PETALING JAYA: Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines yang disokong Khazanah Nasional Bhd. telah mengaktifkan kembali penerbangannya ke Australia.
Malaysia Airlines berkata, ia susulan pembukaan semula sepenuhnya sempadan Australia untuk pelancong yang layak mulai 3 Mac (semalam).
“Penerbangan ke negara itu akan bermula dengan penerbangan dua kali seminggu ke Perth dan lima kali penerbangan mingguan ke Sydney.
“Bermula April, kekerapan ke Perth akan ditingkatkan kepada lima kali seminggu dan tujuh kali seminggu ke Sydney,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang pergi balik ke Perth bermula daripada RM1,999 untuk kelas ekonomi dan RM6,999 untuk kelas perniagaan.
Tiket dengan harga tersebut boleh ditempah sehingga 6 Mac dan sah untuk perjalanan serta-merta sehingga 31 Julai.
Tambang ke Sydney juga boleh didapati dari serendah RM2,929 untuk kelas ekonomi dan RM8,199 untuk kelas perniagaan, yang boleh ditempah mulai sekarang dan untuk perjalanan segera sehingga 28 Mac.
Malaysia Airlines menghentikan sementara penerbangan ke Australia pada 2020 ketika krisis Covid-19 baru melanda dunia.
Sementara itu, syarikat penerbangan itu telah menawarkan penjimatan besar pada tambang penerbangan ke semua destinasi domestik dalam rangkaiannya mulai sekarang hingga 13 Mac.
“Pelanggan boleh menikmati tambang serendah RM79 sehala untuk kelas ekonomi dan RM359 untuk kelas perniagaan ke destinasi di Semenanjung Malaysia bagi perjalanan serta merta sehingga sehingga 30 Jun,” ujarnya. – UTUSAN










