SEMAKIN hangat suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Tetapi kata banyak pendapat, yang lebih hangat hanya orang politik. Sementara rakyat (pengundi) hanya menunggu hari untuk mengundi.
Ertinya, ketika parti-parti politik gigih berusaha meraih sokongan, pengundi sudah menyimpan pendirian dan ketetapan sendiri untuk memilih siapa dan parti mana untuk menerajui kerajaan negeri yang baharu.
Perkembangan politik tanah air terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tambah memudahkan rakyat, termasuk di Johor untuk membuat penilaian dan pengukuran. Pengalaman menceritakan segalanya. Tidak perlu skrip baharu untuk menghurai keadaan.
Seakan ada peringatan kepada parti-parti yang bertanding. Mereka jangan bersikap mengambil mudah. Elak membuat andaian, pemikiran rakyat semudah boleh disogok dengan janji-janji manis dan kata-kata retorik.
Meyakinkan masyarakat mengambil masa, bukan sekadar sekelip mata. Tambah lagi semakin ramai masyarakat merupakan golongan terpelajar. Setidak-tidaknya sudah banyak mereka belajar daripada suasana politik yang dilalui.
Elemen yang perlu diberi perhatian ialah ketulusan untuk membela kebajikan rakyat, selain kemampuan sebenar memerintah negeri. Mereka mahukan parti atau gabungan parti yang benar-benar berupaya mentadbir negeri dengan jaya dan berkesan.
Johor berpotensi besar untuk maju. Sebelum berlakunya kekalutan politik, Johor pernah muncul antara negeri termaju di Malaysia. Dalam pada itu, tidak salah menguji gelanggang. Tanpa teruji tentu tidak dapat diukur tahap penerimaan rakyat terutama terhadap parti-parti baharu.
Mungkin nanti dapat dianalisis sama ada perlu atau tidak parti-parti politik baharu dilahirkan di bumi Malaysia. Juga, mungkin dapat dirumus bahawa parti-parti yang wujud sejak merdeka atau awal merdeka sudah memadai untuk bergiat segar di persada politik tanah air.
Apa yang dicatatkan ini selari dengan ungkapan-ungkapan yang sering didengar, ‘kami mahukan kualiti, bukan kuantiti.’ Ertinya, mereka menyandarkan sokongan terhadap komponen parti yang sihat dan bertenaga. Barangan yang bersifat asli dan tulen mungkin adakalanya pudar, tetapi tetap boleh disegarkan.
Begitu pun, jangan pula ada parti yang meletakkan diri terlebih yakin. Dunia politik adalah seni 1,001 kemungkinan. Dalam membuat pilihan, adakala rakyat bukan sengaja menolak mana-mana parti tertentu, tetapi mungkin kurang berminat dengan individu calon.
Adakala pilihan dibuat dengan mengambi kira kekuatan parti di peringkat nasional. Juga, mereka melihat kepada kaitan isu-isu semasa, sama ada bersih atau memudaratkan. Survival parti yang kukuh di peringkat kebangsaan mempengaruhi daya tarikan rakyat. Namun, jika didapati suasana gabungan bercelaru, mereka mungkin menolak sokongan.
MENANG BERGAYA
Jika mahu menang bergaya, sesebuah parti atau gabungan parti perlu menampilkan imej yang benar-benar meyakinkan. Kemajuan dunia teknologi maklumat mendedahkan segala kebaikan dan kepincangan secara mudah dan terbuka. Rakyat semakin arif mentafsirnya.
Tegasnya, kejayaan sebenar dan lebih bermakna adalah pilihan yang dibuat atas kombinasi keyakinan kepada parti dan individu calon. Soal usia bukan ukuran besar.
Apakah ada kelebihan kepada parti-parti politik baharu lantaran rakyat kononnya dianggap tidak banyak mengetahui tentang latar belakang mereka? Jangan semudah itu andaiannya. Kalangan individu yang terlibat dalam mana-mana parti baharu ditubuhkan rata-ratanya bukan asing kepada rakyat umum.
Rakyat tidak mudah terpedaya dengan kata bermadah janji berhelah mana-mana individu yang dahulunya berada dalam parti lain dan kini sudah melompat ke parti lain. Rakyat sudah dapat mengukur prestasi mereka beraksi di padang asal dan kini cuba menunjuk handal di padang baharu.
Apa yang penting, rakyat tidak rela mereka dikecewakan. Semua pihak boleh bercakap tentang janji dan keburukan pihak lawan. Tetapi butir hujahan sendiri perlu padat dan meyakinkan. Sekadar retorik tidak menarik. Pengalaman lalu membuat rakyat menjadi serik.
Jadi, 12 Mac ini akan menyaksikan calon atau parti mana yang benar-benar berada di hati rakyat. Yang mendapat sokongan dianggap bertuah. Sementara siapa pula yang akan rebah? Segalanya terletak di tangan pengundi.
Syukurnya, peluang masih ada, ruang masih terbuka. Tiada istilah terlewat untuk memperbetulkan kesilapan. Masa untuk rakyat Johor bangkit menghantar isyarat bahawa mereka menolak politik perpecahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan sesama sebangsa dan seagama. Pun, tiada tempat bagi politik taksub dan perkauman.
Rakyat Johor perlu menyahut aspirasi rakyat Malaysia yang umumnya mahu melihat terpancar nanti cahaya kegemilangan semula suasana baharu politik tanah air yang menjanjikan kestabilan dan kemakmuran.
Terpikat pada budi, berpijak pada bukti, namun elak terbuai pada mimpi, bimbang janji tidak menjadi. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











