UKIRAN kayu menjadi seni yang cukup sinonim dengan identiti masyarakat Melayu, malahan ia wujud sejak berabad lamanya. Meskipun dianggap sebagai industri desa, namun berpotensi besar kerana dianggarkan terdapat 3,000 spesies sumber kayu di negara ini.
Sebagai orang Melayu, patut berasa bangga apabila seni ukiran kayu Melayu dipilih menjadi penghias dalaman untuk sebuah auditorium di Universiti Oxford, antara universiti berprestij di dunia. Ukiran daripada kayu bermotifkan awan larat itu telah menghiasi tingkap anjung, pintu utama, birai tangga dan dinding auditorium utama dan galeri di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Malaysia.
Bahkan yang lebih ketara ialah kecenderungan masyarakat masa kini yang gemar memilih kelengkapan rumah diperbuat daripada seni ukiran kayu. Malah ada juga lebih selesa membina rumah daripada kayu di tengah-tengah bandar dengan memasukan elemen seni ukir yang menarik. Perubahan cita rasa masyarakat yang lebih tertarik dengan seni ukiran kayu menjadikan seni warisan ini semakin mendapat tempat di pasaran.
Industri ukiran kayu sebenarnya memiliki potensi sangat besar dan menjamin pulangan yang menarik, selain memiliki nilai estetika yang tinggi. Setiap motif yang diukir mempunyai plot dan cerita tersendiri. Ianya memberikan tambahan nilai jika dipasarkan secara meluas di pasaran antarabangsa. Ketika ini, terdapat kira-kira 500 pengusaha aktif dalam pelbagai kapasiti industri ukiran kayu di seluruh negara, namun dianggarkan hanya 42 pengusaha aktif melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang memegang tanggungjawab penting dalam melestarikan serta mengembangkan industri tersebut.
Keyakinan kepada MTIB menjadikannya sebagai agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran semasa. Pelan Pembangunan Strategik Ukiran Kayu 2021-2030 dirangka bertujuan untuk menggalakkan pengeluaran produk ukiran kayu secara besar-besaran bagi mewujudkan permintaan dan meningkatkan penjualan selain menghasilkan sumber pendapatan baharu dan lebih menguntungkan bagi pengukir kayu tempatan.
MANFAAT TEKNOLOGI
Antara fokus pelan strategik adalah penyelarasan perkembangan teknologi terkini termasuk memanfaatkan teknologi sedia ada agar pengukir kayu dapat terus kekal dalam tempoh jangka panjang sekali gus pengembangan industri dengan mencapai tahap lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat.
Salah satu caranya adalah dengan meningkatkan kemahiran pengukir dalam produktiviti dan penggunaan teknologi seperti pemotong laser, alat kawalan berkomputer untuk ukiran dan pencetak 3D yang dapat membuka ruang lingkup lebih luas terhadap pengeluaran dan penggunaan kayu ukiran.
Namun ada yang melihat seni ukiran kayu sebagai biasa sahaja. Ukiran kayu merupakan seni menyobek atau mengoyak permukaan papan atau bongkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif. Tukang ukir akan melahirkan ilham berdasarkan kehidupan seharian seperti budaya, kepercayaan dan keagamaan, pemikiran, sosial, alam persekitaran seperti flora serta fauna dan sebagainya. Terdapat juga ukiran kayu yang menggambarkan peristiwa penting seperti percintaan atau pergaduhan.
Elemen estetik, motif dan falsafah adalah unsur utama yang menjadikannya berseni. Satu-satu penghasilan ukiran kayu itu dapat dikenali berdasarkan corak, bentuk dan keasliannya.
Jika dilihat hari ini sememangnya ukiran kayu Melayu tidak kira tradisi ataupun kontemporari mula mendapat tempat dihati peminat. Seni ukir merupakan cottage industry bagi orang Melayu pada zaman dahulu. Namun ia tidaklah meluas dan hanya meliputi negeri di pantai timur.
Nilai-nilai estetik dinilai apabila langkah memulihara warisan tradisi dilaksanakan. Bahan yang digunakan juga menggambarkan betapa kita kaya dengan hasil hutan. Kayu seperti cengal, merbau, balau, seraya dan lain-lain lagi merupakan produk yang berkualiti dalam penghasilan ukiran. Corak yang terdapat pada ukiran ini berbeza di antara negeri disebabkan ilham pengukir serta pengaruh alam terutamanya flora dan fauna.
BAHAN BINAAN
Ketahanan kayu sebagai bahan binaan terbukti dengan adanya peninggalan binaan rumah, istana dan masjid tradisi lama di Malaysia. Seni bina ini menonjolkan seni ukiran kayu Melayu yang menggambarkan ciri-ciri seni bina tradisi dan keunikan budaya bangsa Melayu di masa lampau.
Langkah kerajaan mewujudkan Lembaga Kraftangan Malaysia sebagai pusat bagi tujuan promosi secara komersial amat baik, namun tidak dinafikan masih ada lagi pengukir yang bergerak secara sendirian dalam mempromosikan hasil kerja tangan mereka.
Warisan yang ada ini sama-sama kita dijagai dan jadikannya sebagai khazanah negara yang berpotensi besar untuk dimaju dan dikembangkan. Potensinya yang besar itu tidak seharusnya dibiarkan hilang begitu sahaja. Walaupun pelbagai produk dikeluarkan oleh pengusaha ukiran, tetapi harus diingat jika tiada yang lama maka tidak akan ada yang baru. Bermakna, kekalkanlah apa yang ada dan perbaharuilah dengan sempurna agar warisan itu terus kekal dan mekar selamanya.
Begitulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dahulunya hanya menjadi penghias istana lama namun kini telah mencapai tahap bertaraf dunia meneroka jauh ke negara luar. Reka bentuknya yang menonjolkan ciri-ciri tempatan serta mencerminkan keunikan nilai dan motif seni etnik atau tradisional harus diketengahkan sebagai strategi pemasaran.
Masyarakat antarabangsa akan lebih tertarik dengan kualiti dan keterampilan produk tempatan dengan adanya kelainan reka bentuk yang ditonjolkan dan pastinya ia akan mencapai harga yang lebih tinggi. Hargailah seni warisan budaya sebagai sesuatu yang berharga kerana ianya mencerminkan identiti bangsa kita.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)











