PONTIAN : Pejabat Daerah Pontian menafikan berlaku aktiviti haram termasuk kegiatan sedut pasir di Pulau Kukup sehingga mendatangkan kerugian kepada negara.
Pegawai Daerah Pontian, Zulkfily Mohd. Tahir berkata, Pulau Kukup merupakan taman negara dan dilindungi undang-undang daripada sebarang aktiviti di lokasi berkenaan.
“Jadi segala pembangunan di Pulau Kukup perlu diminimumkan demi menjaga serta memelihara alam sekitar kawasan ini.
“Dakwaan berlaku aktiviti yang menjejaskan pulau ini malah juga aktiviti sedut pasir adalah tidak benar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas isu membabitkan Pulau Kukup termasuk dakwaan berlaku aktiviti sedut pasir untuk dijual ke Singapura.
Sementara itu, Zulkfily juga menafikan kewujudan pulau buatan berhampiran Taman Negara Tanjung Piai memberi kesan kepada kehidupan nelayan.
Katanya, projek penambakan pulau itu masih dalam proses pembuatan dan masih belum pasti sama ada akan beri kesan kepada ekosistem alam sekitar.
“Perkara ini sudah dibangkitkan nelayan sejak tahun lalu, saya tidak pasti mengapa masih timbul kembali.
“Jadi tidak betul ia beri kesan kepada pendapatan nelayan sebabnya ia belum lagi siap,” katanya.
Tinjauan mendapati kelihatan beberapa kapal sedang melakukan projek penambakan yang hanya terletak kira-kira 500 meter daripada Taman Negara Tanjung Piai. – UTUSAN










