Ocheretnaya wanita istimewa bertakhta di hati Putin

Ocheretnaya wanita istimewa bertakhta di hati Putin

putin
Putin seorang suami yang suka melihat isterinya berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sesiapa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Vladimir Putin kini menjadi sebutan pelbagai pihak di seluruh dunia selepas Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine, baru-baru ini.

Presiden Rusia itu sememangnya merupakan seorang daripada tokoh politik dunia yang disegani dan mungkin ‘digeruni’ oleh beberapa negara, termasuk Barat.

Biarpun terkenal dengan ketokohan dan gaya kepemimpinan tegas, ramai yang tidak tahu mengenai kehidupan peribadi Putin dan keluarganya.

Hal ini kerana, pemimpin berusia 69 tahun itu amat jarang mendedahkan mengenai kehidupannya kepada khalayak ramai.

Putin pernah berkahwin dengan seorang wanita, dikenali sebagai Lyudmila Ocheretnaya pada 28 Julai 1983.

SIAPA LYUDMILA OCHERETNAYA?

Wanita ini pernah bertakhta dalam hati Presiden Rusia itu sehingga menjadi isterinya selama lebih 30 tahun.

Ocheretnaya dan Putin dilaporkan bertemu menerusi rakan mereka di Saint Petersburg pada tahun 80-an sebelum membuat keputusan berkahwin.

Kisah percintaan pasangan itu juga tidak didedahkan kepada umum memandangkan Putin tidak suka kisah peribadinya menjadi tumpuan ramai.

Sepanjang perkahwinannya dengan Putin, Ocheretnaya berdepan dengan pelbagai situasi, termasuk menjadi Wanita Pertama Rusia.

Sebelum berkahwin dengan Putin, Ocheretnaya merupakan kru penerbangan syarikat penerbangan Aeroflot dan menjadi graduan Universiti Leningrad dalam bidang bahasa Sepanyol dan falsafah.

Sepanjang perkahwinannya dengan Putin, Ocheretnaya menjadi pensyarah mengajar bahasa Jerman di Universiti Leningrad dari 1990 sehingga 1994.

Selepas itu, beliau menjadi wakil Moscow untuk bekerja di syarikat telekomunikasi, Telecominvest dari 1998 hingga 1999.

Ocheretnaya berhenti daripada melakukan sebarang pekerjaan selepas suaminya, Putin dilantik sebagai Presiden Rusia.

DIKURNIAKAN DUA ANAK

Putin dan Ocheretnaya dikurniakan dua orang anak perempuan sepanjang perkahwinan mereka.

Anak sulung mereka dilahirkan di Leningrad (kini dikenali sebagai Saint Petersburg) dan dinamakan Mariya.

Anak kedua pasangan itu pula dilahirkan di Dresden di Jerman Timur dan dinamakan Yekaterina.

Mariya dilahirkan pada 28 April 1985, manakala Yekaterina setahun kemudian, pada 31 Ogos 1986.

Selepas bapa mereka dilantik menjadi Presiden Rusia, Mariya dan Yekaterina mula bersekolah di rumah dan kehidupan mereka tidak banyak didedahkan oleh media tempatan, mahupun antarabangsa.

WANITA PERTAMA RUSIA
Ketika Putin mula mencipta nama sebagai pemimpin dunia, Ocheretnaya juga memainkan peranan penting.

Bergelar Wanita Pertama Rusia, kehidupan Ocheretnaya tidaklah semudah disangka apabila beliau terikat dengan pelbagai sekatan bagi memastikan karier Putin berjalan lancar.

Tidak seperti Wanita Pertama lain, Ocheretnaya tidak kerap membuat penampilan umum dan hanya berdamping dengan Putin dalam acara tertentu sahaja.

UMUM PERCERAIAN

Ocheretnaya dan Presiden Rusia itu mengumumkan perceraian mereka kepada umum pada 6 Jun 2013.

Pasangan itu memaklumkan, perceraian itu adalah persetujuan bersama dan pada April 2014, Putin dan Ocheretnaya bercerai secara rasmi.

Ocheretnaya pernah memberitahu, sejak menjadi Presiden, dia amat jarang berjumpa dengan suaminya, menjadikan mereka kurang berkomunikasi.

“Walaupun kami suami isteri, saya sukar untuk berjumpa dengannya. Beliau sibuk dengan pentadbiran dan saya sentiasa menunggu untuk berjumpanya.

“Bila tiada lagi persefahaman, maka kami beranggapan perceraian adalah jalan terbaik,” katanya.

Selain itu, Ocheretnaya pernah mendedahkan Presiden Rusia itu merupakan seorang suami yang suka melihat isterinya berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sesiapa.

Katanya, Putin menganggap seorang isteri mempunyai kedudukan tersendiri dan tidak perlu keluar dari lingkungan itu.

PERKAHWINAN BAHARU

Pada 2016, Ocheretnaya, 64 dilaporkan berkahwin baharu, dengan bekas kekasihnya, Artur Ocheretny, 43 tahun.

Selepas perkahwinan itu, Ocheretnaya menjalani kehidupan seperti biasa yang selalu dimpikannya ketika menjadi isteri Putin.

Wanita itu juga jarang membuat penampilan umum dan memilih menjalani kehidupan sederhana.

Kini, Ocheretnaya meneruskan minatnya iaitu menjadi pendidik, terutamanya dalam bidang seni dan bahasa.

Dia turut menubuhkan satu yayasan berkaitan komunikasi dan memperoleh banyak sumbangan serta dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×