KUALA LUMPUR 13 Ogos – Lebih 3,000 warga maya setuju pembelajaran tulisan jawi diperkenalkan semula di sekolah vernakular sebagai salah satu sukatan dalam pelajaran Bahasa Melayu.
Jumlah itu dikumpul dalam tempoh 24 jam hasil undian Facebook dijalankan oleh Utusan Online bermula semalam.
Undian itu berakhir semalam menunjukkan 3,400 warga maya itu menguasai 94 peratus jumlah keseluruhan pengundi terlibat, manakala baki enam peratus atau kira-kira 300 warga maya bersetuju dengan Dong Zong dan Jiao Zong.
Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.
Bagaimanapun, dua pertubuhan Cina tersebut menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.
Beberapa warga maya yang terlibat di dalam undian oleh Facebook Utusan Online itu turut berharap agar tulisan Jawi diperluaskan kerana ia merupakan salah satu seni.
“Itu adalah cabang seni. Seni khat. Kalau tidak pandai seni lukis, maybe pandai tulis khat? Jelas pemilik akaun Facebook bernama Faiz Mustapha. – UTUSAN ONLINE









