KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak berharap kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 daripada akaun 1 pencarumnya.
Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, kemudahan tunai amat diperlukan oleh mereka yang terjejas akibat Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Sebelum ini kerajaan telah memperkenalkan skim i-Lestari KWSP iaitu pengeluaran Akaun 2 daripada 4.57 juta pencarum yang nilainya berjumlah RM7.48 bilion.
“Tetapi kami percaya jumlah pencarum yang mahu membuat pengeluaran akaun 1 KWSP itu mungkin kurang sedikit daripada mereka yang mengambil Skim i-Lestari dan jumlah yang dijangka dikeluarkan mungkin di bawah RM60 billion,” katanya.
Tambahnya, inilah masanya pihak kerajaan dapat menunjukkan rasa prihatin dan telus dalam usaha membantu rakyat yang terkesan.
“Benar ia simpanan masa hadapan, tetapi tidak salah jika digunakan oleh rakyat semasa mereka susah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dalam satu kenyataan turut memberikan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut.
Katanya, walaupun kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan pengeluarannya, PKPB ingin mengingatkan bahawa golongan pekerja berkemahiran dalam sektor perkilangan amat terkesan dengan situasi semasa dan kekurangan kerja lebih masa yang merupakan sumber pendapatan sokongan mereka.
“Ada juga kilang yang melalui proses pemulihan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula menggunakan automasi industri sepenuhnya yang memungkinkan tenaga kerja sedia ada bakal kehilangan pekerjaan mereka tidak lama lagi,” katanya.
Justeru kelonggaran pengeluaran wang KWSP setidak-tidaknya dapat meringankan bebanan yang sedang ditanggung di samping memberi sedikit motivasi kepada pencarum agar merancang sesuatu untuk kelangsungan hidup mereka. -UTUSAN










