KOTA BHARU 12 Ogos – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu merapatkan jurang ekonomi penduduk terutama negeri-negeri yang terlibat dalam jajaran projek itu termasuk Kelantan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.
Beliau berkata, projek berkenaan adalah selari dengan hasrat Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Gagasan Kemakmuran Bersama yang mahu gabungan infrastruktur tersebut menjadi pemangkin kepada ekonomi masa hadapan.
“Kemakmuran ini bukan sahaja dapat merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat dan wilayah, sebaliknya usaha pembangunan ini juga dapat merapatkan jurang ekonomi bandar-bandar di Kelantan dan negeri maju yang lain yang menjadi tumpuan dan untuk kesamarataan.
“Ini antara penekanan diberikan kepada Kelantan, jika kita lihat sewaktu Perdana Menteri membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 pada Oktober lalu, Kelantan dimasukkan antara enam negeri yang bakal diberi peruntukan pembangunan.
“Ini adalah satu rahmat kepada rakyat Kelantan kerana akan memberi limpahan ekonomi kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ketereh di Pertubuhan Peladang Sungai Ketereh, di sini, hari ini. – BERNAMA











