Selebriti wanita popular sepanjang zaman - Utusan Malaysia

Selebriti wanita popular sepanjang zaman

Selebriti ini membuktikan kesungguhan mampu melakar kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR dibayangkan dunia tanpa wanita. Sudah tentu, wanita amat diperlukan dalam kehidupan manusia.

Mereka membentuk hampir separuh populasi penduduk di seluruh dunia. Peranan mereka memberi inspirasi kepada seluruh komuniti. Kedudukan wanita mengalami begitu banyak perubahan sejajar dengan perkembangan zaman.

Berikut antara selebriti wanita paling popular di dunia bagi tahun ini sepertimana dilaporkan portal The Urban Maniac.

* Oprah Gail Winfrey
Dilahirkan pada 29 Januari 1954 di Kosciusko, Mississippi di Amerika Syarikat (AS).
Winfrey dinobatkan sebagai wanita kelahiran Afrika-Amerika paling kaya pada abad ke-20.
Beliau juga merupakan wanita Afrika-Amerika pertama memiliki syarikat penerbitannya sendiri. Winfrey pernah memenangi dua Anugerah Pilihan Rakyat dan dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi filem lakonan pertamanya.

Mengapa popular?
Tidak hanya miskin, sejak kecil Winfrey jadi mangsa penderaan seksual. Namun itu bukan halangan untuknya mencipta kejayaan. Pada usia 19 tahun, Winfrey menjadi pembaca berita malam tempatan di Nashville sebelum mengendalikan program bual bicara sendiri.
Mac tahun lalu, Winfrey menemubual Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle yang disiarkan dalam rancangan CBS Primetime Special. Apple TV + juga dalam perancangan mengeluarkan dokumentari mengenai dirinya.

* Rihanna
Pemilik nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty dilahirkan pada 20 Februari 1988 di Saint Michael, Barbados.
Menerima banyak penghargaan dalam bidang muzik, filem dan fesyen. Antaranya, Anugerah Ikon pada American Music Award. Bintang R&B itu menghasilkan lagu hit yang mengungguli tangga teratas sebanyak 14 kali dalam carta Billboard 100 AS. Penyanyi itu juga menerima enam pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.

Mengapa popular?
Memiliki 92.4 juta pengikut di akaun Instagram. Kerjaya nyanyian Rihanna bermula pada tahun 2005. Menjadi terkenal selepas mengeluarkan dua album berjudul Music of the Sun dan A Girl Like Me.
Lagu-lagu dihasilkannya berjaya dijual lebih 250 juta salinan. Beliau menerima sebanyak 13 Anugerah Muzik Amerika, 12 Anugerah Muzik Billboard dan sembilan Anugerah Grammy.
Rihanna juga merupakan antara wanita paling kaya dan berpengaruh serta pemuzik wanita yang memiliki nilai kekayaan bersih AS$600 juta (RM2.5 bilion).

* Lady Gaga
Nama sebenar Lady Gaga adalah Stefani Joanne Angelina Germanotta.
Penyanyi itu dilahirkan pada 28 Mac 1986 di New York, AS. Beliau dinamakan sebagai ‘Ratu Pop’ pada tahun 2011. Berjaya jual lebih 125 juta rekod pada 2014 sekaligus menjadikan Lady Gaga sebagai artis muzik paling laris di dunia.
Lady Gaga juga pernah mempersembahkan lagu kebangsaan AS, The Star-Spangled Banner pada majlis angkat sumpah presiden Joe Biden.

Mengapa popular?
Mendapat kemasukan awal di sebuah sekolah muzik di Universiti New York dan dari situ beliau mengasah bakat kemahiran menyanyi serta menulis lagu.
Pada usia 19 tahun, dia melalui detik pahit iaitu dirogol hingga terpaksa menjalani terapi psikologi.
Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, beliau mengatasinya dan menjadi seorang wanita yang berjaya dan terkenal dalam industri muzik.

* Adele
Adele atau nama sebenar Adele Laurie Blue Adkin dilahirkan pada 5 Mei 1988 di London, England.
Meraih pelbagai pencapaian, antaranya, dinobatkan sebagai artis wanita dengan album terlaris pada abad ke-21 di United Kingdom (UK).
Pernah muncul dua kali dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di majalah Time. Dianugerahkan pingat MBE bagi sumbangannya dalam bidang muzik pada majlis Ulang Tahun Kelahiran Ratu Britain.

Mengapa popular?
Adele merupakan salah seorang artiz muzik paling laris dengan jumlah jualan melebihi 120 juta rekod. Album pertamanya berjudul 19 merupakan album kategori triple platinum yang diperakui di AS dan 8x platinum di UK.

Saluran VH1 menyenaraikan Adele pada tangga kelima wanita popular paling hebat dalam muzik bagi 2012. Pada Ogos 2013, beliau menerima anugerah dari Putera Charles di Istana Buckingham.

Album Rolling Stones menduduki tempat ke-21 dalam senarai 500 album terbaik sepanjang zaman pada tahun 2020. Adele juga dinobatkan sebagai artis terbaik oleh Billboard sebanyak tiga kali.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Adele mengeluarkan single baharunya berjudul Easy on Me. Sebulan kemudian, beliau juga mengumumkan tarikh pelancaran album baharunya.

* Cher
Cherilyn Sarkisan lahir pada 20 May 1946 di El Centro, California, AS.
Majalah Biography menggelarnya sebagai antara pelakon utama kegemaran sepanjang hayat.
Cher dilihat sebagai simbol wanita dalam industri yang didominasi oleh golongan lelaki. Pernah meraih tangga ke-31 dalam senarai 100 Wanita Paling Hebat dalam Muzik VH1 dan kedudukan ke-41 pada 200 Ikon Budaya Pop Terhebat VH1.

Mengapa popular?
Cher memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Akademi, Anugerah Emmy, Anugerah Grammy dan tiga Anugerah Golden Globe.
Dikenali sebagai Dewi Muzik Pop, dia ada ramai peminat sejak berkecimpung dalam industri muzik sejak enam dekad lalu.
Beliau merupakan satu-satunya artis menghasilkan single yang mencatat kedudukan nombor satu pada usia 60an sekaligus membawanya tersenarai dalam 10 wanita paling popular. New York Times menyenaraikan nama Cher sebagai Pelakon Terbaik 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×