EV: SDM, TOC Automotive College bekerjasama tingkat bakat

SDM, TOC bekerjasama tingkat kemahiran juruteknik EV tempatan

JEFFREY Gan (tengah) bersama pengurusan tertinggi SDM dan TOC selepas kedua-dua pihak menjalin kerjasama tingkat kemahiran juruteknik EV tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Sime Darby Motors (SDM) bekerjasama dengan TOC Automotive College untuk melancarkan program bagi menaik taraf kemahiran juruteknik Kenderaan Elektrik (EV) yang berkhidmat untuk jenama automotif global yang diwakili SDM.

Menurut syarikat itu, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha Sime Darby Motors untuk memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan dalam sektor automotif meningkatkan kemahiran mereka.

Menerusi kerjasama ini, latihan yang diberikan oleh TOC Automotive College akan melengkapi latihan servis dan penyenggaraan EV yang diterima daripada syarikat-syarikat prinsipal jenama SDM, termasuk BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, Mini dan Volvo.

“Hal ini akan menjamin pendidikan dan pendedahan kepada teknologi terkini dan amalan bertaraf dunia bagi semua juruteknik EV SDM secara berterusan,” jelasnya dalam kenyataan.

Kumpulan pertama peserta terdiri daripada 20 juruteknik yang telah mendaftarkan diri untuk program yang berjalan selama tiga bulan bermula Mei ini. Antara modul penting yang akan diajar termasuk prinsip dan konsep elektrifikasi dan penghibridan, keselamatan dan pengendalian sistem serta aktiviti amali seperti diagnostik, pengujian dan kerja pembaikan.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Peruncitan dan Pengedaran SDM, Jeffrey Gan berkata, juruteknik syarikat telah menimba ilmu pengetahuan yang kukuh dan pengalaman praktikal menerusi latihan yang disediakan oleh syarikat-syarikat prinsipal yang bertaraf dunia.

“Kerjasama dengan TOC ini bertujuan menawarkan peluang pembelajaran lebih tinggi untuk melahirkan sekumpulan juruteknik berwibawa yang dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan terkini, memandangkan terdapat permintaan semakin meningkat bagi EV di Malaysia.

“Ini juga akan menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk membina bakat yang cekap dan mahir, demi menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara,” kata beliau.

Pengarah Eksekutif TOC Automotive College, Datuk Iqmal Shafiq pula berkata, dengan meningkatkan kemahiran juruteknik EV bagi jenama-jenama automotif global, kerjasama ini akan menawarkan peluang lebih besar kepada bakat automotif Malaysia.

“Dengan matlamat merintis hala tuju masa depan bidang automotif Malaysia, kami berharap untuk memanfaatkan kepakaran kami untuk terus meningkatkan keupayaan golongan profesional dalam bidang automotif agar mencapai piawaian global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×