PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua 2.5 juta pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak takut untuk keluar mengundi di kawasan masing-masing kerana polis membuat kawalan rapi bagi memastikan proses membuang undi lancar sepanjang hari ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagi menjamin ketenteraman dan mengelakkan elemen tidak diingini Bukit Aman menggerakkan 200 Pasukan Cantas Khas dari Bukit Aman untuk bersama 11,000 anggota polis lain yang bertugas di lapangan hari ini.
Menurut beliau, PDRM turut mengingatkan pemimpin dan penyokong parti politik yang bertanding terus mengikut undang-undang dan peraturan bagi memastikan tidak berlaku ketegangan.
“Pasukan Cantas Khas yang berada di Johor sedang memantau dan menyekat jika ada elemen-elemen gangsterisme sepanjang proses pengundian hari ini.
“Pasukan Cantas Khas sudah berada di Johor sejak 24 Februari dan memantau keharmonian sepanjang tempoh penamaan calon, berkempen dan kemuncaknya esok (hari ini),” kata belia kelmarin
Menurut beliau, sejak 26 Februari hingga 7 Mac lalu, sebanyak 167 laporan polis diterima PDRM membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya (PRN) Johor.
Kertas siasatan
Kata beliau, daripada laporan tersebut, sebanyak 29 kertas siasatan dibuka manakala 138 lagi membabitkan lain-lain isu dan dilanjutkan kepada agensi terbabit.
“Sebanyak 79 kertas siasatan kita klasifikasikan sebagai ROA (rujuk lain agensi) diikuti 25 kertas siasatan lagi adalah NFA (tiada tindakan lanjut).
“Selain itu, 21 kertas siasatan lagi kita klasifikasi tiada kesalahan diikuti 11 lagi kita rujuk kepada laporan lain dan dua telah dirujuk ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia di Bukit Aman kelmarin.
Mengulas lanjut, Abd. Jalil berkata, setiap DUN akan diletakkan dua pasukan cantas khas yang mana mempunyai kekuatan dua pegawai dan enam anggota.
“Setiap satu pasukan akan dianggotai seorang pegawai dan tiga anggota untuk membantu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di setiap DUN.
“Setakat ini, tiada perkara menggusarkan atau menakutkan pengundi Johor dan pasukan keselamatan negara telah menjaga ketenteraman awam dengan baik,” jelasnya.
Kata beliau, pengundi-pengundi tidak perlu khuatir untuk keluar menjalankan tanggungjawab kerana keadaan dijamin selamat sepanjang tempoh hari pengundian.
“Kita akan terus memantau keadaan semasa ke semasa agar keadaan aman dan damai dan pasukan ini akan memastikan tiada gangguan mahupun halangan kepada orang ramai keluar mengundi kelak,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak termasuk parti politik yang bertanding dalam PRN agar mengikut undang-undang dan peraturan.- UTUSAN











