Mungkin ada yang bertanya: “Kalau betul golongan Asya’irah adalah mereka yang berpegang dengan mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), maka mengapa mereka tidak menamakan diri mereka dengan nama Ahlus Sunnah sebaliknya dengan nama Asha’irah? Mengapa mereka menyandarkan akidah mereka kepada akidah Abu al-Hasan al-Ash’ariyy dan tidak pula meyandarkan akidah mereka kepada akidah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda?
Sebenarnya, persoalan-persoalan ini tidak akan muncul dalam fikiran orang yang berilmu sebaliknya hanya akan dilontarkan oleh orang awam dan mereka yang lemah dari sudut pengetahuan.
Ini kerana konsep yang dipegang oleh ahli ilmu adalah: “Tiada pergaduhan pada istilah” kerana yang menghukum bahawa sesuatu mazhab adalah benar atau salah adalah dalil dan bukannya sesuatu mazhab yang telah dinamakan dengan nama tertentu.
Golongan Asha’irah menisbahkan diri mereka kepada Abu al-Hasan al-Ash’ariyy kerana ketika orang ramai satu ketika dahulu berselisih pandangan. Dalam masa yang sama, muncul golongan yang berpegang dengan pandangan-pandangan bidaah yang tidak beradab dengan Allah dan rasul-Nya dalam keadaan semua mereka mendakwa bahawa akidah mereka adalah akidah Rasulullah SAW serta para sahabat baginda.
Maka menjadi tanggungjawab bagi golongan yang berpegang dengan akidah yang benar untuk menjelaskan kepada orang ramai apakah sebenarnya akidah Nabi SAW dan para sahabat baginda sebagaimana yang dilakukan oleh Abu al-Hasan al-Ash’ariyy.
Beliau bukanlah pencipta mazhab yang baharu dalam akidah. Sebaliknya beliau hanya menjelaskan semula apakah sebenarnya akidah ASWJ. Ini dijelaskan oleh al-Imam al-Subkiyy menerusi tulisan beliau yang berbunyi: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya Abu al-Hasan al-Ash’ari bukanlah seorang yang mereka-reka pandangan dan bukan juga seorang yang mengasaskan mazhab.
“Beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah seorang yang mengiakan pegangan-pegangan golongan salaf dan mempertahankan apa yang telah dianuti oleh para sahabat Rasulullah SAW.
“Maka penisbahan kepada beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata dari sudut beliau telah menyimpulkan pengikat pinggang berdasarkan jalan golongan salaf lalu beliau berpegang teguh dengannya dan (dari sudut) beliau telah mendirikan hujah-hujah dan bukti-bukti kebenaran akidah golongan salaf.
“Maka orang yang mengikut beliau pada perkara tersebut yang berjalan dengan jalan beliau dalam menyatakan hujah-hujah adalah dikenali sebagai Asy’ariyy [iaitu pengikut Abu al-Hasan al-‘Ash’ariyy]”. (Lihat al-Tobaqot al-Shafi’yyah)
Al-Taj al-Subkiyy juga berkata: “Mereka yang bermazhab Hanafi, Shafie, Maliki dan orang yang bagus daripada mazhab Hanbali dalam aspek akidah adalah merupakan tangan yang satu. Mereka semua berpandangan ASWJ berdasarkan pembawakan Sheikh bagi Ahlus Sunnah iaitu Abu al-Hasan al-Ash’ariyy. Semoga Allah meredai beliau”.
Al-Taj al-Subkiyy menyambung ucapan beliau: “Kesimpulannya, akidah al-Ash’ariyy merupakan apa yang terkandung di dalam akidah Abu Ja’far al-Tohawiyy yang telah diterima oleh para ulama dari pelbagai mazhab fiqh dan yang telah diredai oleh mereka sebagai akidah pegangan mereka”. (Lihat Mu’id al-Ni’am)
Al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin pula berkata: “Maksud ‘akidah kami’ adalah apa sahaja yang kami telah beriktikad dengannya yang ia bukan masalah-masalah fiqh. Akidah tersebut wajib diyakini oleh setiap mukallaf tanpa bertaklid dengan sesiapa pun.
Akidah tersebut adalah apa yang telah diyakini oleh ASWJ iaitu golongan Ash’irah dan Maturidiyyah. Dua golongan ini sepakat dalam semua perbahasan akidah melainkan hanya beberapa masalah. Sebahagian ulama berpendapat, percanggahan kecil antara dua golongan ini hanyalah percanggahan dari sudut istilah sahaja”. (Lihat Hashiyah Ibni ‘Abidin)
Oleh itu sekiranya kita mengatakan: “Akidah Nabi SAW dan para sahabat adalah akidah al-Asha’irah”, maka ucapan ini sebenarnya mengiakan realiti sebenar. Ia sama seperti kenyataan: “Kebanyakan cara bacaan Nabi SAW sewaktu baginda membaca al-Quran adalah cara bacaan al-Imam Nafi’” sekalipun al-Imam Nafi’ tidak pernah melihat Nabi SAW.
Sebenarnya al-Imam Nafi’ membaca al-Quran seperti bacaan Nabi SAW bukannya baginda membaca al-Quran berdasarkan cara bacaan al-Imam Nafi’. Namun apabila al-Imam Nafi’ menjadi orang yang menguasai dengan penuh teliti cara bacaan tersebut, maka cara bacaan itu disandarkan kepada beliau sehingga akhirnya ada pihak yang berkata: “Sesungguhnya kebanyakan cara bacaan Nabi SAW adalah cara bacaan al-Imam Nafi”.
Berdasarkan kefahaman ini, tidak ada salahnya kalau kita mengatakan: “Sesungguhnya akidah Nabi SAW dan akidah para sahabat baginda adalah akidah golongan Asha’irah.
Maka jelaslah berdasarkan penerangan di atas bahawa pegangan golongan salaf terhadap ayat-ayat mutasyabih adalah memperakui bahawa ia adalah firman Allah. Di samping mereka menolak untuk memahaminya berdasarkan makna secara bahasa yang hanya akan membawa kepada menyamakan Allah SWT dengan makhluk-Nya.
Ini sebagaimana yang disebutkan dengan jelas oleh al-Imam al-Shafie, al-Imam Ahmad dan selain mereka berdua. Inilah dia akidah Asha’irah.
Tulisan asal bekas Mufti Kerajaan Mesir, Al-Sheikh Prof. Dr. Ali Jum’ah
PENULIS adalah Syeikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah.










