Isteri bergaji besar, suami culas beri nafkah? - Utusan Malaysia

Isteri bergaji besar, suami culas beri nafkah?

Hari ini kita dapat lihat, suami menguruskan kerja rumah dan menjaga keperluan keluarga sementara isteri keluar bekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila beras isteri yang beli …

SAYA mendengar dengan jelas perbualan tiga wanita di sebuah kopitiam di Shah Alam baru-baru ini. Kata saya dalam hati – “ Ini sesi mencurahkan perasaanlah agaknya. Tapi janganlah berbual dengan kuat. Saya yang mendengar pun turut berserabut kepala hendak fikir.”

Tujuan saya ke situ, hanya untuk menghirup air teh lemon madu panas yang sedap dengan roti bakar yang disapu sedikit mentega dan ia rasanya cukup lengkap untuk me time saya pada petang itu.

“Tergamak dia balik dengan membeli makanan sendiri. Anak-anak terkulat-kulatlah melihat dia makan,’’ kata wanita itu. Nampaknya, saya terpaksa memasang telinga juga. Melalui perbualan meja sebelah itu, saya dengar wanita itu mengadu suaminya bergaji kecil berbanding dia. Tetapi dengan gaji yang kecil itu, suaminya boleh pula mengutamakan kawan-kawan. Belanja makan kawan-kawan tetapi dengan isteri dan anak-anak, si isterilah yang membeli makanan harian.

Saya dengar, kawannya pula menyampuk – “Tegurlah. Tak akan tak boleh ditegur,” katanya cuba memperlahankan suara tetapi tidak perlahan mana pun. Setakat pelanggan di dua tiga meja sebelah boleh mendengarnya. Sudah tegur, pintas wanita itu. Tetapi suaminya marah-marah dan menunjukkan slip gajinya setiap kali perkara itu dibangkitkan dan hal itu habis di situ. Saya kira, kisah yang hangat dibincangkan itu adalah isu yang biasa dihadapi oleh ramai isteri ketika ini. Suami bekerja dan isteri pun bekerja tetapi si suami `kedekut pahit’. Berkira-kira sangat untuk mengeluarkan duit untuk keluarga. Walaupun tahu, dia bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin.

Senang saja kita boleh simpulkan di sini, suami sebegini mengambil kesempatan dengan gaji isteri yang lebih tinggi. Disebabkan gaji isteri tinggi, maka mungkin suami berfikiran ‘rugilah’ dia keluar duit untuk setiap perbelanjaan kerana isteri mampu menampung segala-galanya. Tetapi pada masa sama, golongan suami mahu dirinya dihormati dan dipandang tinggi oleh isteri dan anak-anak. Bagaimana mahu datangnya rasa hormat itu kalau tanggungjawab yang wajib dan dituntut agama pun berat betul untuk dipenuhi. Dengan tuntutan Tuhan pun mahu berkira-kira dan ingkar, nasihat seorang isteri, manusia biasa ini apatah lagi. Ya tak? Ada saja hujahnya.

Ya saya setuju, wanita sekarang perlu berpendidikan tinggi dan bekerja. Sebabnya, isu tanggungjawab inilah bila timbul dalam rumah tangga nanti ia akan jadi parah sekiranya wanita itu tidak bekerja.

Bukan mahu memandang rendah kepada lelaki yang bergaji sedikit, tetapi itulah bila dapat isteri bergaji tinggi, tidak berkira, boleh berkongsi hidup susah dan senang dalam menongkah alam berumah tangga, ada pula ambil kesempatan dan seolah-olah ‘membuli’ isteri.

Sebab itu, orang kata alam rumah tangga ini adalah fasa menyerlahkan segala sikap sebenar pasangan. Iyalah, dulu masa bercinta perempuan hendak bayar harga segelas air pun, cukup main marah teman lelaki itu. Sepantas kilat, dia bayar. Tetapi bila sudah kahwin, bukan setakat kena bayar segelas air – bil air, bil elektrik dan beli beras pun isteri keluar duit! Aduhai tiba-tiba teringat pula saya lagu ‘Sekelip mata kau berubah’.

———-
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Suami culas bayar nafkah
GAJI isteri lebih tinggi daripada suami antara punca suami culas tanggungjawab nafkah. Suami yang bekerja juga tidak kira bergaji rendah atau tinggi ada kalanya mengharapkan duit isteri.
Ada beberapa kes, suami hanya memberi nafkah kurang daripada RM200 sebulan, itu pun kadang-kadang tidak tertunai malah perbelanjaan dapur, bayaran taska atau tadika, pengasuh, susu, bil air dan elektrik yang menanggungnya adalah isteri.

Mengapa situasi sebegini boleh berlaku? Kenapa kebanyakan lelaki menjadi ‘biawak hidup’ apabila sudah berkahwin? Lebih-lebih lagi apabila mengetahui gaji isteri lebih tinggi daripada mereka.
Ketua Program Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Raba’Aton Adawiah @ Robiah Mohd. Yusof berkata, apabila berkahwin, nafkah adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami.

“Bagaimanapun, peningkatan tahap pendidikan wanita beserta pekerjaan yang memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding kaum lelaki menyebabkan timbul isu yang mana isteri menanggung suami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hari ini kita dapat lihat, suami menguruskan kerja rumah dan menjaga keperluan keluarga sementara isteri bekerja. Sosialisasi budaya telah berubah. Peranan suami mencari perbelanjaan keluarga berpindah kepada isteri.

Kebanyakan lelaki atau suami menjadi ‘biawak hidup’ apabila isteri tidak tegas kerana terlalu sayang sehingga merelakan diri untuk menanggung suami.

“Selain faktor sosialisasi dalam keluarga asal iaitu anak lelaki tidak didedahkan dengan tanggungjawab dan kebertanggungjawaban terhadap keluarganya. Mungkin faktor menjadi anak manja dalam keluarga sehingga terbawa-bawa dalam rumah tangga,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan apabila berkahwin, kebanyakan suami isteri pada hari ini lebih selesa dengan istilah ‘tanggung bersama’ dan mengamalkan budaya itu kerana beranggapan ia realiti hidup sekarang.

“Tidak salah untuk bersama-sama menampung perbelanjaan keluarga tetapi perlu kepada kebersamaan dan perbincangan.

“Kebanyakan isteri meletakkan kepentingan suami dan keluarga melebihi kepentingan sendiri. Perkara ini yang kadangkala boleh mendorong kepada memendam perasaan yang boleh menjejaskan kesihatan mental. Isteri perlu fikirkan tentang diri sendiri sebelum bersedia untuk melakukan pengorbanan,” katanya.

Ujarnya, isteri perlu sentiasa ingat bahawa suami akan bersikap pentingkan diri sendiri apabila ada peluang dan ruang.

“Sekiranya isteri sentiasa berlembut dan bersikap ‘sedia membantu’ ini akan mencipta peluang suami untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

“Bagaimanapun, bukanlah bermaksud yang isteri tidak boleh membantu sekiranya suami betul-betul dalam kesusahan tetapi isteri perlu lebih peka dan cerdik untuk mengenalpasti keadaan tersebut,” katanya.

Susulan itu, tegas beliau, pentingnya pendidikan praperkahwinan untuk sedarkan lelaki atau suami mengenai tanggungjawab nafkah bagi mengelakkan kes sebegini meningkat.

“Berkomunikasi dengan jelas, berbincang mengenai perancangan hidup dan berkongsi impian yang realistik secara tidak langsung boleh menyampaikan hasrat mengenai tanggungjawab kehidupan berumahtangga,” katanya.

AMBIL KESEMPATAN
Suami sejati akan melahirkan kesyukuran di atas keikhlasan isteri membantu meringankan beban bukannya mengambil kesempatan dengan tidak menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab sebagai suami.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, suami malas, culas nafkah atau ‘biawak hidup’ sejenis negatif, lantas suka mengambil kesempatan atas rezeki isteri.

“Selain malas, ia juga mungkin akibat didikan semasa kecil hingga tidak pandai berusaha dan bersusah-payah mahupun bertanggungjawab akan kehidupan sendiri. Sikap ini terbawa-bawa ke alam dewasa dan rumah tangga sehingga menyusahkan isteri dan anak-anak mereka sendiri,” katanya.

Suami perlu sedar bahawa isteri tidak perlu pun menanggung kos sara hidup berkeluarga.

Jika gaji bersih suami adalah RM3,000 manakala gaji bersih isteri juga RM3,000, jumlah pendapatan isi rumah bukannya RM6,000 tetapi masih RM3,000 iaitu pendapatan suami.

“Suami sepatutnya merancang kewangan dan perbelanjaan keluarga berdasarkan RM3,000 tadi, termasuklah kewajipan memberi nafkah sewajarnya kepada isteri,” katanya.

Zaid turut melahirkan kebimbangan sekiranya suami mempergunakan isterinya termasuk berlaku curang bila ada peluang.

“Wanita tidak terlalu buta dengan kata-kata indah sehingga terlepas pandang sikap sebenar bakal suami.Perhatikan sikap suami di saat-saat dia tertekan, letih, lapar atau marah.

“Jika dia lelaki budiman sejati, insya-Allah keluarga akan berbahagia,” katanya.

Tindakan suami culas
Pihak Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) akan mengambil tindakan sekiranya bapa tidak dapat memberi nafkah.

* Memberikan khidmat nasihat perundangan mengenai penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah.
* Pegawai BSK yang diberikan tauliah sebagai peguam syarie akan mewakili isteri atau bekas isteri secara percuma untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
* Menyalurkan pendahuluan nafkah atau bantuan nafkah kepada isteri atau bekas isteri atau anak dalam tempoh enam bulan, sementara prosiding kes penguatkuasaan perintah berjalan.
* Pegawai BSK yang diberikan tauliah sebagai bailif akan melaksanakan perintah mengikut cara diluluskan oleh mahkamah seperti sitaan dan jualan.
* Menyalurkan maklumat klien kepada agensi berkenaan bagi mendapatkan apa-apa bantuan seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×