Jualan kenderaan meningkat 22 peratus kepada 40,581 unit.

Jualan kenderaan Januari meningkat 22 peratus

Proton X50 muncul SUV paling laris di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan kenderaan di dalam negara meningkat 22 peratus kepada 40,581 unit pada Januari 2022, berbanding Januari tahun lalu yang merekodkan sebanyak 33,392 unit.

Bagaimanapun, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan dilaporkan adalah 38 peratus lebih rendah daripada Disember 2021 yang mencatatkan jualan sebanyak 65,184 unit.

“Ia berikutan kebanyakan pelanggan yang membuat pembelian pada awal Disember tahun lalu. Selain itu, TIV Disember 2021 yang amat tinggi itu adalah disebabkan oleh kempen promosi akhir tahun oleh syarikat automotif.

“Gangguan rantaian bekalan disebabkan banjir di sebahagian kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur pada Disember lalu telah menyebabkan jumlah stok lebih rendah untuk dibawa ke Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

MAA mengunjurkan jualan pada Februari 2022 akan kekal sama seperti Januari lalu.

Ujarnya, ia disebabkan oleh hari bekerja yang lebih pendek dan gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh banjir baru-baru ini serta masalah kekurangan cip yang masih berterusan.

Jelasnya, jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 33,668 unit daripada 29,417 unit setahun lalu, sementara jualan kenderaan komersial turut meningkat kepada 6,913 unit berbanding 3,975 unit.

Bagi jumlah pengeluaran pula, persatuan itu memberitahu, sebanyak 42,961 unit telah dikeluarkan pada Januari 2022, naik 8.3 peratus daripada 39,666 unit pada Januari 2021.

Daripada jumlah itu, sebanyak 39,455 unit adalah kenderaan penumpang manakala 3,506 unit lagi merupakan kenderaan komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×