BARU-BARU ini, satu delegasi terdiri daripada tokoh-tokoh bahasa terkemuka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Parlimen bagi membincangkan langkah-langkah memperkasakan bahasa Melayu.
Diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang juga seorang pejuang tersohor bahasa, budaya dan warisan Melayu, delegasi juga disertai oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. AwanSarian; Ketua 1 Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Ras Adiba Radzi; Pengerusi Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San dan saya sendiri selaku Ahli Jawatankuasa Budi Malaysia.
Rakyat terutama peminat dan pejuang bahasa Melayu amat berbangga dan menyanjung tinggi usaha Ismail Sabri kerana sanggup menggunakan bahasa tersebut dalam ucapan-ucapan rasmi sempena lawatan rasminya ke Brunei, Kemboja dan Thailand, baru-baru ini. Kesanggupan beliau menggunakan bahasa Melayu dalam urusan diplomasi adalah julung-julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri Malaysia.
Tindakan beliau itu jelas menyerlahkan hasratnya untuk memartabatkan bahasa itu ke peringkat antarabangsa. Malah beliau juga berjanji akan mengambil daya usaha dan tindakan sewajarnya, bukan sahaja untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi dalam negara, malah akan meningkatkan kegunaannya dalam hubungan dengan negara-negara lain di peringkat diplomatik.
Sebelum ini, ada pihak meluahkan rasa kejanggalan terhadap hasrat Ismail Sabri untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam negara malah ke peringkat diplomasi.
Perlu sedar, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas terkandung dan peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta bahasa kebangsaan. Malah Perkara 159 (5) lebih menguat dan memperkasa Perkara 152 dengan peruntukan di mana tidak boleh meminda Perkara 152 tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.
NUSANTARA
Rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi dan fahaman politik perlu sedar dan menerima serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa Keluarga Malaysia yang juga merupakan bahasa kebangsaan.
Sekiranya mengimbau sejarah, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua fanca bagi Nusantara atau negara-negara Kepulauan Melayu sebelum kedatangan kuasa Barat. Dengan itu, tidak harus timbul sebarang polemik terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi di persada dunia.
Penggubal dan pelaksana dasar kerajaan serta pejuang bahasa Melayu perlu berhemah supaya tidak membelakangkan atau meminggirkan peluang mempelajari bahasa ibunda warga bukan Melayu seperti terkandung dalam Perkara 152 (1).
Sudah sampai masa bagi rakyat menyahut dan menyokong usaha dan segala tindakan Ismail Sabri dalam memartabatkan bahasa Melayu. Rakyat dan agensi-agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian.
Alangkah baiknya ahli-ahli politik terutama ahli Parlimen yang banyak menghabis masa dalam percaturan dan congkak politik memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di kawasan Parlimen masing-masing.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis soisopolitik.











