Bersediakah orang Cina undi BN? - Utusan Malaysia

Bersediakah orang Cina undi BN?

PILIHAN Raya Kecil DUN Bugaya akan diadakan serentak dengan PIlihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor sudah selesai. Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Parti pembangkang memperoleh 16 kerusi melalui Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.

Yang menariknya, MCA berjaya merampas semula empat kerusi yang mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. MIC juga meraih tiga daripada empat kerusi yang mereka bertanding.

Melihat perkembangan ini, adakah PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat? Adakah pengundi Cina telah bersedia menyokong semula BN di peringkat nasional?

Dalam PRU14, pembangkang melalui strategi propaganda dalam media sosial yang agresif berjaya memujuk pengundi di luar negara pulang mengundi.

Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu menukar kerajaan yang kononnya korup dan tidak berintegriti.

Boleh dikatakan para pemimpin BN pada masa itu terlalu memandang ringan berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu tersebut dieksploitasi secara habis-habisan dan dengan bijaknya oleh pembangkang sehingga tiada sebab mengapa kerajaan pada waktu itu tidak patut lagi tidak ditolak sama sekali.

Ia bukan sahaja berjaya mempengaruhi bukan Melayu, malah pengundi Melayu juga.

Tentu ada sebab lain mengapa PH berjaya dalam PRU14 termasuk menyediakan satu manifesto yang berjaya menawan hati pengundi.

Ramai percaya pada keesokan hari selepas mengundi, Malaysia akan menjadi sebuah negara bebas korupsi dan tiada lagi apa-apa bentuk ketidakadilan sosial berlaku.

PRU14 secara menyeluruh boleh dilihat sebagai satu gerakan emosi masyarakat bukan Melayu diterjemahkan kepada bentuk undi bagi menentang hegemoni politik secara besar-besaran.

Tindakan tersebut menggemparkan dan tidak kurang menghairankan banyak pihak termasuk parti pemerintah sendiri.

Namun, saya lebih suka menyifatkan PRU14 sebagai satu kegagalan kerajaan BN meneliti permasalahan rakyat secara serius.

Bagaimanapun, kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan kerana perpecahan dalaman hingga menyebabkan ketidakstabilan politik negara secara berpanjangan.

Berbalik kepada PRN Johor, parti dominan BN, UMNO tentu suka melihat PRU15 diatur secepat mungkin agar mereka boleh merebut kembali tampuk pimpinan negara.

Mereka tidak mahu parti lawan mempunyai masa secukupnya untuk bangkit semula.

Tetapi kali ini DAP masih mempertahankan 10 kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina. Ini bermaksud walaupun pengaruh PH kelihatan berkurangan, tetapi DAP masih kukuh dalam kalangan masyarakat Cina. S

emakin banyak undi Cina yang DAP raih, bermaksud masih banyak lagi kelemahan yang BN perlu atasi.

Bagi pengundi Cina, walaupun pemimpin UMNO kelihatan sudah tidak lagi bongkak dan sombong seperti dahulu tetapi mereka masih jauh dalam memenuhi tuntutan saksama yang para pengundi bukan Melayu suarakan.

Apatah lagi pembaharuan politik secara radikal di pihak kerajaan masih belum kelihatan.

TEGAS

Untuk pilihan raya yang lepas-lepas, secara am, MCA hanya berjaya memungut 30 peratus undi Cina. Sebanyak 70 peratus undi Cina selebihnya jatuh ke tangan DAP.

Sokongan pengundi Cina itu membolehkan DAP sering kali menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen dengan 20 wakil terutama di kawasan bandar.

Orang Cina agak tegas. Mereka mahu DAP menjadi pembangkang, mewakili suara mereka untuk melawan dasar-dasar UMNO yang sering dirasakan terlalu memihak kepada kaum tertentu.

Sama ada DAP sanggup melaksanakan amanahnya merupakan perkara kedua.

Yang nyata, MCA sering dijadikan mangsa tikaman. Sehingga hari ini, MCA sering diserang dalam media Cina sebagai tali barut kerana menjual kepentingan Cina kepada sekutu politiknya demi kepentingan sendiri.

Tuduhan itu seakan mencerminkan satu bentuk budaya buli politik yang buruk.

Barangkali sudah sampai masanya BN meninjau apakah dasar-dasar baharu yang lebih menyeluruh dan sesuai agar orang Cina tidak lagi berasa terpinggir dan tertinggal daripada mana-mana program pembangunan negara.

Pemimpin UMNO perlu lebih prihatin dengan rakan-rakan politik dalam BN. MCA dan MIC tiada upaya berdepan dengan desakan-desakan pengundi bersendirian.

MCA dan MIC perlu disokong oleh parti yang lebih kuat iaitu UMNO untuk menjawab desas-desus dari bawah.

Seorang kolumnis veteran di sebuah akhbar berbahasa Cina pernah mencadangkan agar MCA mengamalkan pendekatan politik yang lebih jelas dan melatih lebih banyak barisan kedua.

Katanya, MCA mesti lebih berani mempertahankan kerjasama politik berbilang kaum yang mereka pelopori sejak merdeka.

Parti itu juga perlu menyakinkan pengundi bahawa mereka berupaya membela nasib kaum Cina.

Permufakatan politik yang berkesan dengan sekutu-sekutu politik dalam kerajaan tentu akan membawa hasil yang lebih menguntungkan.

Golongan muda keturunan Cina yang berminat dalam politik dan berbakat besar boleh diserap dan diasah kemahirannya demi menangani cabaran persaingan politik yang semakin sengit.

Di samping itu, wakil rakyat dan calon pilihan raya MCA perlu mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

Tanpa kemampuan komunikasi yang sewajarnya, mustahil MCA berupaya memperjuangkan mandat pengundi Cina dengan baik.

Apatah lagi mereka juga mewakili kepentingan pengundi bukan Cina di kawasan masing-masing.

Ramai pengundi Cina berhasrat UMNO akan melantik seorang nakhoda yang berintegriti, jujur dan berkaliber untuk memimpin BN dalam PRU15.

Beliau juga seharusnya seorang yang mempunyai rekod bersih dan perlu mempunyai visi serta misi menjadi seorang pemimpin untuk semua kaum.

Usaha mengembalikan pengundi Cina ke pangkuan BN sesungguhnya sangat penting bagi memastikan kerajaan baharu PRU15 nanti komprehensif perwakilannya dan sanggup berjuang secara efektif untuk semua demi kesinambungan politik negara.

Mudah-mudahan politik parti Melayu seterusnya akan memperlihatkan kematangan baharu dan mulia, iaitu politik yang merangkumi semua dan berjuang untuk kesejahteraan bersama. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah pengajian media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×