JIKA anda menghabiskan cuti hujung minggu di destinasi tumpuan pelancong seperti tepi pantai, anda dapat lihat ramai yang kian alpa dengan ancaman virus Covid-19.
Ramai sanggup beratur menunggu giliran terjun ke dalam kolam renang, biarpun hanya dapat berendam tanpa dapat berenang bebas.
Semuanya gara-gara terlalu memandang rendah varian Omicron yang dikatakan kurang bahaya berbanding Delta sedangkan ia lebih cepat menjangkiti terutama di tengah kesesakan orang ramai.
Pakar Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Ericson Chia Kwan Min berkata, Omicron dan Delta merupakan varian virus SARS-CoV2.
Perbezaan antara kedua-dua varian berkenaan ialah Omicron boleh membiak lebih laju (70 kali lebih pantas) berbanding Delta, mempunyai tempoh inkubasi lebih singkat (purata tiga hari) dan kurang menjangkiti tisu paru-paru.
“Delta masih ada, tetapi Omicron lebih mendominasi. Di hospital, masih ada kes serius, yang disyaki berpunca daripada varian Delta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kajian menunjukkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian disebabkan varian Omicron adalah kurang berbanding dengan varian Delta dalam kalangan individu yang telah menerima suntikan vaksin yang lengkap.
Omicron mungkin tidak seganas Delta tetapi ia masih mampu mengancam kesihatan terutama jika seseorang individu itu tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin termasuk dos penggalak.
“Statistik oleh Kementerian Kesihatan (KKM), majoriti daripada pesakit dijangkiti Covid-19 perlu dimasukkan ke hospital termasuk rawatan ICU adalah dalam kalangan yang tak menerima atau tak lengkap vaksin termasuk penggalak,” katanya.
Risiko tinggi untuk mendapat long Covid
Omicron sebenarnya meletakkan diri dalam risiko penyakit berlarutan berbulan atau bertahun yang dikenali sebagai long Covid yang didefinisikan sebagai gejala dan simptom, semasa dan selepas dijangkiti virus Covid-19 melebihi 12 minggu dan tidak dapat dikaitkan dengan diagnosis alternatif.
Simptom:
Batuk berpanjangan.
Sesak nafas.
Masalah psikologi seperti kemurungan.
Hilang deria rasa atau bau.
Sakit dada.
Jantung berdebar.
Sakit sendi atau tulang.
Ruam dan cirit-birit.
Kajian menunjukkan kebanyakan kes positif akan bertukar ke negatif dalam tempoh 10 hari dan risiko untuk menjangkiti orang lain juga amat rendah.
Namun begitu, dalam kalangan individu yang tidak mendapat suntikan vaksin, vaksin tidak lengkap, tidak menerima dos penggalak atau mempunyai sistem imun yang rendah disebabkan oleh faktor usia serta penyakit lain seperti kanser, tempohnya adalah lebih lama.
“Terdapat laporan kes yang masih positif selepas 10 bulan di mana pesakit tersebut mempunyai sejarah kanser darah,” katanya.
Dijangkiti dan positif:
Ikut tempoh kuarantin dan laporkan status kesihatan melalui MySejahtera.
Duduk di bilik yang berasingan. Pastikan pengudaraan baik.
Kalau perlu keluar dari bilik mesti pakai pelitup muka.
Kerap mencuci tangan dan amalkan etika batuk atau bersin yang betul (tutup mulut).
Jangan berkongsi makanan atau minuman serta peralatan persendirian dengan orang lain.
Hubungi CAC sekiranya gejala bertambah teruk atau terus ke hospital berdekatan.
Amalkan pemakanan yang seimbangan.
Elakkan merokok dan sentiasa berfikiran positif.
Pesakit yang masih positif dan menghabiskan tempoh kuarantin, tetapi tidak bergejala masih boleh menjalani aktiviti harian seperti bekerja dari rumah dan membuat senaman ringan.
“Bagi yang bergejala atau baru sembuh, disarankan berehat. Kebarangkalian menjangkiti orang lain adalah rendah selepas 10 hari. Terus amalkan gaya hidup yang sihat termasuk pemakanan yang seimbang, bersenam, jangan merokok dan lengkapkan dos vaksinasi termasuk dos penggalak,” kata Dr. Chia.
Keberkesanan penggalak
Selepas menerima dos penggalak, kadar keberkesanan vaksin akan kembali ke kadar yang lebih tinggi (lebih dari 90 peratus). Kajian menunjukkan amat penting untuk menerima dos penggalak meningkatkan tahap antibodi dalam badan bagi mengelak daripada dijangkiti varian Omicron.
Kadar keberkesanan untuk vaksin Pfizer turun dari 89% ke 68% manakala untuk vaksin Sinovac, terdapat penurunan dari 78% ke 28% dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas menerima dua dos vaksin.
Lebih banyak jangkitan bermakna lebih banyak varian baharu terhasil?
Ramai tidak tahu, sebenarnya kadar jangkitan tinggi memberi peluang kepada virus bermutasi dan tiada jaminan untuk varian baharu Covid-19 lebih ‘jinak’ daripada varian terdahulu.
Sejak Omicron ditemui di Afrika Selatan, ia tersebar serata dunia lebih cepat berbanding varian Alpha dan Delta.
Saintis mengesan Omicron di lebih 120 negara tetapi asal usulnya masih menjadi tanda tanya malah ia tiada kaitan jelas dengan varian Alpha dan Delta.
Asal usul Omicron mungkin membantu saintis memahami risiko kemunculan varian baharu dan mencadangkan cara mengurangkan kesannya.










