada belia kita supaya mereka bukan sahaja mengetahui arah yang mahu ditujui dengan lebih pasti, tetapi juga yakin bersama-sama golongan dewasa dalam usaha membina Malaysia yang lebih baik. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×