TERNYATA, rakyat Johor mengambil pendekatan mudah (simple) dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. Pilihan yang semacam
sudah tersimpan di hati sejak kecelaruan politik menghantui pemerintahan negeri. Justeru, mereka mempertaruhkan keyakinan kepada parti yang dianggap mampu menepati keperluan dan harapan, iaitu demi kemajuan dan kestabilan.
Parti yang diberi mandat memerintah negeri diharap terus fokus menelusuri aspirasi rakyat membangunkan negeri dan mensejahterakan penghidupan semua. Semoga tiada mendung menutupi awan. Biar mentari terus menyinar, alam indah disirami cahaya terang gemilang. Tinggi harapan rakyat, tentu tinggi lagi semangat barisan kepimpinan parti yang menggalas azam untuk menterjemahkan janji dan perancangan mereka memajukan negeri dan membawa kemakmuran kepada rakyat. Diharap usaha tiada terhalang, dipohon berkat memudahkan segala urusan.
PRN bukan suatu mainan (game) yang ‘biasa-biasa.’ PRN membawa wadah menentukan kuasa menerajui pemerintahan negeri. Apa yang dicari ialah tapak yang kukuh, asas yang stabil untuk melangkah jauh membawa pembangunan negeri selain menentukan jaminan survival agama, bangsa dan negeri. Proses mengadakan PRN memakan masa dan kos yang bukan sedikit. Tetapi nilai semua itu boleh dirasionalkan dengan meletakkan keutamaan terhadap kestabilan dan kelancaran urusan pentadbiran negeri.
Sedia maklum, negeri yang ditadbirkan oleh parti atau mana-mana gabungan parti yang tidak memiliki kelebihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan angka yang selesa (seboleh-bolehnya majoriti dua pertiga) tentu berada dalam keadaan yang sering ‘terancam’ dan meniti kebimbangan. Jadi, amat tidak tepat jika masih ada suara-suara negatif yang menganggap PRN Johor tidak patut atau tidak relevan diadakan. Sekali lagi, sebarang kenyataan seperti ini perlu diambil sebagai cabaran oleh pihak yang memenangi pilihan raya.
Antara agenda utama yang ada di hadapan kerajaan baharu ialah untuk menggiatkan penjanaan ekonomi negeri. Kerajaan Johor perlu berusaha memberi ‘kesegaran baharu’ kepada sektor industri sedia ada, selain menggamit lebih banyak pelabur asing melabur di negeri itu. Usaha itu dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak negeri di samping memberi impak aliran kemajuan kepada kehidupan sosial secara umumnya.
Kemajuan Johor memberi makna tersendiri dalam konteks imej kemajuan negara. Negeri yang terletak di hujung selatan Semenanjung tanah air itu tidak mampu ketinggalan terlalu jauh berbanding negara jiran.
MANDAT
Kini, masa untuk menterjemahkan kata-kata: “Johor berpotensi besar untuk maju. Kemajuan Johor turut memberi impak besar kepada kemajuan negara terutama bidang ekonomi.” Sebarang potensi perlu disusuli perancangan yang pragmatik dan tindakan yang berkesan. Pertumbuhan institusi-institusi pendidikan di Johor boleh terus dibangun dan dimajukan. Johor berupaya menjadi hab pendidikan negara yang menarik, seiring keperluan industri dan kemajuan pelbagai sektor di negeri itu. Potensi lain termasuk industri pengeluar pemakanan serta industri pelancongan juga boleh turut dikembangkan.
Tegasnya, bagi yang memenangi PRN Johor, di bahu mereka terpikul mandat memenuhi hasrat rakyat, membangun negeri dan menyediakan suasana kehidupan yang aman sejahtera untuk semua. Istilah semua ialah segala perancangan dan pelaksanaan tadbir urus negeri sentiasa mengambil kira pendekatan yang inklusif, adil saksama, sama rata, sama rasa.
Bagi yang kalah pula, tiada yang lebih baik daripada akur dengan kenyataan yang diterima. Berlapang dadalah dengan keputusan yang ditentukan oleh rakyat. Elok dilihat sendiri di mana silap, apa kekurangan. Kecundang bukan bermakna perlu mencari alasan, tetapi ada baik dicari punca sebenar kelemahan. Lebih tidak sesuai, jika kekalahan sengaja disangkut alasan atau menyalahkan pihak lawan atau sesiapa. Memang adat bertanding tentu ada kalah dan menang. Namun, cara yang terbaik ialah sama-sama menghormati dan menerima keputusan.
Hakikatnya, rakyat Johor yang menentukan keadaan. Dan yakinlah, pilihan rakyat tentu mengambil kira keyakinan mereka melalui perhatian dan pengamatan secara jujur dan rasional. Bahawa parti yang dicari rakyat adalah yang mempunyai rekod perkhidmatan (track record) yang berupaya dan berkesan. Sejarah tidak membohongi kenyataan. Pokok yang dicari tentulah yang subur merimbun bertunjang gagah memasak bumi. Episod percakaran politik perlu dihentikan. Tidak salah, yang kalah sedia menghormati dan bekerjasama dengan yang menang, sementara yang menang sedia menerima pandangan bernas daripada sahabat yang kalah.
Penjurusan kini biarlah terarah kepada memajukan negeri, memakmurkan rakyat. Seperti yang kerap disebut, berpolitik biarlah dapat menghadirkan kemakmuran dan kestabilan. Bukan setakat Johor, malah warna politik negara juga diharap lebih indah dan menarik susulan apa yang rakyat negeri itu putuskan. Semoga hasrat majoriti rakyat yang mahu melihat politik negara kembali pulih dan sihat akan menjadi kenyataan.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin di ambang. Biar apa berlaku, kesejahteraan bersama perlu diutamakan. –UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











