KUALA LUMPUR: Aktiviti pemindahan minyak di perairan Pulau Kukup memberi peluang kepada negara jiran untuk mendapat bekalan minyak tanpa dikenakan cukai.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, negara jiran yang terlibat dalam hal itu seolah-olah tidak mengambil peduli tentang kegiatan haram yang dijalankan di perairan antara dua negara, Malaysia dan Singapura.
“Bukan hendak menyalahkan Singapura tetapi tidak dinafikan negara itu turut mendapat faedah daripada kegiatan haram ini apabila mereka dengan mudah mendapat bekalan minyak tanpa cukai. Negara itu ibarat menutup sebelah mata dan belum mengambil inisiatif untuk perbetul keadaan.
“Aktiviti ini dijalankan di tengah-tengah perairan antara Johor dan Singapura. Kapal yang membawa bekalan minyak itu dari Malaysia dan memindahkan minyak ke dalam kapal yang menuju ke Singapura. Perkara ini telah lama berlaku dan bukan di Pulau Kukup sahaja.
Pulau Kukup adalah sebuah pulau yang terletak di hadapan bandar Kukup, Pontian, Johor. Kerajaan negeri Johor telah mewartakan pembatalan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara pada 2018 berikutan kesemua Taman Negara di negeri itu telah diswastakan secara berperingkat.
Tambah Azmi, sempadan antara Malaysia dan Singapura telah ditetapkan iaitu sempadannya terletak di tengah-tengah perairan antara dua negara itu.
“Mengenai isu tiada batu sempadan di Pulau Kukup bukanlah satu masalah utama kerana sempadan antara Malaysia dan Singapura telah ditetapkan. Apa yang menjadi masalah adalah aktiviti penambakan yang kerap dilakukan oleh negara itu maka sempadan pengairan di titik tengah dua negara ini semakin berubah dan rapat ke Malaysia,” ujarnya.
Azmi turut mencadangkan agar perkara itu diselesaikan secara berhati-hati dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Lebih mudah jika aktiviti ini dibanteras dengan alasan melindungi alam sekitar yang merupakan khazanah negara.
“Sememangnya perkara ini telah lama berlaku tetapi kerana sensitivitinya, langkah atau tindakan perlu diambil dengan berhati-hati. Namun, dalam melindungi khazanah negara, perundangan negara mengatasi segalanya,” katanya. – UTUSAN










