Yayasan Maybank, Yayasan ASEAN perkasa belia - Utusan Malaysia

Yayasan Maybank, Yayasan ASEAN perkasa belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Ogos –Yayasan Maybank dan Yayasan ASEAN menandatangani perjanjian lanjutan selama tiga tahun untuk program Memperkasakan Belia ASEAN.

Yayasan Maybank dan Yayasan ASEAN dalam kenyataan bersama berkata, program berkenaan mengumpulkan 100 belia berusia antara 19 hingga 35 tahun dari seluruh rantau ASEAN untuk membangunkan dan melaksanakan projek komuniti demi memberikan impak jangka panjang berkesan dari segi aspek sosial dan ekonomi.

Menurutnya, program itu menyediakan geran mikro berjumlah AS$200,000 (RM835,935) untuk memulakan inisiatif komuniti yang dapat mengurangkan kemiskinan dan memperkasakan masyarakat ASEAN.

“Selain itu, inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam membantu mencapai matlamat seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Masyarakat Sosio-Budaya ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian lanjutan tersebut diadakan di bangunan Sekretariat ASEAN baharu yang dilancarkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena sambutan Hari ASEAN ke-52.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank dan Pesuruhjaya Presiden Maybank Indonesia, Datuk Abdul Farid Alias; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ASEAN, Kok Li Peng; Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR), Phasporn Sangasubana dan Presiden Direktor Maybank Indonesia, Taswin Zakaria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×