MELAKA: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang merempuh bahagian hadapan sebuah kereta di Jalan Bukit Katil berdekatan Masjid Saidina Ali di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Zulhilmi Razali, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Taman Merak ke Ayer Keroh.
“Hasil siasatan awal, kereta yang terlibat iaitu sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 38 tahun telah membelok ke Taman Merak sebelum mangsa dari arah bertentangan tiba-tiba terlanggar bahagian kiri kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar Hasan Basri, sampel darah pemandu wanita tersebut juga telah diambil bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol dan dadah.
“Bagaimanapun sehingga kini tiada saksi bebas yang tampil memberikan maklumat mengenai punca kemalangan berlaku dan siasatan masih diteruskan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










