PETALING JAYA: Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) menggesa kerajaan menetapkan kadar cukai dan mengawal selia produk cecair nikotin vape dengan segera.
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, pihaknya menghargai dan mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam meluangkan masa untuk membangunkan peraturan dan dasar yang betul untuk produk vape, namun proses itu telah mengambil masa yang terlalu lama.
“Kita tidak boleh melengahkan lagi langkah untuk membenarkan industri beroperasi secara sah dan menyumbang hasil yang sangat diperlukan kepada kerajaan.
“KKM perlu mengambil langkah untuk mengawal selia industri vape sekarang. Ini boleh dilakukan segera dengan mengeluarkan arahan atau peraturan mengenai kandungan produk terutamanya tahap nikotin yang dibenarkan dan meminda Akta Racun 1952 untuk membolehkan cukai ke atas cecair vape nikotin,” katanya dalam kenyataan.
November tahun lalu, Menteri Kewangan dalam membentangkan Bajet 2022 mengumumkan duti eksais RM1.20 semiliter untuk gel atau cecair berasaskan nikotin bagi produk vape dan rokok elektronik.
Bagaimanapun, pelaksanaan cukai eksais itu telah ditangguhkan kerana cecair vape nikotin kini disenaraikan sebagai racun Kumpulan C di bawah Akta Racun 1952, seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, baru-baru ini.
Tegas Fazli, KKM harus bertindak segera dalam meminda Akta Racun 1952 bagi membolehkan produk vape nikotin dijual dan mengeluarkan arahan atau peraturan mengenai kandungan produk kepada semua pemain industri.
“Ini bagi memastikan industri segera mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti terutamanya tahap nikotin dan kandungan cecair vape, di samping membayar cukai untuk produk tersebut.
“Dengan kelewatan ini, bukan sahaja pengguna akan terus membeli produk yang tidak dikawal, kerajaan juga akan kehilangan jutaan ringgit dalam kutipan cukai. KKM tidak boleh membuang masa lagi mengenai perkara ini,” ujarnya.
Fazli memaklumkan, industri vape Malaysia kini bernilai RM2.27 bilion dan selain potensinya untuk menyumbang secara signifikan kepada hasil kerajaan dalam bentuk cukai, industri yang terdiri daripada 3,300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 15,000 pekerja di Malaysia.
“Kelewatan ini juga akan menghalang pertumbuhan industri itu di Malaysia dan menyebabkan beribu-ribu pekerja berdepan masa hadapan yang tidak menentu.
“KKM perlu melihat perkara ini secara objektif dan mempertimbangkan pelbagai implikasi yang timbul. Beribu-ribu pekerja masih tidak pasti akan masa depan mereka dan industri kekal beroperasi tanpa arahan yang jelas daripada kerajaan,” tegasnya. – UTUSAN










