PETALING JAYA: Banjir terbaru yang melanda Kelantan dan Terengganu menyukarkan pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa-mangsa yang berdepan musibah itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Biro Program Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares), Muhamad Rosni Khamis berkata, kesukaran tersebut terutama selepas kebanyakan jalan besar di kedua-dua negeri itu ditenggelami air.
Namun, menurut beliau, kesukaran itu dapat diatasi hasil kerjasama dengan beberapa NGO lain yang mempunyai kemudahan dan anggota yang lebih ramai.
“Kita sentiasa bekerjasama dengan beberapa NGO seperti Persatuan Generasi Sejahtera (iSejahtera) untuk membantu mangsa banjir. Mereka mempunyai kenderaan 4×4 untuk melalui jalan-jalan sukar.
“Kita juga mempunyai bot untuk ke tempat-tempat yang memerlukan bot, bagi melalui kawasan yang jauh di pedalaman dan memastikan mangsa banjir mendapat bantuan di pusat pemindahan sementara,” katanya.
Setakat ini, kata beliau, pihaknya sudah memulakan misi bantuan di Kelantan dan sedang bersiap untuk menghantar pasukan ke Terengganu.
“Di Kelantan, kita sudah mula menghantar bantuan dengan memberikan pek makanan di Rantau Panjang. Kita juga sedang mengatur gerak kerja sehari dua lagi untuk ke Hulu Terengganu bagi membantu membersihkan rumah yang terjejas teruk dan akan membawa bantuan berupa makanan kering,” katanya.
Katanya, tabung kutipan banjir juga telah dilancarkan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
“Sebelum ini, ECJ Cares berjaya mengumpulkan kira-kira RM100,000 untuk mangsa banjir di Shah Alam, jadi insya-Allah kita juga akan turun untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.
Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Dana Kecemasan Banjir yang dilancarkan oleh ECJ Cares menerusi akaun Maybank iaitu 562106713487.- UTUSAN











