Pemimpin muda lebih kreatif? - Utusan Malaysia

Pemimpin muda lebih kreatif?

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLEBIH dahulu tahniah diucapkan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan parti dipimpinnya, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di atas kejayaan mereka menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini. Lebih bangga lagi, kesemua calon yang diletakkan tidak hilang wang deposit walaupun tewas di kerusi-kerusi yang tandingi.

Pencapaian membanggakan dalam arena politik negara perlu diberi penghargaan dan penghormatan. Apa yang penting, lebih banyak ruang dan peluang harus diberikan kepada orang muda untuk menerajui negara.

Malaysia perlukan pemimpin baharu yang lebih bertenaga untuk memimpin negara ke arah pembangunan dan kemajuan sesuai dengan kehendak masa kini.

Malaysia tidak boleh bergantung harap dan meletakkan nasib hanya kepada orang-orang yang sudah lama berada dalam dunia politik. Walaupun memiliki banyak pengalaman, namun pengalaman mereka tidak akan membawa sebarang makna sekiranya tidak dapat memahami sepenuhnya kehendak generasi baharu dan segala masalah dihadapi rakyat.

KREATIF, BERSEMANGAT
Amat wajar sekiranya rakyat dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk orang baharu tampil menjadi pemimpin negara. Syed Saddiq adalah salah seorang wakil rakyat termuda yang pernah berkhidmat semenjak negara mencapai kemerdekaan. Sebagai orang muda, gerak kerjanya berbeza dengan cara orang lama.

Orang muda seperti Syed Saddiq dilihat lebih kreatif dan bersemangat dalam menjalankan tugas. Orang muda juga dilihat kurang terpengaruh dengan sentimen politik dan proses perebutan kuasa kerana masa mereka lebih banyak digunakan bagi menambah ilmu pengetahuan dan mencari pengalaman. Oleh itu, amat mudah fokus diberikan untuk menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Orang muda amat mudah belajar menggunakan pelbagai jenis aplikasi teknologi baharu dalam melakukan kerja serta memberi khidmat kepada masyarakat. Ilmu pengetahuan dan kepakaran sebeginilah yang amat diperlukan di semua bidang pekerjaan termasuk politik.

Syed Saddiq juga melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi mendapatkan dana dalam membantu rakyat di kawasannya seperti mengadakan kelas dalam talian untuk mengasah bakat berdebat, menjual pelbagai barangan serta hasil tulisannya. Pada masa sama, beliau lantang bersuara mengenai pelbagai isu semasa.

Usaha yang diambil oleh Syed Saddiq ini akan menjadi pencetus semangat baharu dalam sejarah politik negara kita. Janganlah terkejut sekiranya Syed Saddiq dilantik menjadi salah seorang pemimpin tertinggi dalam negara kita pada masa akan datang.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×