kadar bunga tinggi

‘Bunga’ motor bunuh B40, caj sehingga 50 peratus

‘Bunga’ tinggi yang dikenakan syarikat kredit sehingga melebihi 50 peratus amat membebankan golongan B40 untuk membeli motosikal terutama kapcai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga, kadar fae­dah dan deposit semuanya tinggi. Itu dilema kebanyakan pem­beli motosikal yang mahu membeli kenderaan berkenaan untuk memudahkan kehidupan mereka dan mencari rezeki.

Malah ada syarikat kredit me­letakkan nilai faedah yang ka­dangkala tidak masuk akal ke­rana boleh mencecah lebih 50 peratus daripada harga asal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga sebuah moto­sikal Yamaha Y15 misalnya dijual tunai pada harga RM8,168 ba­gaimanapun jika dibeli dengan pinjaman syarikat kredit untuk tempoh ansuran selama lima tahun boleh mencecah sehingga RM12,200.

Boleh dikatakan rata-rata ka­dar pinjaman motosikal sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun dengan tempoh pinjaman antara tiga hingga lima tahun.

Presiden Persatuan Kesela­matan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi berpendapat, pihak tidak bertanggungjawab itu bukan menjual produk kepada masyarakat tetapi menjual ‘kadar bunga’ yang akhirnya membebankan pem­beli.

Menurut beliau, terdapat pi­hak tertentu yang menggunakan produk mereka pasarkan sebagai alasan untuk mengenakan kadar faedah tinggi sehingga mem­bebankan pembeli untuk membayar ansuran bulanan dan terpaksa membiarkan motosikal ditarik semula serta disenarai hitam.

“Tidak munasabah harga motosikal kapcai boleh mencecah RM10,000. Motosikal adalah kenderaan yang diguna pakai oleh golongan berpendapatan rendah, sepatutnya perlu ada kawalan se­perti mana Bank Negara mengawal kadar faedah bank-bank.

“Kementerian Perdagangan Da­lam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu ada satu garis panduan yang mengawal kadar faedah supaya tiada pihak yang mengambil ke­sempatan dengan menjual bu­nga,” katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, terdapat juga syarikat mengenakan bunga di atas kadar faedah seperti denda ansuran lewat dan sebagainya, sekali gus tindakan tersebut bakal memberi kesan ekonomi jangka panjang kepada pengguna kerana terus ditekan disebabkan tiada pemantauan terhadap masalah mereka.

“Golongan B40 sangat tertekan kerana tiada institusi kewangan seperti bank yang dilesenkan oleh Bank Negara memberikan pinjaman kepada motosikal kecil dan melindungi mereka daripada dikenakan kadar faedah tidak masuk akal itu,” katanya.

Bersependapat dengan beliau, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang yang menggesa pihak berkuasa memantau pengusaha terutamanya memberi pinjaman supaya mereka sentiasa berada dalam landasan yang betul dan adil.

“Bagi kebanyakan pembeli motosikal golongan B40, apabila harga jualan menjadi satu beban dan mereka tidak layak atau tidak berkemampuan membeli, industri motosikal juga kemungkinan besar akan terjejas disebabkan kurang permintaan,” katanya.

Menurutnya, kadar faedah 10 peratus adalah sesuatu yang munasabah, jika lebih ia sudah tentu membebankan pengguna.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor memaklumkan, harga motosikal yang tinggi juga menyebabkan ahli persatuannya menghadapi kesukaran membeli kenderaan itu terutama apabila penjual mahukan dokumen pendapatan.

“Proses dan dokumen yang menjadi permasalahan bagi rakan-rakan penghantar, kerana kebanyakan syarikat kredit tidak mahu mengiktiraf pendapatan penghantar makanan, jadi sukar untuk membuat pinjaman membeli motosikal,” jelasnya.

Malah seorang bapa yang enggan dikenali turut runsing mencari motosikal untuk anaknya ke sekolah kerana harga kenderaan itu melebihi kemampuannya.

“Harga motosikal sekarang sangat melampau, saya nak buat pinjaman dengan kedai motosikal tetapi mereka memerlukan duit deposit yang tinggi jadi saya tak mampu sediakan jumlah besar dalam satu masa.

“Untuk buat pinjaman dengan syarikat kredit, bunga sangat melampau. Motosikal saya ni pun kalau ikutkan tunai hanya dalam lingkungan RM8,000 tetapi apabila dikenakan kadar faedah boleh mencecah berbelas ribu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×