Mulakan gaji tinggi di sektor awam

Mulakan gaji tinggi di sektor awam

MASALAH sebenar pematuhan gaji minimum adalah dalam kalangan perniagaan kecil dan mikro termasuk cuci kereta. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAJI minimum mempunyai satu konotasi yang istimewa, iaitu gaji yang mesti dibayar kepada pekerja tidak boleh kurang daripada itu. Kadar yang digunakan sekarang ini ialah RM1,100 di kawasan luar bandar dan RM1,200 di kawasan bandar.

Gaji minimum ialah gaji terendah, tetapi ia bukan gaji yang semestinya diikuti oleh majikan. Malah, mana-mana majikan yang mahu membayar gaji lebih daripada gaji mini­mum kepada pekerjanya ada­lah dibolehkan malah digalakkan.

Tetapi apa yang dilihat berlaku pada hari ini ialah majikan membayar gaji minimum semata-mata kepada pekerja. Itu adalah satu amalan yang keliru dan salah kerana membayar gaji lebih daripada kadar gaji minimum adalah digalakkan.

Gaji minimum diadakan kerana sebelum ini kita dapati bahawa pekerja dibayar gaji pada kadar yang terlalu rendah, kadang-kadang tidak munasabah, sehinggakan kita boleh menganggap bahawa pekerja kita ini macam hamba abdi.

Ia berlaku kerana ia sebelum ini dibuat mengikut kuasa pasaran. Majikan bersetuju dan juga pekerja pun bersetuju katakan menerima RM500 sebulan. Kalau kedua-dua pihak bersetuju, maknanya suka sama suka, jadi ia berlaku.

Ia jadi begitu sebab pasaran buruh kita kuasanya adalah berlebihan kepada majikan, jadi bermakna majikan letakkan kadar gaji tertentu kita sebagai pekerja kalau kita tidak ambil gaji yang sedemikian kita tidak akan dapat pekerjaan.

Dalam pada itu, masalah sebenar pematuhan gaji minimum adalah dalam kalangan perniagaan kecil dan mikro. Perniagaan cuci kereta, kedai makan dan sebagainya, kadar keuntungannya tidak banyak, dengan sewa yang mahal, harga bahan mentah yang mahal, mereka ini susah patuh kepada gaji minimum sebab mereka tidak mampu.

Jadi bila kita mahu menetapkan gaji minimum kita perlu melihat dari dua aspek, iaitu kemampuan majikan dan taraf hidup pekerja. Satu pendekatan yang seimbang perlu kita perkenalkan.

Kita tidak mahu membebankan majikan dan pada masa yang sama kita juga tidak mahu menekan pekerja. Jadi sebenarnya kadar gaji minimum ini bukanlah sebebas mana yang kita boleh tetapkan kerana ada kekangannya.

Jadi bila kita mahu menentukan kadar gaji minimum yang saksama, maka dua perimbangan ini perlu dijaga. Perimbangan ini berlaku begini kerana perkara itu ada dalam ekonomi kita.

Ekonomi kita ialah ekonomi yang kadar pertumbuhannya lembab, produktivitinya tumbuh perlahan, kadar digitalisasinya tidak memuaskan. Bagi pekerja pula, taraf hidup tinggi, gaji rendah dan kadar kemiskinan meningkat.

Kita tidak boleh bandingkan kadar gaji minimum kita dengan negara serantau kerana tahap pembangunan ekonomi negara serantau ini berbeza-beza, bermakna kita mesti mengukur baju kita pada badan kita sendiri.

PRODUKTIVITI

Maksudnya di sini ialah kadar gaji minimum yang kita tawarkan kepada pekerja kita mesti sepadan atau mesti sesuai dengan tahap pembangunan ekonomi kita, iaitu dengan Pendapatan Negara Kasar (GDP) per kapita kita.

Ada yang mengatakan bahawa sebelum kita naikkan gaji, kita mesti naikkan produktiviti dulu, dan itu yang kita amalkan selama ini, iaitu kita tekan upah supaya upah itu rendah untuk menarik banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Inilah yang berlaku sekarang ini sehingga kita takut untuk naikkan upah kerana kalau upah naik dulu lebih daripada produktiviti takut berlaku inflasi dan bila sudah berlaku inflasi, harga yang melambung, kenaikan upah tidak ada makna.

Tetapi sebenarnya kita ada satu teori baharu yang dipanggil Efficiency Wage Model yang menyatakan bahawa gaji yang tinggi akan merangsang kemahiran, produktiviti dan penggunaan teknologi.

Mengikut teori ini, bila kita memperkenalkan gaji yang tinggi, maka majikan tidak boleh tidak akan terpaksa menukar teknik pengeluarannya daripada yang tidak berteknologi kepada yang berteknologi tinggi untuk mengurangkan kos.

Jadi itulah teknik yang baik dan yang digunakan oleh banyak negara maju, tetapi kita masih lagi dengan mentaliti lama, iaitu takut untuk menaikkan gaji sebab kita katakan produktiviti mesti naik dulu sedangkan ia teori yang lapuk.

Teori yang paling baik ialah upah kena naik. Jadi upah kena naik itu melalui Reformasi Upah. Reformasi Upah ini patut dimulakan oleh sektor awam kerana ia boleh menjadi peneraju kepada kadar upah nasional.

Di Singapura, ia tak panggil dasar gaji minimum tetapi dipanggil gaji progresif. Maksudnya ialah dia mahu menggalakkan sentiasa dinaikkan gaji, kalau di sini mahu dinaikkan gaji tinggi melompat majikan sebab katanya mereka akan tutup.

Tetapi kalau kita lihat FDI yang banyak di Asia ini, antaranya di Singapuralah. Tidak pula pelabur asing lari dari Singapura walaupun gaji pekerja tinggi. Jadi inilah bukti bahawa Efficiency Wage Model ini memang berkesan.

Dalam pada itu, disebabkan Reformasi Upah ini akan mengambil masa, maka gaji minimum yang sudah dikaji semula ini mesti segera dilaksanakan sebab kita sedang menghadapi krisis kesejahteraan bagi golongan pekerja.

Soal majikan memang ia juga mencabar, tetapi keadaan ekonomi dunia akan mengalami pembaikan walaupun dengan kadar peningkatan perlahan, pertumbuhan yang tidak memberangsangkan, kita kena sabar sahajalah.

Malah, mengikut akta, gaji minimum wajib dikaji semula setiap dua tahun. Jadi bermakna kalau ikut akta kita sudah due sebab tempoh lama tamat pada 2021, bermakna pada 2022 sepatutnya sudah ada satu kadar baharu. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid ialah bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×