Kematian ratu filem seram, Suzanna kekal misteri - Utusan Malaysia

Kematian ratu filem seram, Suzanna kekal misteri

SUZANNA menjadi watak utama dalam filem seram Sundel Bolong, 1981. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON veteran Indonesia, Suzanna sangat sinonim dengan watak hantu dalam filem seram.

Dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, Suzanna mula menceburkan diri dalam bidang perfileman menerusi filem Asmara Dara pada 1958.

Menerusi judul itu, mendiang merangkul anugerah Pelakon Kanak-Kanak Perempuan Terbaik semasa Festival Filem Tokyo, 1960. Penganut Kristian ini turut menerima Anugerah Golden Harvest ketika itu.

Namanya meniti popular di bibir peminat dalam bidang perfileman selepas membintangi beberapa filem, antaranya Pulau Cinta pada 1978, Ratu Ilmu Hitam dan Ratu Buaya Putih (1981).

Antara filem yang pernah dilakonkan Suzanna Martha Frederika van Osch Nathalia inilah Sundel Bulong, 1981.

Bukan sahaja filem tersebut meremangkan bulu roma penonton, namun pelakon utama filem itu juga dikatakan hidup bergelumang misteri.

Ini termasuk cara mendiang mati sehingga ‘penampakan’ selepas kematiannya yang menghantui ramai orang.

MISTERI KEMATIAN
Dilahirkan pada 14 Oktober 1942, Suzanna digelar Ratu Filem Seram Indonesia kerana namanya meningkat naik dengan lakonan dalam filem mistik seperti Beranak Dalam Kubur pada 1971.

Suzanna meninggal dunia pada 15 Oktober 2008 akibat kencing manis yang dihidapi sejak 30 tahun lalu di rumahnya di Magelang, Jawa Tengah.

Jika masih hidup, umurnya sekarang adalah 80 tahun.

Anak sulung daripada lima beradik ini dikebumikan sehari selepas kematiannya di Tanah Perkuburan Griloyo, Jawa Tengah.

Kematiannya ketika mencecah usia 66 tahun menjadi buah mulut kerana ramai mendakwa terlihat lembaga serupa seperti Suzanna selepas kematiannya.

Ramai yang tidak mempercayai kematiannya disebabkan kencing manis, sebaliknya berita yang mendakwa dirinya dibunuh secara senyap lebih diterima masyarakat.

Wanita cantik yang memiliki kacukan darah Jerman, Belanda, Jawa dan Manado ini dikatakan mati selepas minum susu yang menjadi rutinnya setiap malam.

Suaminya, Clift Sangra menjadi saksi isterinya itu berusaha menarik nafas dalam-dalam dan terus terkulai selepas minum susu tersebut.

Walaupun dua orang doktor peribadi sudah menyemak status kesihatan Suzanna, namun wanita itu disahkan meninggal dunia ketika itu.

DIBUNUH SUAMI?
Suzanna berkahwin buat kali pertama dengan pelakon, Dicky Suprapto, sebelum bertemu jodoh dengan Clift. Pasangan ini tinggal di Magelang, Jawa Tengah.

Bagaimanapun, ahli keluarga Suzanna dikatakan tidak berkenan dengan Clift. Anak perempuan Suzanna, Kiki Maria mengesyaki bapa tirinya membunuh ibunya sebab mahu membolot harta.

Kiki pernah menuntut supaya sesi bedah siasat diteruskan, namun Clift dikatakan memberi ugutan saman sekiranya keputusan bedah siasat menunjukkan Suzanna mati kerana sakit.

Clift bersungguh-sungguh menafikan dirinya ada kaitan dengan insiden itu.

Dakwaan Clift sebagai punca kematian Suzanna semakin kuat, setahun selepas kematian Suzanna apabila Clift berkahwin lain dalam sebuah majlis yang diadakan secara besar-besaran.
Malah Clift turut berbulan madu ke Eropah.

SUZANNA ‘PULANG’ KE RUMAH
Tiga hari selepas kematian Suzanna, Clift mendakwa isterinya berdiri di depan pintu rumah mengenakan baju berwarna coklat sambil mengucapkan selamat tinggal.

Peristiwa ‘penampakan’ itu bukan sekali, bahkan suaminya pernah melihat Suzanna menonton televisyen sambil mulut membebel mengkritik mengenai cerita yang ditonton.

Clift memaklumkan pernah terlihat kelibat Suzanna menyikat rambut dalam sebuah bilik khas.

Bilik khas itu khusus buat Suzanna duduk berseorangan dan bertapa berminggu-minggu mahupun berbulan-bulan sehingga tidak keluar bilik.

Bahkan, bilik tersebut tidak dibenarkan sesiapa memasukinya.

ANTARA REALITI DAN KHAYALAN
Kisah Suzanna menjadi bualan ramai selepas dua minggu kematiannya.

Buktinya, penduduk Magelang, Jawa Tengah pernah terlihat kelibat Suzanna dalam rupa bentuk Sundel Bolong persis watak lakonannya ketika masih hidup.

Dalam mitos hantu Indonesia, Sundel Bolong digambarkan sebagai wanita berambut panjang yang mati akibat diperkosa dan melahirkan anaknya dalam kubur.

Ada juga yang mendakwa pernah terlihat mendiang dalam jelmaan watak-watak hantu yang pernah dilakonkan dalam filemnya.

Kisahnya tidak terhenti setakat itu sahaja, kerana ramai mendakwa pernah ternampak Suzanna berjalan atas bumbung rumah dan bertapa di depan rumahnya di bawah pokok.

Kisah misteri Suzanna bagaikan tiada penghujung dan tidak menemukan noktah.

Sehingga kini, kebenaran belum terungkai di sebalik kematiannya.

Namun yang pasti, Suzanna akan sentiasa diingati sebagai Ratu Filem Seram Indonesia dan lakonannya sentiasa berbekas di hati. –THEJAKARTAPOST/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×