Momentum Wanita UMNO membara - Utusan Malaysia

Momentum Wanita UMNO membara

NORLIZA ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEMENANGAN beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk yang terbaharu di Melaka dan Johor berjaya membuktikan sokongan rakyat masih utuh terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dan sudah pasti aura ‘feel good factor’ ini akan menghangatkan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini.

Tidak boleh dinafikan disebalik kejayaan demi kejayaan parti Melayu itu dibelakangnya adalah usaha keras Wanita UMNO yang tidak pernah kenal penat dan lelah dalam mendekati dan menjiwai denyut nadi rakyat.

Naib Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, DATUK NORLIZA ABDUL RAHIM bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

Malah dalam satu temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, beliau menyatakan kesediaan untuk hadapi perang siber yang menjadi medan utama informasi dan fitnah.

UTUSAN : Berapa ramai ahli Wanita? Ada penambahan ahli sejak kebelakangan ini?

NORLIZA : Keahlian UMNO adalah sekitar 3.35 juta orang yang datang dari hampir 22,000 UMNO cawangan di seluruh negara. Ini jumlah tahun lalu dan sudah tentu bertambah.

Kalau dicongakkan, keahlian Wanita UMNO sahaja melebihi 1.3 juta orang. Kita mempunyai komposisi terbesar di dalam parti. Bilangan ahli Wanita di dalam parti semakin bertambah termasuk ahli baharu.

Jumlah itu meningkat kerana keyakinan rakyat yang melihat parti UMNO sebagai wadah perjuangan yang tulen, sebuah parti yang tetapkan sayangkan rakyat jelata apatah lagi orang Melayu dan Bumiputera. Wanita adalah tulang belakang parti.

Apakah usul yang akan dibawa semasa PAU? Bagaimana mahu realisasikan?

Biasanya setiap perwakilan sayap akan dipilih untuk membahaskan dan menyentuh Dasar Ucapan Presiden.

Sudah tentu usul berkaitan kesiapsagaan PRU15, keterlibatan 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan, penyertaan politik dalam pilihan raya dan kepimpinan di peringkat tertinggi masih menjadi agenda utama. Ini kami konsisten.

Saya juga percaya isu pemulihan ekonomi, kesejahteraan kesihatan awam, kos kelangsungan kehidupan harian, masalah ibu tunggal dan keluarga, menyantuni orang muda, kesaksamaan pendidikan dan perniagaan selain menangani Covid-19 dan hubungan antara kaum serta kestabilan negara antara yang akan dibangkitkan dalam PAU kali ini.

Pandangan Datuk berhubung suasana PAU kali ini yang mungkin berasaskan ‘feel good factor’ selepas UMNO/BN menang dalam beberapa siri PRN dan PRK?

Sudah tentu perasaan syukur itu perlu dizahirkan. Terima kasih kepada rakyat iaitu pengundi yang menterjemahkan sebuah kerajaan yang stabil sekali gus membolehkan pelaksanaan dasar baharu.

Sebagai sebuah kerajaan yang stabil, kepimpinan pentadbiran kerajaan baharu dapat merangka perancangan demi kepentingan rakyat.

Justeru itu, perkembangan politik sekarang sangat menarik, perlu penuh berhati-hati dan berwaspada, bijak menguruskan persepsi rakyat serta mengotakan janji. Semua elemen ini UMNO terus semaikan dalam memberi perasaan baik atau ‘feel good factor’ itu.

Saya akui bahawa semangat berkobar-kobar itu ada selepas kemenangan bermaruah dicapai di Johor, Melaka dan PRK yang lain. Namun kemenangan ini tidak boleh kita berasa over confident bahawa rakyat telah terima UMNO sepenuhnya. Walaubagimanapun, kita dapat merasakan arus kepercayaan rakyat sedikit sebanyak semakin positif kepada kepimpinan UMNO/BN itu sendiri.

WANITA SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB

Bagaimana pula dengan agenda/fokus pemerkasaan wanita yang diperjuangkan? Adakah mencapai sasaran?

Dalam hal pemerkasaan wanita, saya cukup konsisten sejak dulu bahawa perjuangan dan keterlibatan Wanita UMNO juga memerlukan pembaharuan yang berani.

Saya pernah membangkitkan soal penyertaan 30 peratus wanita hendaklah dipinda dan dimasukkan di dalam Perlembagaan UMNO. Barulah pelaksanaan itu tercapai kelak.

Sejak dahulu perkara ini selalu dibangkitkan. Soalnya sekarang bagaimana hendak merealisasikan 30 peratus ini untuk tempoh singkat? Mungkin boleh dicadangkan seandainya tidak mencukupi 30 peratus calon wanita untuk bertanding di peringkat Parlimen atau DUN, maka parti yang diwakilinya tidak layak atau tidak perlu bertanding dalam PRU15 dan PRN.

Apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjayakannya?

Sebagai pemimpin tertinggi yang bersikap terbuka, kena ada keberanian ini supaya ia dijadikan dasar parti. Barulah kita nampak komitmen itu kelak.

Sekiranya alasan yang diberikan itu dek kerana latar belakang wanita itu, perlu saya ingatkan bahawa pencapaian wanita di universiti adalah sangat cemerlang.
Wanita sebenarnya sudah sampai ke satu tahap bersedia dalam menawarkan kesaksamaan gender kerana keupayaan kami yang multi-tasking.

Namun saya mengucapkan terima kasih jua kepada kepimpinan tertinggi kerana terus menerus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Wanita sebagai frontliner parti. Ini satu pengiktirafan besar kepada kaum ibu Wanita UMNO. Yang penting sokongan dari atas ke bawah sangat dituntut. Wanita perlu dihargai dan dihormati kerana kami telah memberi sumbangan dan pengorbanan perjuangan.

Sebagai contohnya, calon-calon Wanita UMNO dan BN perlu diletakkan di kawasan yang selamat dan boleh menang. Bukan lagi diletakkan di kawasan suam-suam kuku, kawasan hitam mahu pun kelabu pada PRU15 nanti. Yakinlah bahawa pengundi juga mengharapkan keterlibatan golongan wanita di peringkat politik sebagai wakil rakyat yang serba boleh. Inilah yang ada dalam ciri-ciri wanita.

Perdana Menteri menyaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) GLC. Bagaimana Wanita boleh berperanan menjadikannya realiti?

Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sikap keterbukaan yang memberi peluang dan ruang kepada ramai wanita yang berkaliber dilantik sebagai ahli lembaga pengarah serta lantikan sebagai pengerusi di dalam GLC. Kekuatan pelaksana itu penting yang datang dari atas untuk menjadi realiti.

Sebenarnya golongan wanita seperti Wanita UMNO, ramai dalam kalangan kami mempunyai pengalaman yang sangat luas dari segi pentadbirannya, korporatnya, perniagaannya serta kepimpinannya. Ditambah lagi ramai juga dalam golongan profesional, dunia korporat dan pendidikan tinggi dari universiti luar negara dan dalam negara seperti mana yang awal saya sebutkan tadi.

Harapan dalam PAU kali ini?

Apabila memperoleh kemenangan besar di PRN Johor dan Melaka, momentum ahli-ahli UMNO semakin meningkat dan membara.

Sudah tentu momentum ini perlu dikekalkan sehingga PRU15. Jadi sudah tentu di dalam PAU, amanat dan musyawarah hendaklah dititikberatkan dan mengambil kira pandangan akar umbi iaitu perwakilan dan pembahas yang mewakili negeri masing-masing.

Sepanjang PAU kali ini, sudah tentu paluan gendang perang didengari. Semangat kata-kata dan amanat mendekati rakyat dan pengundi akan menjadi bekalan perjuangan untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing.

Sudah tentu harapan kepada keterlibatan Wanita dalam memberi sumbangan kemenangan besar kepada parti dalam PRU-15 dan seterusnya.

 

PRU15

Terdapat desakan untuk diawalkan PRU15, bagaimana persiapan Wanita?

PRU-15 akan tetap berlaku. Bagaimanapun kita perlu melihat lebih mendalam dengan keperluan semasa.

Kalau hendak diikutkan lagi, desakan PRU15 itu sudah bermula ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan tersendirinya sewaktu pengunduran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketika itu, UMNO/BN berasakan perlu ada PRU15 bagi mengembalikan mandat rakyat untuk menentukan semula hala tuju negara.

Namun adakah keperluan PRU15 itu berasaskan faktor kemenangan UMNO/BN dalam PRN di Johor dan Melaka ? Adakah kemenangan itu boleh dijadikan petunjuk prestasi?

Adakah pencapaian kemenangan itu satu kekuatan atau kekuatan itu satu kemenangan? Bukan kita menolak PRU15 walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa ke atas perkara itu namun adakah pandangan rakyat juga sudah diambil kira? Oleh itu, biar pucuk pimpinan tertinggi berbincang dan perhalusinya dengan sehabis baik.

Sudah bersedia menghadapi perang siber?

Mengenai soal perang siber ini, jangan ingat kami Wanita tidak celik penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok, Instagram dan Whatapps.
Wanita sebenarnya adalah kelompok antara yang aktif bermedia sosial. Penggunaan TikTok dipelbagaikan dengan citarasa kami serta bermaklumat.

Jangan pandang rendah kepada Wanita dalam perang siber ini. Malahan pengalaman menggerakkan jentera berkempen di dalam PRN dan PRK lalu adalah satu pengalaman baru. Kami ada kaedah penyampaian yang baharu kepada pengundi kelak.

Kaedah untuk melawan fitnah di media sosial?

Fitnah ini sudah menjadi permainan berita dan cerita di media sosial baharu. Sangat menakutkan kerana ia diulang-ulang sehingga ramai yang mempercayainya.

Wanita UMNO sangat peka dengan perkara itu. Sebenarnya Wanita sedang memperkukuh pasukan penulis blognya bagi menangkis segala persepsi negatif yang dilemparkan pihak pembangkang kepada parti.

Jentera siber Wanita akan memberi fakta dan analisis yang tepat dan benar. Insya-Allah, kebenaran sesuatu berita itu akan dapat menangkis. Kita ada cara interaktifnya.

Malahan Wanita mempunyai Biro Media Sosial yang bertanggungjawab memperkukuh pasukan penulis blog pergerakan berkenaan bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan tugasnya.

Penguasaan penggunaan media sosial baharu juga sangat digalakkan dalam kalangan Wanita. Sebut sahaja apa jua medium, kita sedang menguasai dengan cepat.

Bagaimana tumpuan dalam PRU15 pula?

Kemenangan ini dicapai hanya di peringkat negeri sahaja. Tumpuan sebenar kita ialah memenangi PRU15 untuk mentadbir negara. Soalnya sekarang ialah adakah UMNO sendiri telah memberi fokus kepada setiap negeri yang belum dibubarkan lagi?

Seandainya dibubarkan Parlimen, maka ia mencakupi seluruh negara di peringkat kerusi Parlimen serta DUN di beberapa negeri. Pucuk pimpinan perlu perhalusi dan perincikan secara holistik agar PRU15, BN dapat menguasi lebih dua per tiga untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Pelbagai faktor perlu dikaji secara mendalam, kerana berbeza dengan PRN di mana peratusan keluar mengundi agak rendah, begitu juga dengan peratusan pengundi luar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×