Barisan Exco Johor muka baharu? - Utusan Malaysia

Barisan Exco Johor muka baharu?

Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor Mac lalu akan membentangkan belanjawan negeri esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pelantikan Menteri Besar Johor ke-19 boleh dianggap selesai susulan Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Selasa lalu.

Memang masih ada cakap-cakap tentang hal itu sehingga kini apabila sudah pasti ia satu yang mengejutkan kerana seperti diketahui, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebelum itu adalah calon tunggal yang diumumkan sejak sebelum penamaan calon hingga ke malam kemenangan.

Namun, takdir kemudian menentukan Onn Hafiz adalah Menteri Besar baharu. Maka babak tersebut kini beralih ke episod seterusnya iaitu pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula.

Jika melihat barisan Exco di bawah pimpinan Hasni, hanya dua daripada mereka yang masih bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing iaitu Datuk Samsolbari Jamali (Semarang) dan R. Vidyananthan (Kahang).

Samsolbari yang juga Setiausaha UMNO Johor adalah penyandang bagi portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, manakala Vidyananthan menguruskan hal ehwal Kesihatan dan Alam Sekitar.

Selain mereka berdua, Onn Hafiz yang dahulunya Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan kini sudah menjadi Menteri Besar, sementara Hasni pula turut bertanggungjawab bagi Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.

Mengambil kira ‘kekosongan’ tujuh atau lebih jawatan Exco apabila mereka yang lain tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu serta tewas di kerusi masing-masing, maka sudah tentu sebahagiannya akan diisi oleh muka baharu.

Kumpulan sembang

Ketika ini, bertebaran di kumpulan-kumpulan sembang aplikasi WhatsApp pelbagai senarai nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor 2022-2027. Ada yang teka si polan jadi Exco ini, si A pula pegang portfolio itu tetapi hakikatnya belum ada maklumat rasmi lagi setakat ini.

Harus diingat, sama seperti calon Menteri Besar Johor, barisan Exco kerajaan negeri itu perlu mendapat perkenan pihak istana selaras peranan penting yang dimiliki Sultan Ibrahim mengikut Undang-Undang Tubuh Johor 1895.

Tetapi, ‘Kabinet bayangan’ itu kini tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan tenaga muda selari dengan Menteri Besar baharu yang berusia 44 tahun. Andai perkara itu dipertimbang mungkin nama lima Pemuda UMNO Johor yang antara 40 ADUN Barisan Nasional (BN) menang PRN lalu tidak mustahil terselit.

Mereka antaranya Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Md. Shah (Larkin), Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid (Semerah) dan Bendahari Pemuda BN Johor, Datuk Najib Samuri (Parit Yaani).

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Pengerang, Aznan Tamin (Tanjung Surat) dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Ir. Mohammad Fadzli Mohammad Salleh (Bukit Pasir) mungkin antara yang tersenarai. Kelima-lima mereka juga berusia antara 36 hingga 42 tahun.

Bagi kuota MIC dan MCA, sekurang-kurangnya dua nama turut disebut-sebut berada dalam pertimbangan untuk dilantik ke jawatan Exco iaitu Ketua Pemuda MIC Pusat, K. Raven Kumar (Tenggaroh) dan Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon (Yong Peng).

Raven Kumar, 40, memasuki penggal ketiga sebagai ADUN dan dianggap berpengalaman untuk memegang tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor dan Tian Soon, 38, juga adalah Ketua Bahagian MCA Yong Peng.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×