MELIHAT kepada maklum balas memberangsangkan dari para perwakilan UMNO terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden parti di Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada petang Sabtu lalu, jelas bahawa rakyat memperakui kesungguhan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan mereka serta strategi pemulihan ekonomi yang sedang dilaksanakan.
Dalam ucapan beliau, selain menyenaraikan beberapa pencapaian utama semenjak diberikan amanah sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021, Ismail Sabri turut mengambil kesempatan membuat satu pengumuman sangat penting iaitu pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula Mei ini, dengan pengecualian diberikan kepada perniagaan yang mempunyai lima pekerja dan ke bawah.
` iaitu pendapatan purata isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 pada September 2021. Kita tidak lagi mampu bertangguh, apatah lagi pandemik Covid-19 menyaksikan pendapatan purata isi rumah merosot dari RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.
Mengikut perangkaan oleh Jabatan Statistik Malaysia, terdapat 8.8 peratus dari jumlah keseluruhan 15.8 juta orang pekerja yang menerima gaji di bawah gaji minimum sekarang, iaitu RM1,200 sebulan.
Manakala, data Skim Insurans Pekerjaan (SIP) pula menunjukkan sejumlah 62.5 peratus pekerja, termasuk graduan yang diambil bekerja pada suku ketiga dan keempat 2020 ditawarkan gaji permulaan di antara RM1,200 ke RM1,499 sebulan.
Ini bermakna, kesan pengumuman gaji minimum baru ini akan memberikan manfaat kepada hampir dua juta pekerja.
Kenaikan berjumlah RM300 ini satu keputusan berani oleh pihak kerajaan, dibuat demi memastikan keselesaan hidup rakyat terutama sekali isi rumah berpendapatan paling rendah (B40).
Untuk rekod, semenjak negara memperkenalkan Dasar Gaji Minimum pada Januari 2013 melalui Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kadar kenaikan hanyalah RM100 setiap dua tahun.
Ia bermula dengan kadar RM1,000 pada Januari 2016, sebelum dinaikkan menjadi RM1,100 pada Januari 2019 dan RM1,200 pada Februari 2020.
Kita pasti akan terdapat wakil-wakil persatuan industri seperti Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang akan membantah kadar baharu ini, kerana akan sedikit sebanyak menyebabkan kenaikan kos operasi, terutamanya bagi industri-industri berintensifkan tenaga manusia.
DANA ASING
Namun, jika diteliti struktur kos keseluruhan bagi kebanyakan industri, gaji dan upah bukanlah kos paling utama. Sebagai contoh, dari keseluruhan nilai jualan sektor perkilangan bagi Januari 2022 yang berjumlah RM139 bilion, kos gaji dan upah hanyalah RM7.87 bilion, iaitu 5.66 peratus.
Nilai jualan bagi setiap pekerja pula berjumlah RM61,116, meningkat 10.7 peratus berbanding Januari 2021, namun gaji dan upah hanya meningkat 4.1 peratus. Ini bermakna, jika kerajaan tidak campur tangan, pertumbuhan kadar upah menjadi lebih perlahan.
Selain itu, Perdana Menteri juga telah membentangkan beberapa pencapaian penting ekonomi seperti peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan kadar pengangguran dan prestasi kewangan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
Semakan dengan data-data industri juga mengesahkan bahawa negara kini berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat.
Menurut laporan oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) bertarikh 14 Mac lalu, pelabur asing di pasaran saham tempatan mengekalkan trend pembelian saham untuk hari ke-25 berturut-turut, di mana sehingga awal Mac lalu, nilai bersih kemasukan adalah berjumlah RM4.41 bilion.
Ini berlawanan dengan rekod negatif pengaliran keluar bersih berjumlah RM23.8 bilion pada 2020 dan RM3.3 bilion (2021). Ini adalah testimoni keyakinan pengurus dana asing terhadap pemulihan ekonomi negara.
Pandemik Covid-19 juga bukan alasan untuk tidak memperkenalkan gaji minimum baharu kerana banyak negara yang berbuat demikian.
Contohnya, New Zealand menaikkan gaji minimum pada April 2021 manakala Jerman menaikkan gaji minimum sebanyak tiga kali pada Januari dan Julai 2021 serta Januari 2022. Korea Selatan menaikkan gaji minimum pada Januari 2021.
Pengecualian yang diberi kepada syarikat dengan kurang dari lima orang pekerja, pelaksanaan gaji minimum tidak mempunyai kesan negatif ketara terhadap usaha menurunkan peratusan pengangguran.
Mungkin wujud sekelompok kecil majikan menunda rancangan pengambilan pekerja baharu.
Namun, musim perayaan terbesar negara iaitu sambutan Hari Raya Aidilfitri akan disambut pada awal Mei, di mana permintaan untuk barangan dan perkhidmatan akan meningkat.
Malah, tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa lonjakan ekonomi sempena Aidilfitri kali ini lebih tinggi kerana ia merupakan kali pertama semenjak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, umat Islam berpeluang menyambutnya tanpa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Para peniaga sudah tentulah mahu mengambil peluang sebegini untuk meningkatkan jualan mereka.
Kerana itulah, kita yakin impak negatif kesan kenaikan gaji minimum ini adalah terpencil dan kadar pengangguran negara yang berada pada kadar 4.2 peratus pada Januari lalu akan terus mencatatkan penurunan. – UTUSAN
PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.











