PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.
Kedudukan itu dicapai bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun, dengan skor sempurna 5.00.
Menurut Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), keputusan itu diumumkan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) baru-baru ini, berdasarkan kepuasan keseluruhan penumpang bagi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.
“Pencapaian terkini KLIA memberikan jaminan tambahan kepada penumpang terhadap komitmen berterusan lapangan terbang untuk meningkatkan perkhidmatan, di sebalik prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat bagi membendung pandemik Covid-19.
“Bulan lalu, MAHB merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), Turki mencatatkan pergerakan dua juta penumpang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pencapaian itu satu penghormatan buat negara.
“Kami juga bersedia untuk menyambut ketibaan pengembara sebaik sahaja sekatan perjalanan antarabangsa ditamatkan,” katanya.
Beliau memberitahu, beberapa bulan yang lalu pihaknya telah menyaksikan pergerakan penumpang meningkat secara mendadak.
Ujarnya, dengan peningkatan ini, syarikat perlu memastikan bahawa standard perkhidmatan di lapangan terbang secara konsisten dikekalkan.
“Sebelum ini kami melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan dan skor ASQ yang sempurna adalah bukti usaha yang dilakukan oleh seluruh komuniti lapangan terbang,” katanya.
Menurut MAHB, berikutan perjalanan antarabangsa masih terhad, penumpang MAHB dipacu oleh perjalanan domestik.
Bagi Malaysia, trafik domestik direkodkan pada 2.5 juta penumpang bulan lalu, 90 peratus daripada jumlah pergerakan keseluruhan penumpang. – UTUSAN










