TERDAPAT pelbagai pandangan berlegar-legar di media berkaitan kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memilih dan melantik Menteri Besar rentetan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Selasa lalu, Datuk Onn Hafiz Ghazi sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan baginda di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Apa jua pandangan yang diberikan, kita tidak boleh mengelak untuk memahami peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor. Naskhah perlembagaan ini adalah perlembagaan negeri yang pertama wujud dalam negara kita.
Berdasarkan rekod, ia digubal di Istana Besar Johor dan diwartakan pada 14 September 1895 sebagai manifestasi bahawa negeri Johor adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat.
Perlembagaan Negeri Johor ini mempunyai tiga bahagian merangkumi 115 peruntukan atau fasal yang menyentuh kedudukan dan kuasa institusi raja, susunan pelaksanaan dan pelantikan ahli-ahli pentadbiran negeri dan bahagian am menyentuh hal ehwal urusan kerajaan negeri.
Ia telah melalui evolusi pindaan di mana pada 1959 iaitu dua tahun selepas kemerdekaan, penambahan peruntukan dibuat apabila Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dimasukkan ke dalam Bahagian Dua undang-undang tubuh berkenaan.
Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan ini memperkukuhkan status kepentingan perlembagaan negeri dengan menyatakan perkara-perkara yang perlu ada di dalam undang-undang tubuh sesebuah negeri tersebut.
Ia juga menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan diiktiraf di dalam Perlembagaan Negeri Johor menjadikan Johor sebagai sebahagian dari Persekutuan. Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan memperakukan kuasa sultan sesuatu negeri untuk menjalankan hak-hak dan keistimewaan sultan negeri itu mengikut peruntukan perlembagaan negeri.
Adalah menarik untuk diketahui oleh pembaca bahawa Fasal 7(2)(a), Bahagian Kedua, undang-undang tubuh itu telah menetapkan bahawa baginda boleh mengikut kuasa tadbirnya sendiri tanpa perlu mendapatkan nasihat dari mana-mana pihak untuk bertindak dan melaksanakan tujuh perkara utama dalam negeri iaitu dalam soal pemilihan Menteri Besar Johor.
Ini termasuk penangguhan perkenan untuk dimansuhkan dewan negeri, meminta diadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja bagi membincangkan kedudukan duli-duli yang maha mulia atau istiadat agama, perkara berkaitan kewajipan sebagai ketua agama Islam dan adat orang Melayu, pelantikan Permaisuri, Pemangku Raja, pelantikan Jemaah Pangkuan Raja, pelantikan orang besar negeri dan membuat peraturan berkaitan hal ehwal majlis diraja dan istana.
Fasal 4(2) (a) Bahagian Kedua undang-undang tubuh itu seterusnya memberikan panduan kepada baginda bahawa seorang Menteri Besar yang dilantik adalah terdiri daripada seorang ahli Dewan Negeri yang pada hemat dan timbangan baginda boleh mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Negeri yang mana calon itu hendaklah juga menepati syarat di Fasal 3(2) iaitu beragama Islam dan berbangsa Melayu kecuali dalam keadaan yang difikirkan sebaliknya oleh baginda.
SUMPAH KERANA RAJA
Tidak terhenti di situ Fasal 8, Bahagian Ketiga undang-undang tubuh itu di atas tajuk Kelebihan Raja Tersimpan memberikan ruang untuk memperakukan bahawa kuasa dan kelebihan prerogatif (hak istimewa) raja sebagai puncak kuasa negeri itu adalah sentiasa tersemat rapi dan terjaga.
Oleh kerana parti-parti politik tidak pun disebut dalam undang-undang itu maka baginda tidak terikat untuk mengikuti cadangan mana-mana parti politik.
Apa yang penting adalah pada hemat baginda seseorang Menteri Besar yang dipilih itu mestilah menurut pertimbangan baginda, menerima sokongan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Istilah sebilangan besar itu adalah ujian subjektif mengikut timbang tilik dan kebijaksanaan baginda sendiri untuk menelitinya.
Maknanya, bukti surat-surat akuan bersumpah yang ditandatangani oleh ADUN yang dipilih bukanlah satu-satunya kaedah mutlak yang digunakan bagi membuktikan apa-apa sokongan kepada mana-mana individu.
Terdapat laporan menyatakan UMNO mengemukakan akuan berkanun (SD) 38 daripada 40 ADUN menyokong Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar.
Jauh dari itu, institusi kesultanan bukan hanya menjadi satu institusi semak dan imbang sahaja, namun adalah untuk memastikan sesebuah negeri kekal stabil.
Demikianlah urusan pentadbiran negeri yang berdaulat itu perlu dan sentiasa dinaungi peruntukan undang-undang tubuh negeri apatah lagi baginda apabila melaksanakan sesuatu urusan pentadbiran Johor adalah tertakluk kepada “Sumpah Kerana Raja” sebagaimana Jadual Pertama Fasal 8 Bahagian Pertama yang antara lain menyatakan bahawa baginda bersumpah di atas nama Allah untuk memerintah dengan adil dan saksama terhadap seluruh rakyat negeri dan pada setiap masa menghormatkan letak duduk agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
Dalam kita menyusuri peruntukan undang-undang tubuh itu, kita akan mendapati bahawa Perlembagaan negeri ini mempunyai pengaruh Islam yang meluas hinggakan pada awal teks seru pembukaan naskhah tersebut, ia dimulakan dengan Almarhum Sultan Abu Bakar merujuk dirinya sebagai al-Wathiq billah yang membawa maksud orang yang percaya kepada Allah.
Menarik untuk dilihat bagaimana kuat pegangan Almarhum terhadap peruntukan undang-undang tubuh itu hingga mana-mana pihak yang mengingkari peruntukan itu dikategorikan sebagai haram dan dianggap sebagai dayus dan berdosa.
Demikianlah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor ini berperanan dalam memimpin dan menaungi tatacara kehidupan kita bernegeri.
Melihat kepada keadaan politik di negara kita mutakhir ini, amatlah bersesuaian waktunya untuk kita mengangkat kembali dan memperkukuhkan undang-undang tubuh itu dalam kehidupan rakyat seharian dan semoga ia hendaklah bersifat segar dan hidup supaya terus kekal relevan. – UTUSAN
DATUK Ikbal Salam ialah peguam bela & peguam cara di Johor Bahru.











