“Warga Albania cukup ramah dan baik hati. Berkunjung ke sana selama dua sudah cukup untuk mengenali perwatakan warga mereka yang diluarnya tampak garang tapi sebenarnya baik,” ujar Nuramirah Shahrin, 30 kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi cerita, pelajar PhD tahun tiga jurusan Sejarah di Universiti Ibn Haldun, Istanbul, Turki ini telah merancang bersama seorang rakannya, menjalankan ekspedisi pengembaraan ke enam negara Balkan pada 2017 menerusi konsep backpacker.
Menurut Nuramirah atau dipanggil Rara, pada mulanya, negara yang terletak di Eropah Tenggara itu sama sekali tidak dimasukkan ke dalam senarai enam buah negara Balkan yang ingin dilawati, sebaliknya hanya digunakan sebagai laluan ke kota Kotor yang terletak di Montenegro.
“Disebabkan kami terlepas bas terakhir dari Tasik Ohrid, Makedonia Utara, kami terpaksa mengharungi 133.6 kilometer perjalanan ke ibu kota Albania, Tirana dengan menaiki teksi.
“Perjalanan selama lebih dua jam setengah itu memakan kos tambang sebanyak 50 Euro (RM239). Kerana tiada perancangan, kami agak kaku setibanya di tengah-tengah bandar Tirana,” tambahnya lagi.
Ketika merasa agak kusut dengan situasi tak diduga itu, mereka terdengar laungan azan dari masjid berdekatan. Tanpa melengahkan masa, kedua-dua rakan ini bergegas menuju ke masjid.
Setelah selesai menunaikan rukun Islam kedua di rumah ibadat tersebut, mereka disapa oleh jemaah yang tertarik melihat sosok dua anak gadis luar berada di tanah air mereka. Detik itu cukup menunjukkan keramahan warga Albania dalam menyantuni orang asing.
TIADA STESEN BAS
Memandangkan ketiadaan stesen bas utama, mereka dicadangkan untuk menginap sementara sama ada di asrama pelancong atau hotel.
Harga penginapan semalaman di asrama hanyalah 5 euro (RM1.50) seorang.
“Bangunan asrama kami menginap itu pernah menjadi pejabat pengurusan Komunis sewaktu zaman Yugoslavia dulu. Kesan peluru masih kelihatan di beberapa bahagian bangunan. Bilik kami juga sangat selesa dengan katil yang besar serta balkoni menghadap ke arah sungai,” tambahnya yang sudah jatuh hati dengan negara Balkan itu.
Portal worldpopulationreview, mendedahkan Albania merupakan antara 10 negara termiskin di Eropah dengan kadar isi rumah per kapita 5,210 USD (RM21,769) pada 2020. Namun menurut pengamatan Rara, dia tidak merasakan Albania seperti sebuah negara miskin.
“Mungkin kerana saya singgah di bandar utama Albania pada waktu yang singkat,” katanya.
Lek merupakan matawang Albania. Pertukaran RM1 bersamaan 25 lek. Air mineral sebesar 1.5 liter di Albania berharga 50 lek (RM1.97), tidak begitu berbeza seperti di Malaysia.
BANYAK PILI AIR
Sepanjang perjalanan di sana, mereka dapat melihat banyak pili air atau air mineral pancut bawah tanah disediakan untuk orang awam.
Rara menyarankan pelancong menyediakan sebuah botol air supaya dapat mengisi air yang disediakan secara percuma kepada orang ramai atau terus minum di pili yang terdapat di sana. Airnya juga segar dan sedap.
“Sebelum ke bumi Albania, saya tidak tahu tentang masyarakat, situasi dan tradisi di sana. Saya kira seseorang harus berkelana di sesebuah tempat kalau betul-betul nak faham cara hidup dan berfikir mereka.
“Tapi dari sudut sikap atau perwatakan, saya boleh faham sikit menerusi rakan sekuliah Albania saya. Dia seorang yang periang dan kadang kala tegas dalam mendapatkan haknya,” katanya.
Mungkin selama ini pandangan orang terhadap orang Albania ini sama seperti perwatakan komunis.
Bengis, tegas dan tidak mesra. Namun hakikatnya, mereka ramah, pemurah dan suka membantu. Jika berada di Albania dan memerlukan pertolongan, jangan segan bertanya kerana mereka pasti akan membantu sehabis baik.
Rakyat Malaysia boleh masuk ke Albania tanpa visa bagi tempoh 90 hari.
Selain selamat serta kos hidup yang lebih murah, anda pasti puas dan berbaloi melawat negara yang kaya dengan sejarah dunia ini. Anda bakal disajikan dengan peninggalan sejarah dari zaman Uthmaniyah hinggalah era Komunis.










