NEW YORK: Harga minyak mentah global kembali jatuh selepas konflik Rusia-Ukraine menunjukkan petanda akan beransur reda berikutan berita pertemuan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov akan mengadakan perbincangan diplomatik dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Dmytro Kuleba di Turki.
Susulan berita itu, harga mintak mentah Brent susut 13.16 peratus kepada AS$111.14 (RM465.23) setong, sementara WTI jatuh 12.13 peratus kepada AS$108.70 (RM455.02) setong. Kejatuhan itu adalah yang terbesar sejak November 2021, lapor Reuters.
Berita kesediaan negara anggota Negara-negara Pengeskport Petroleum (OPEC), Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk meningkatkan pengeluaran minyaknya turut menyebabkan kejatuhan harga di pasaran yang pada satu ketika jatuh melebihi 17 peratus.
Bagaimanapun, harga bahan bakar itu kembali menokok pada sesi lewat dagangan dengan Brent naik kepada AS$113.2 (RM473.86) setong, manakala WTI menokok ke paras AS$110.10 (RM460.88) setong.
Ketika kemuncak krisis, Brent sebelum ini pernah mencecah paras tertinggi melepasi AS$139 (RM581.85) setong, sementara WTI pada AS$129.13 (RM540.54).
Berita kemungkinan konflik reda turut disambut dengan petanda positif oleh pasaran saham global dengan indeks Dow Jone, Nikkei, masing-masing menokok lebih kukuh dalam sesi dagangan hari ini. Dow Jone naik 653.61 mata kepada 33,286.25 sementara Nikkei pula menokok 972.87 mata ditutup pada 25,690.40.
Indeks ekuiti dunia MSCI, yang menjejaki saham di 50 negara misalnya, turut meningkat sebanyak 2.91 peratus pada sesi dagangan pada 3:30 petang.
Saham AS turut melonjak dengan indeks teknologi tinggi Nasdaq menokok lebih 3 peratus, melantun semula selepas mengalami penurunna beberapa hari lalu didorong oleh harga minyak yang tidak menentu dan ditutup pada 13,255.55 mata, naik 459.99 mata sementara S&P 500 naik 107.18 mata kepada 4,277.88.
Di pasaran serantau, indeks STI Singapura dan Bursa Malaysia turut merekodkan prestasi lebih kukuh selepas mengalami kejatuhan berterusan semasa di awal konflik Balkan dengan STI menokok 45.35 mata kepada 3,240.73 sementara Bursa Malaysia naik 18.20 mata kepada 1,580.53.
Dalam pada itu, bursa Logam London (LME) menghentikan dagangan nikel pada Selasa selepas harga melonjak kepada lebih $100,000 (RM418,600) satu tan berikutan kebimbangan bahawa bekalan Rusia akan terganggu. LME berkata, ia tidak menjangka untuk menyambung semula dagangan sebelum Jumaat.
Selepas rali empat sesi, harga emas jatuh pada Rabu sebanyak 2.4 peratus kepada $2,003.66 (RM8,387.32) seauns, kerana pasaran menjadi kurang bagi mengelak risiko.
Seorang pegawai Bank Dunia berkata, harga minyak yang tinggi yang didorong oleh pencerobohan Rusia boleh mengurangkan mata peratusan penuh daripada pertumbuhan ekonomi membangun seperti China, Indonesia, Afrika Selatan dan Turki. – AGENSI










