ARAHAN ketua kerajaan untuk bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara digunakan dalam setiap urusan rasmi termasuklah ehwal antarabangsa bukan sahaja hendaklah disambut baik setiap rakyat, lebih penting lagi ia harus dilaksanakan segera.
Ini kerana ia sepatutnya sudah lama berlaku. Namun, masih tidak terlewat untuk melakukannya kini.
Arahan ini istimewa kerana dibuat secara spontan daripada kesedaran setelah melihat sendiri bagaimana banyak negara lain, lebih-lebih lagi di rantau ini yang bukan sahaja sudah lama menggunakan bahasa sendiri untuk urusan rasmi luar negara, tetapi dengan perasaan penuh kebanggaan.
Ia berlainan dengan lain-lain yang dikeluarkan melalui ucapan yang disediakan semasa majlis kebahasaan tertentu.
Oleh itu, arahan kali ini harus disahut dengan keinsafan untuk dijadikan tindakan jangka panjang dan bukan sekadar bersifat hangat-hangat tahi ayam.
Sesungguhnya ia langkah betul selain berfitrah begitu, iaitu menggunakan bahasa sendiri untuk tujuan penonjolan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Namun, semasa pengumuman ketua kerajaan itu yang dibuat di luar negara ketika masih dalam lawatan kerjanya, beberapa suara bantahan kedengaran malah dengan lantang menolak peranan tunggal bahasa Melayu dalam urusan antarabangsa negara.
Malangnya ia datang daripada etnik Melayu sendiri yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan leluhur etnik Melayu.
Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa etnik Melayu ini adalah kelompok yang langsung tiada jati diri Melayu.
Ini dapat dilihat antaranya pada pengetahuan cetek apatah lagi penguasaan baik pada mereka ini yang tidak dapat membezakan penggunaan kata ganti nama orang pertama jamak, iaitu kami dan kita dalam bahasa mereka sendiri.
Begitu juga dengan penyebutan mereka yang mencampuradukkan nilai bunyi e-pepet dengan e-taling pada perkataan asas bahasa Melayu seperti enggan.
Kesalahan diksi, iaitu pemilihan kata juga ketara sekali pada pertuturan mereka ini. Sebagai contoh, untuk urutan paling mula, kesatu digunakan ekoran polanya dalam bentuk kedua, ketiga dan seterusnya.
Sebenarnya dalam bahasa Melayu di Malaysia, urutan terdahulu sekali lebih lazim disebut pertama, walaupun kesatu itu tidak merupakan bentuk salah.
Dalam kes ini, penggunaan kesatu oleh mereka ini adalah secara kebetulan betul sahaja.
Etnik Melayu yang membantah ini mahu hanya bahasa Inggeris digunakan tanpa adanya terjemahan dalam mana-mana bahasa termasuk bahasa Melayu bagi urusan rasmi luar negara kita.
Bagi mereka, ini untuk memperlihat keupayaan rakyat Malaysia dalam berbahasa Inggeris.
ANGLOFIL
Selain ini, mereka menambah bahawa dengan hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam ranah antarabangsa negara, ia akan menguatkan identiti kita sebagai masyarakat majmuk yang menuturkan pelbagai bahasa.
Seterusnya mereka menyelar sesetengah menteri dan pegawai kerajaan yang tidak mempunyai penguasaan bahasa Inggeris baik, yang dianggap mereka sebagai tidak berupaya untuk mengambil bahagian yang aktif dalam perbincangan peringkat tinggi apabila bahasa itu digunakan.
Jelas sekali bahawa mereka ini bukan sahaja mendewa-dewakan bahasa Inggeris, mereka juga taasub terhadapnya.
Tidak cukup dengan itu, mereka ini ikut menyangkalkan dasar bahasa di negara ini yang bagi mereka banyak menyekat pengembangan pembelajaran bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka ini anglofil, iaitu golongan yang taasub kepada budaya Inggeris.
Dengan ini, bahasa Inggeris bukan sahaja mengesani segala sisi kehidupan mereka, lebih dahsyat lagi mereka mahu menjadi penyambung legasi penjajah.
Dalam hal ini, mereka mahu meneruskan sistem dan cara berfikir penjajah melalui bahasa Inggeris.
Hal ini begitu terserlah pada golongan anglofil ini yang pemikiran mereka sudah terjajah sehingga memiliki keyakinan keterlaluan terhadap budaya Inggeris antaranya bahasa Inggeris sebagai bahasa paling hebat dengan segala ciri unggul lagi agung.
Dengan ini, mereka menganggap etnik Melayu serta bahasanya sebagai lemah apabila dibandingkan dengan orang putih dan bahasanya.
Pemikiran, malah jiwa raga mereka ini teruk terjajah sehingga mereka beranggapan sejarah diri mereka hanya bermula dengan British yang datang menjajah.
Inilah kuasa yang ada pada bahasa Inggeris yang bukan sahaja begitu terpahat dalam pemikiran mereka, ia sudah mengakar sehingga merupakan jati diri mereka.
Natijahnya di sini ialah cukup-cukuplah dengan mereka ini sahaja yang sanggup menghina budaya dan bahasa sendiri.
Untuk yang lain-lain, kita hendaklah tidak sesekali dijajah lagi sehingga sanggup mengetepikan bahasa sendiri yang sebenarnya adalah amat penting dalam membentuk perspektif kita tentang dunia termasuklah aspirasi, kehidupan, dan lain-lainnya.
Sesungguhnya dengan kita mahu mengangkat bahasa Inggeris sahaja, baik untuk urusan luar negara mahupun lain-lain antaranya pendidikan, kita sebetulnya akan mengalami kehilangan pengetahuan dan kearifan sendiri.
Dalam pada ini, warisan kita sesungguhnya adalah khazanah agam lagi penting untuk kita gunakan dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosiobudaya yang kita hadapi.
Oleh itu, utamakanlah bahasa Melayu. Jangan biarkannya digagalkan bahasa Inggeris ekoran bikinan kita sendiri sehingga bahasa Melayu bukan sahaja menjadi terbantut tetapi juga cacat, tidak berupaya dan ketinggalan berbanding bahasa lain di rantau ini khasnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











