Dua wajah Azerbaijan - Utusan Malaysia

Dua wajah Azerbaijan

Salam satu monumen yang hancur binasa di kota Agdam, Karabakh, Azerbaijan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Musim sejuk masih berlangsung di Azerbaijan namun sebaik melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev, terasa kehangatan angin menerpa ke tubuh badan. Entah mengapa, cuacanya seperti pada musim bunga, begitu nyaman sekali, tak terlalu sejuk dan tak terlalu panas. Puing-puing salji langsung tak kelihatan.

Setelah mengharungi perjalanan lebih 20 kilometer, kami pun tiba di sebuah hotel yang terletak di tengah-tengah pusat bandar. Memandangkan jam baru menunjukkan pukul 1 tengah hari, maka saya segerakan solat jama’ qasar zohor dan asar selaku seorang musafir sebelum keluar bersiar-siar.

Tempat pertama yang saya kunjungi sudah tentu Jalan Nizami. Di situ terdapat banyak deretan kedai makan dan pusat beli-belah. Malangnya, saya tak boleh terlalu ghairah untuk berbelanja, dek melihatkan mata wang Manat Azerbaijan yang begitu tinggi. Tukaran satu Manat Azerbaijan bersamaan RM 2.47, sesen lebih tinggi daripada USD.

Jalan Nizami diambil sempena nama penyair terulung Azerbaijan iaitu Nizami Ganjavi yang dilahirkan di kota Ganja pada 1141. Karya Nizami telah banyak menyumbang dalam sastera dunia antaranya Laila dan Majnun yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, bahkan seluruh dunia.

Yang menyedihkan adalah apabila ramai daripada kita tak tahu bahawa karya tersebut hasil dari tokoh Azerbaijan itu.

BAKU BAGAI LONDON
Sekiranya berjalan atau memandu di seluruh Baku, anda pasti rasa seolah-olah berada di kota London. Buktinya, seni bina bangunannya yang bercampur antara klasik dan moden beserta warna bangunan yang keperangan. Kaki jalan begitu bersih sekali, jarang sekali untuk lihat walau secebis sampah. Warganya begitu ramah, suka membantu dan mesra pelancong.

KARABAKH YANG SURAM
Pada hari kedua, khamis, jam 10.40 pagi, kami bertolak ke Karabakh. Karabakh adalah sebuah wilayah yang baru dibebaskan Azerbaijan daripada cengkaman penceroboh Armenia pada 2020.

Perjalanan memakan masa selama lebih lima jam dari ibu kota Baku itu terasa berbaloi. Lebuh raya besar dengan kondisi jalan sangat memuaskan. Tidak seperti di Malaysia, Azerbaijan tidak ada perhentian khas untuk pengembara seperti tempat perhentian Tapah atau Pagoh. Yang ada di sini, sekadar stesen minyak. Tapi jangan risau, tandas di seluruh Azerbaijan sangat bersih. Saya rasa begitu selesa untuk menggunakan tandas sama ada di dalam kota atau luar.

Tidur saya dikejutkan pegawai program yang meminta pasport daripada setiap kami. Mata saya melirik melihat di luar kenderaan, di situ saya terdapat sebuah pusat pengawalan polis. Rupa-rupanya kami telah pun tiba ke pintu masuk wilayah Karabakh.

Sebaik melintasi pagar kawalan tersebut, kami serta merta disajikan dengan negara Azerbaijan yang berbeza. Kalau tadi kami lihat bandar raya Baku persis London akan tetapi kini tidak ubah seperti Syria atau mungkin boleh dikatakan lebih teruk dari Syria.

Inilah apa yang saya sifatkan, sebuah negara dengan dua wajah berbeza, di satu bahagian, Azerbaijan yang gilang-gemilang manakala pada satu bahagian lainnya, Azerbaijan yang tersimpan 1001 cerita pahit-getir akibat penjajahan.

Armenia selama tiga dekad. Kawasan di sini kering-kontang, semua bangunan habis hancur lumat. Melihatkan keadaan itu, perasaan gembira tadi bertukar menjadi marah yang amat. Saya benar-benar tak sangka betapa teruknya penceroboh Armenia menghancurkan bumi Karabakh.

Tetapi disebabkan perasaan cinta dan patriotik yang mendalam, kerajaan Azerbaijan melabur bilion ringgit untuk membangunkan wilayah itu dengan segera.

Bayangkan, dalam masa setahun, mereka berjaya menyiapkan jalan raya sepanjang hampir 100 kilometer dengan sempurna. Jalan raya itu sangat rumit. Ia berbukit bukau bahkan bergunung ganang dengan jalan bersimpang siur.

Pengalaman saya di bumi Azerbaijan tidak berakhir di sini.Ikuti perkongsian saya secara terperinci apa yang dilihat di bumi Karabakh yang baru dibebaskan Azerbaijan. Ia bakal mengejutkan anda kerana tidak pernah diceritakan oleh mana-mana pihak di Malaysia. Tunggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×