PETALING JAYA: “Apa yang cuba Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sorok”.
Persoalan itu dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh yang menuntut SPR menjawab dan memberikan jawapan yang telus mengenai keengganan badan itu menjual data senarai pemilih terutamanya di Johor.
“Kita tahu bagaimana sistem SPR beroperasi, setiap tahun maklumat-maklumat pemilih akan diwartakan sebanyak empat kali.
“Namun untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, terdapat penambahan pemilih-pemilih susulan daripada keputusan Undi 18 serta pendaftaran pemilih secara automatik (PPSA).
“Jadi kita memerlukan data-data itu untuk berkempen dan mendekati penduduk di sap kawasan. Biasanya lepas diwartakan, data itu akan dijual kepada kami, namun apa yang menjadi masalah, sekarang kami tidak boleh pun membeli.
“Apa yang SPR cuba sorok? Memang data itu diletakkan di laman web rasmi, namun itu adalah fail PDF dan bukannya Microsoft Excel jadi dengan data yang sangat terhad itu juga kami mendapati terdapat beberapa persoalan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menerusi satu kenyataan media sebelum ini, Fuziah membangkitkan persoalan yang meragukan dalam senarai daftar pemilih tambahan (DPT).
Fuziah menjelaskan, terdapat dua nama yang pelik seperti Deseased dan Expired yang berada dalam senarai DPT dan kebetulan kedua-duanya dari Johor.
Malah, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) juga menggesa agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih dengan kadar segera bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih.
Menurut Fuziah, beliau tidak pasti jika parti politik lain boleh memperoleh data tersebut namun SPR perlu bertanggungjawab mengenai hal ini.
“SPR tidak boleh diam berkaitan hal ini, saya telah dedahkan persoalan ini jadi rakyat kini menunggu jawapan,” katanya.
Utusan Malaysia masih ber usaha mendapatkan jawapan daripada SPR. – UTUSAN











