SEJAK Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu pada 24 Januari 2019, negara berhadapan dengan dua krisis politik yang berpunca daripada perletakan jawatan dua perdana menteri.
Bermula dengan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020, diikuti pengganti beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos 2021. Kedua-duanya telah diuruskan dengan baik dan sabar sekali oleh Seri Paduka walaupun rakyat cemas seketika dengannya.
Lebih mendukacitakan ialah bila krisis politik ini berlaku tatkala negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang mula melanda dunia sejak akhir 2019. Sehingga kini mencapai lebih tiga juta kes kumulatif di samping meragut lebih 32,000 nyawa di negara kita yang tercinta ini.
Seri Paduka pastinya sedar kemelut politik tidak berkesudahan akan memberikan impak tidak baik kepada kedudukan dan keutuhan negara dari pelbagai sudut. Baik politik itu sendiri mahupun ekonomi, sosial dan kesihatan. Maka sebab itulah Seri Paduka tidak jemu-jemu menasihatkan ahli-ahli politik.
Bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 18 Mei 2020, Seri Paduka menyatakan: “Ahli-ahli Parlimen hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu.”
Kancah politik
Lebih penting lagi ialah ingatan Seri Paduka kepada ahli-ahli Parlimen supaya jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu. Ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19.
Begitu pun, ahli-ahli politik di Malaysia nampaknya mempunyai minat dan kecenderungan berpolitik yang terlalu tinggi. Sehingga krisis politik berlaku lagi pada Ogos 2021 menyebabkan peralihan kerajaan terpaksa dilakukan lagi. Menyaksikan kemunculan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.
Kemudiannya, bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September 2021, Seri Paduka menyatakan:
“Melangkah ke hadapan, beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi. biduk lalu, kiambang bertaut. Sesungguhnya yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua.”
Malah Seri Paduka sekali lagi memberi ingatan keras kepada ahli-ahli Parlimen supaya jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
RUKUN NEGARA
Lebih mutakhir, sewaktu bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-14 pada 28 Februari lalu, Seri Paduka menyatakan:
“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwipartisan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dengan pembangkang. Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat beta dan masa hadapan negara.”
Kali ini, Seri Paduka juga membuat seruan kepada ahli-ahli Parlimen supaya terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai.
Lebih menarik lagi bila Seri Paduka memberi ingatan dalam bentuk pantun pula:
Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat.
Oleh itu, setelah Seri Paduka menzahirkan kesyukuran dengan kestabilan politik yang ada pada waktu sekarang, maka amatlah janggal sekali bila ada ahli-ahli politik kita yang terus-terusan mahukan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan segera atas alasan kononnya keadaan politik negara kita sekarang tidak stabil.
Begitu jugalah janggalnya setelah Seri Paduka sendiri memuji MoU Transformasi dan Kestabilan Politik serta mahukan supaya persefahaman ini dikekalkan, masih ada lagi ahli-ahli politik kita yang terus-terusan mempertikaikannya malah membuat desakan supaya persefahaman ini ditamatkan segera.
Warganegara
Selaku warganegara yang patuh kepada Rukun Negara yang salah satu prinsip utamanya adalah Kesetiaan kepada Raja dan Negara, yang menyusuli prinsip pertama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, maka sudah sewajarnyalah kita semua akur kepada apa sahaja nasihat dan ingatan Seri Paduka selaku Ketua Negara.
Amat tidak patut untuk seorang pemimpin senior seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat kenyataan bahawa UMNO akan tetap mendesak PRU15 disegerakan tanpa mengira sama ada parti itu menang atau kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas alasan untuk mengembalikan kestabilan politik dalam negara.
Kenyataan beliau selagi PRU15 tidak diadakan, pemimpin-pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini akan berfikir siang dan malam sama ada kerajaan yang ada ini kekal atau sebaliknya juga sukar diterima. Ini kerana yang berfikir atau berpolitik siang dan malam itu bukanlah pemimpin kerajaan tetapi pemimpin yang tiada dalam kerajaan.
Kenyataan sebegini adalah tidak matang yang jelas bercanggah dengan nasihat dan ingatan Seri Paduka malah ia juga menonjolkan sisi rakus kuasa pemimpin atau parti yang mengeluarkannya tatkala keadaan politik negara memang sudah diakui stabil.
Sebaliknya, apa yang lebih penting disuarakan ialah supaya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dilanjutkan sehingga tamat penggal Parlimen atau supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menetapkan tarikh PRU lebih awal. – UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











