Kematian tragis Ratu Muzik Tejano, Selena

Kematian tragis Ratu Muzik Tejano, Selena

PENYANYI Selena Quintanilla memenangi anugerah Grammy pada tahun 1994. – LARRY BUSACCA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELENA Quintanilla atau lebih dikenali Selena, bukan nama asing dalam industri hiburan antarabangsa. Digelar sebagai `Ratu Muzik Tejano’. Dia merupakan penyanyi Amerika Latin paling popular pada tahun 90an.

Artis itu turut mendapat julukan Mexican Madonna kerana gaya pakaian seksi dan gerak tariannya.

Dia bukan sahaja memiliki rupa paras cantik dan tubuh menawan tetapi berbakat besar.

Namun, ketika berada di puncak populariti, penyanyi itu ditembak mati oleh presiden kelab peminatnya, Yolanda Saldívar pada 31 Mac 1995.

Dilahirkan pada 16 April 1971 di Jackson Lake, Texas daripada kepada pasangan Abraham Quintanilla dan Marcella Ophelia.

Bapanya, merupakan bekas pemuzik dan pemilik restoran, menubuhkan sebuah band muzik amatur yang diberi nama Selena Y Los Dinos.

Selena mula membuat persembahan ketika masih kecil, malah pada usia 10 tahun, menjadi penyanyi utama dalam band muzik keluarganya.

Mulanya, dia hanya menyanyi dalam bahasa Inggeris namun bapanya memaksanya mempelajari bahasa Sepanyol.

Dia terkenal dalam komuniti Tejano selepas melancarkan album pertamanya Mi Primeras Grabaciones bersama band muziknya pada 1984. Album berjudul Ven Conmigo pada 1990 menjadi rekod Tejano pertama meraih status emas selepas lebih 500,000 unit berjaya dijual.

Dia menjadi artis wanita Tejano pertama yang menerima anugerah Grammy Album Mexico-Amerika Terbaik bagi album Live!. Malah, pada majlis Anugerah Muzik Tejano 1987, beliau turut merangkul trofi Vokalis Wanita Terbaik dan Penghibur Terbaik.

Selena berkahwin dengan kekasihnya, Chris Perez pada 2 April 1992.

Pasangan itu bertemu dan mula jatuh cinta pada 1990 selepas Chris menyertai band muzik sebagai pemain gitar utama.

Selain muzik, dia juga sangat berpengaruh dalam dunia fesyen dan kosmetik.

Selebriti popular itu melancarkan rangkaian kosmetik yang mencapai kejayaan paling tinggi dan tiada tandingannya.

Walaupun sudah lebih dua dekad selepas kematiannya, Selena tetap menjadi ikon muzik yang cukup dikenali dalam komuniti Latin di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico.

Dia dilaporkan memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$25 juta (RM104.6 juta) sebelum kematiannya pada usia 23 tahun.

Album terakhir Dreaming of You dikeluarkan selepas kematiaanya, berjaya mengungguli Billboard 200 AS sekali gus menjadikan Selena artis latin pertama meraih kedudukan di carta muzik tersebut.

Sebuah filem biografi yang menceritakan mengenai kisah kehidupan penyanyi itu turut diangkat ke layar lebar pada 1997, dengan aktres Jennifer Lopez memainkan watak Selena.

Dua minggu selepas kematian selebriti itu, George W Bush yang ketika itu merupakan Gabenor Texas, mengisytiharkan 16 April sebagai Selena Day bagi memperingati jasa dan sumbangannya dalam industri hiburan.

Puncak kerjaya

Sebulan sebelum kematiannya, Selena membina kerjaya yang cemerlang dalam industri muzik.

Pada 26 Februari 1995, Selena membuat persembahan di hadapan lebih 60,000 orang di Houston Livestock Show and Rodeo sekaligus menjadikannya artis paling popular pada tahun itu.

Sebulan kemudian, Selena dicalonkan Anugerah Grammy bagi kategori Persembahan Mexico-Amerika Terbaik untuk albumnya berjudul Amor Prohibido.

Selain itu, Selena dikatakan dalam proses menghasilkan sebuah album lagu bahasa Inggeris yang diharapkan membawa perubahan besar dalam kerjayanya serta menjadikannya popular seperti penyanyi, Gloria Estefan.

Sebelum meninggal dunia, Selena bersama suaminya, Chris merancang membina sebuah kediaman di tanah seluas 4.04 hektar di Corpus Christi di Texas.

Malah, pasangan itu juga dikatakan bercadang mendapatkan cahaya mata selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Gaduh dengan Yolanda?

Pada 1994, Selena dilaporkan membuka butik Selena Etc. di San Antonio dan Corpus Christi.

Selepas setahun, butik tersebut mula mengalami kerugian namun situasi itu tidak mengubah hasrat Selena membuka sebuah kilang pakaian di Monterrey, Mexico.

Rakan karibnya, Yolanda Saldivar membantu Selena menguruskan butik itu. Siapa sangka Yolanda, yang juga pengasas kelab peminat Selena, pembunuh selebriti itu?

Hasil kerja dan komitmen ditunjukkan Yolanda berjaya menarik kepercayaan keluarga Quintanilla sehingga dia juga diminta mengendalikan butik Selena.

Bagaimanapun, beberapa aduan disuarakan oleh ahli kelab peminat Selena berkaitan barangan sudah dibayar yang belum diterima.

Pada 9 Mac 1995, Selena dan ahli keluarganya menegur Yolanda mengenai isu berbangkit dan cara pengurusannya.

Namun, Yolanda dikatakan gagal memberi penjelasan kukuh berhubung kelemahannya itu.

Selena mulai memantau pergerakan Yolanda. Beberapa pekerja turut mendakwa Yolanda ‘mencuri’ wang premis di San Antonio.

Selena tidak memutuskan hubungan dengan Yolanda sepenuhnya walaupun dikatakan enggan bekerja bersamanya lagi.

Malah, Selena masih percaya pada wanita itu apabila sanggup memberikannya akses kepada akaun kewangannya.

Dia mendapati beberapa dokumen penting termasuk rekod kewangannya sudah hilang.

Chris menerusi buku memoir bertajuk To Selena, with love mendakwa isterinya bertemu dengan Yolanda pada 15 Mac untuk mendapatkan semula dokumen yang hilang.

Ketika pertemuan itu, Yolanda hanya memulangkan sebahagian dokumen berkenaan.

Yolanda kemudian menunjukkan Selena bahawa dia mempunyai pistol di dalam beg tangannya.

Menurut Chris, penyanyi itu menasihati Yolanda mengembalikan semula pistol tersebut dan dia bersetuju untuk berbuat demikian.

Dilaporkan, Yolanda membeli sepucuk pistol jenis Revolver.38 pada 13 Mac.

Selepas pertemuan itu, Yolanda memulangkan semula pistol yang dibelinya ke kedai berkenaan.

Rakam album

Selena kekal komited menghasilkan album bahasa Inggeris meskipun berdepan pelbagai masalah dengan Yolanda.

Dia menghabiskan hampir sepenuh masanya berada di studio di Corpus Christi.

Seminggu sebelum kematiannya, dia ke Tennessee untuk sesi rakaman albumnya.

Sepanjang berada di sana, dia bekerja dengan penulis dan penerbit, Keith Thomas bagi lagu berjudul I Could Fall in Love.

Thomas menerusi wawancara bersama USA Today pada 2016, mengakui Selena mungkin menjadi selebriti yang amat berjaya sekiranya beliau masih lagi hidup.

Selena bertemu Yolanda

Pada 30 Mac, Yolanda menghubungi Selena untuk memaklumkan dia masih mempunyai baki dokumen milik penyanyi itu.

Yolanda meminta penyanyi itu datang bertemunya secara bersendirian untuk mengambil dokumen terbabit.

Namun, Chris berasa tidak sedap hati dan menemani isterinya ke hotel penginapan Yolanda di Days Inn di Corpus Christi.

Sama seperti pertemuan sebelum ini, dia gagal mendapat semua dokumen yang diperlukannya.

Dia secara tenang meninggalkan hotel itu dan pulang ke rumah bersama suaminya. Dia tidak sedar Yolanda membawa pistol bersamanya. Pada 26 Mac, Yolanda sekali lagi membeli pistol yang sama.

Pada 31 Mac, Selena bertemu dengan Yolanda yang mendakwa dia dirogol semasa berada di Monterrey, Mexico.

Dia membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau kecewa setelah Yolanda menceritakan kisah berbeza mengenai pendarahan teruk dialaminya pada ketika itu selepas serangan tersebut.

Pihak pengurusan hospital enggan melakukan pemeriksaan penuh ke atas Yolanda memandangkan dia bukan warga Corpus Christi dan tidak lagi dalam bidang kuasa serangan yang didakwanya.

Mereka terus pulang ke hotel Days Inn selepas lawatan hospital itu.

Penyanyi itu masih mengharapkan baki dokumen yang ada pada Yolanda dipulangkan kepadanya.

Tembakan di hotel

Selena ditembak ketika berada di dalam bilik Yolanda. Dalam keadaan berdarah, dia lari ke arah lobi hotel sebelum rebah di lantai.

Kakitangan hotel segera menghubungi talian kecemasan 911 kira-kira pukul 11.50 pagi (waktu tempatan) bagi memaklumkan insiden tembakan itu.

Penyanyi itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang mana beliau menerima pemindahan darah.

Namun, saluran darah arterinya terputus sehingga segala rawatan perubatan diberikan, tidak dapat menyelamatkannya.

Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.05 petang (waktu tempatan).

Beberapa kakitangan hotel memberi keterangan dengan menamakan Yolanda sebagai ‘penembak’ yang membunuh penyanyi itu.

Tertembak tak sengaja

Yolanda mendakwa insiden tembakan itu merupakan kemalangan tidak disengajakan.

Pada Oktober, Yolanda disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Yolanda dikatakan mungkin layak mendapat parol pada 2025.

Lebih 50,000 orang termasuk ahli keluarga, selebriti dan para peminatnya menghadiri majlis pengebumian Selena untuk memberi penghormatan terakhir.

Keluarga mendiang meletakkan peti keranda dalam keadaan terbuka sebagai bukti menunjukkan dia sudah meninggal dunia. Tindakan itu dilakukan selepas khabar angin tersebar kononnya penyanyi itu masih hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×